Wednesday, June 10, 2009

24 mayat nahas sudah ditemui

RECIFE - Pasukan pencari Brazil dan Perancis menemui lebih 24 mayat dari pesawat penerbangan Air France yang terhempas dalam keadaan penuh misteri seminggu lalu di Lautan Atlantik, kata beberapa pegawai Brazil kelmarin.

Sekurang-kurangnya lapan mayat ditemui kelmarin selepas pasukan penyelamat menemui 14 mayat pada hari sebelumnya dan dua pada Sabtu lepas, bersama-sama barangan peribadi dan serpihan pesawat termasuk tempat duduk.

Sehingga lewat Ahad lepas, mayat empat lelaki dan wanita adalah antara sejumlah mayat yang sudah dikumpulkan oleh pasukan penyelamat.

Sebuah kapal tentera laut Perancis bertindak membantu lima kapal Brazil di lokasi nahas untuk membawa naik mayat-mayat mangsa.

Kebanyakan mayat itu bersama-sama barangan peribadi mereka dan serpihan pesawat jenis Airbus A330-200 itu akan dibawa ke kepulauan Fernando de Noronha, milik Brazil.

Mayat-mayat tersebut dan semua serpihan pesawat akan diterbangkan ke bandar pesisir Brazil di sini untuk tujuan pengenalan menerusi rekod pergigian dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Penerbangan AF 447 milik Air France terhempas ketika dalam penerbangan dari bandar raya Rio de Janeiro menuju ke Paris membawa 228 penumpang dan krew manakala punca nahas masih disiasat. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...