Thursday, May 7, 2009

Menular ke Puchong pula


SHAHRUDDIN membiarkan kakinya yang sakit dipicit rakannya Abdul Jahir Abdul Manap di rumahnya di Taman Tenaga, Puchong, Selangor semalam.


PUCHONG – Jika kelmarin, penduduk di beberapa buah kampung di Kedah dilaporkan diserang penyakit misteri, keadaan yang sama dikatakan turut berlaku di Taman Tenaga, Puchong.

Sehingga semalam, lebih 20 orang daripada 15 keluarga mengalami demam dan sakit-sakit sendi sejak tiga bulan lalu.

Paling ramai membabitkan penduduk di Jalan 1 dan Jalan 7 taman tersebut.

Apa yang menghairankan, walaupun pesakit telah mendapatkan rawatan dan melakukan ujian di pelbagai klinik serta hospital sebelum ini namun kebanyakan doktor gagal mengesahkan penyakit yang mereka alami.

Seorang penduduk, Abas Ahmad, 57, berkata, sehingga kini beliau bingung memikirkan penyakit misteri yang menimpa isterinya, Raja Zahariah Raja Ahmad, 57, dan anak perempuan mereka, Wan Azira, 28, yang dikesan pada 26 Mac yang lalu.

“Ia bermula dengan demam mengejut di antara satu hingga dua hari sehingga menyebabkan badan menjadi lemah disusuli sakit di bahagian sendi terutama di kaki dan tangan.

“Apabila kami mengambil ubat antibiotik dan ubat tahan sakit di klinik, ia kemudiannya bertukar menjadi ruam dan gatal-gatal,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, selepas demam dan ruam itu pulih dalam tempoh beberapa hari, mangsa akan sakit pada sendi-sendi badan pula.

Abas berkata, ujian darah yang dilakukan ke atas dirinya dan keluarganya membuktikan beliau bebas daripada sebarang penyakit berbahaya seperti denggi.

“Cuma doktor ada membayangkan simptom yang kami alami ini kemungkinan penyakit chikungunya, tetapi apa yang saya tidak tahan ialah penyakit sendi itu menyerang berkali-kali, kadangkala hendak bergerak pun sukar,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...