kasdi@hmetro.com.my
TAIPING: Cetek pengetahuan agama dan percayakan khurafat menyebabkan segelintir umat Islam sanggup membelai dan memeluk babi hutan semata-mata untuk mendapatkan tuah, termasuk memenangi hadiah utama judi nombor ekor, sekali gus meraih kekayaan segera.
Perbuatan jahil itu yang semakin menarik minat orang Melayu dari dalam dan luar negeri ini dilakukan di sebuah kuil di kaki bukit berhampiran sebuah pasar raya terkemuka dekat sini.
Mereka datang untuk mencuba nasib biarpun perbuatan itu dilaknat Tuhan.
Difahamkan, kuil berkenaan memang dikenali di kalangan masyarakat Cina dan India hingga ada yang datang dari jauh, termasuk Singapura untuk melihat tarikan utamanya iaitu kehadiran babi hutan 30 hingga 50 ekor pada satu-satu masa di kawasan khas setiap malam.
Malah, keunikan kuil berkenaan pernah disiarkan dalam satu program saluran televisyen berbayar beberapa bulan lalu hingga menyaksikan pertambahan pengunjungnya saban hari.
Majoriti pengunjung hanya mempunyai satu tujuan iaitu membawa slip nombor ekor, geran kenderaan, wang kertas yang digunakan untuk membeli nombor ekor untuk diusapkan ke badan babi hutan terbabit kerana percaya ia mampu membawa tuah, termasuk memenangi hadiah utama judi nombor ekor.
Yang menyedihkan, kepercayaan itu menular di kalangan orang Melayu di daerah ini sebelum merebak ke luar Perak.
Seorang penduduk, Abdul Karim Yusop, 51, ketika ditemui Harian Metro berkata kegiatan itu semakin menjadi-jadi sejak awal tahun ini.
“Saya tidak kisah ia dilakukan golongan bukan Islam, tetapi kesal apabila seorang rakan bukan Islam memaklumkan ada orang Melayu turut melakukannya.
“Rakan saya bertanya adakah perbuatan menyentuh babi itu dibenarkan dalam agama Islam dan saya memberitahunya ia perbuatan berdosa bagi umat Islam.
“Mendengar jawapan saya, dia terkejut dan memberitahu terdapat ramai orang Melayu menyentuh dan memeluk babi hutan di kuil berkenaan,” katanya.
Dia yang tidak berpuas hati kemudian ke kuil berkenaan kira-kira dua minggu lalu dan mengucap panjang apabila melihat beberapa orang Melayu terselit di kalangan pengunjung bukan Islam sedang mengusap babi hutan.
Abdul Karim yang tinggal di Gunung Semanggol, tidak jauh dari kuil berkenaan, berkata dia mengetahui individu terbabit orang Melayu apabila salam diberikannya disambut mereka.
“Apabila saya cuba bertanya lebih lanjut mengenai perbuatan itu, mereka mengelak sebelum beredar. Saya sedih kerana percaya ramai lagi orang Melayu, terutama dari luar negeri ini datang melakukan perbuatan terkutuk dan berdosa besar itu.
“Justeru, saya berharap Jabatan Agama Islam Perak menyiasat kerana risau jika dibiarkan berlarutan ia boleh menyebabkan akidah umat Islam tergugat,” katanya.
Dakwaan Abdul Karim menarik minat wartawan Harian Metro yang meninjau ke kuil berkenaan baru-baru ini selama sehari suntuk bersama jurugambar dengan menyamar sebagai pengunjung.
Terbukti, kehadiran orang Melayu di kuil berkenaan bukan perkara asing terutama di kalangan petugasnya.
Jumlah pengunjung mula bertambah mulai jam 7.30 malam apabila babi dari hutan berhampiran mula memenuhi kawasan khas yang disediakan.
Selain kereta, beberapa bas pelancong termasuk dari Singapura kelihatan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan utama memasuki ke kuil berkenaan, manakala pihak kuil turut menjual nasi lemak yang dibuat khas untuk diberikan kepada babi.
Kira-kira jam 9.30 malam, perhatian wartawan mula terarah kepada dua lelaki Melayu yang datang dan kelihatan di tangan mereka beberapa keping kertas dipercayai slip nombor ekor.
Tanpa membuang masa, dua lelaki terbabit menuju ke arah beberapa ekor babi berhampiran mereka sebelum mengusapnya dengan kertas di tangan mereka.
Sebaik berbuat demikian, mereka terus beredar dan apabila dihampiri wartawan yang bertanyakan mengenai perbuatan mereka, ini jawapan mereka:
“Apa salahnya mencuba nasib. Saya dengar ada orang kena nombor ekor hingga ratusan ribu ringgit apabila mengusap kertas nombor ekor atau wang digunakan untuk membeli nombor ekor kepada badan babi itu,” kata seorang daripada mereka sebelum beredar.
Kepercayaan karut itu dan kehadiran orang Islam di kuil berkenaan diakui beberapa pekerja di kuil terbabit sambil memberi contoh antara 100 pengunjung yang datang, 10 daripadanya orang Melayu.
“Semua itu (kepercayaan memegang babi membawa tuah) terpulang kepada diri masing-masing. Kami tidak pernah menghalang sesiapa masuk ke kuil ini. Tetapi setahu saya, perbuatan memegang babi salah bagi orang Islam.
“Namun mungkin mereka (orang Melayu) yang datang mempunyai alasan tersendiri. Asalkan pengunjung tidak melakukan perkara tidak elok, kami tidak boleh menghalang mereka memasukinya,” kata seorang petugas di kuil yang hanya mahu dikenali sebagai Ravi, 32.
http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090514075646/Article
No comments:
Post a Comment