Wednesday, June 10, 2009

Mangsa samun rakan

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KAJANG: Seorang pengurus sebuah pasar raya borong tersentak apabila mendapati rakan setugasnya sanggup menyamun wang kutipan jualan berjumlah RM65,000 dibawanya dalam kejadian di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang, mangsa berusia 38 tahun itu membonceng motosikal bersama rakannya menuju sebuah bank di Seksyen 16 untuk memasukkan semua wang kutipan jualan tiga hari pasar raya berkenaan.

Namun, mangsa tiba-tiba dihampiri dua lelaki bermotosikal yang menendangnya sehingga terjatuh di bahu jalan dan merampas beg galas mengandungi semua wang terbabit.

Ketika kejadian, seorang rakan suspek yang menaiki Perodua Kancil turut berada di sekitar lokasi kejadian dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, berkata bertindak atas maklumat awam, dua anggota polis yang secara kebetulan menyiasat satu kes pecah rumah di Jalan Reko di sini segera memburu suspek.

“Kira-kira setengah jam kemudian, polis mengesan Perodua Kancil merah itu di Lebuh Raya Lingkaran Kajang Sdn Bhd (Silk) dan menahan seorang suspek berusia 39 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg galas berisi sebahagian wang yang dilarikan iaitu berjumlah RM35,000 yang diletakkan di bahagian brek kereta terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Sakaruddin, pihaknya tidak menolak kemungkinan baki wang RM30,000 berkenaan dilarikan dua rakan suspek bermotosikal yang dapat meloloskan diri.

“Selain itu, siasatan mendapati suspek yang ditahan adalah rakan sekerja mangsa yang juga seorang pengurus kawasan pasar raya berkenaan di cawangan lain.

“Suspek dipercayai turut mengetahui masa serta lokasi semua wang hasil jualan itu akan dimasukkan,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mempergiatkan usaha memburu rakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090610055517/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...