Wednesday, June 10, 2009

Cuti sekolah jadi musim empat pelajar menyamun


KAWASAN di sekitar Bandar Puchong antara lokasi empat pelajar yang ditahan mencari mangsa samun.


SUBANG JAYA - Jika pelajar lain sibuk memanfaatkan musim cuti sekolah dengan mengulang kaji pelajaran lain pula dengan empat remaja yang sibuk 'buat duit' dengan menyamun.

Kegiatan tiga pelajar yang berusia 17 tahun dan seorang pelajar berusia 18 tahun yang menunggang dua buah motosikal pada pukul 2.30 pagi Sabtu lalu terbongkar apabila mereka dicekup di Kinrara dekat sini.

Semasa ditahan seorang pelajar itu didapati membawa parang dan kumpulan empat sekawan itu dipercayai sedang mencari pejalan kaki untuk disamun.

Jurucakap polis berkata, daripada siasatan kesemua suspek itu berasal dari Kampung Medan di Petaling Jaya dengan tiga pelajar yang berusia 17 tahun belajar di satu sekolah sama.

Keempat-empat pelajar itu mengaku telah melakukan kira-kira 15 kes samun di tepi jalan sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, kegiatan jenayah mereka bertambah aktif pada musim cuti sekolah kerana mereka mempunyai banyak masa.

"Barangan atau wang hasil samun akan digunakan untuk berfoya-foya pada musim cuti sekolah," kata beliau semasa dihubungi di sini semalam.

Jurucakap polis itu memberitahu, daripada soal siasat, kali terakhir kumpulan itu melakukan samun pada Rabu lalu di Bandar Puchong.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...