Thursday, June 18, 2009

Enam direman empat hari

KUANTAN: Seorang lelaki mendakwa 'Datuk' yang ditahan di ibu negara, kelmarin, selepas didapati cuba menghidupkan semula pertubuhan Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM), yang diharamkan enam tahun lalu, direman empat hari hingga 19 Jun ini oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Perintah reman sama yang dikenakan terhadap lelaki berusia 41 tahun itu yang dikeluarkan Majistret Nordiana Abdul Aziz turut dikenakan kepada lima lagi pegawai pertubuhan haram itu berusia antara 32 hingga 52 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kes membabitkan semua enam tertuduh itu dibawa ke mahkamah di sini, selepas satu laporan dibuat seorang pengadu pada 24 Mei lalu yang mendakwa cuba direkrut untuk menyertai PKPM yang cuba meluaskan pengaruhnya.

Pengadu terbabit turut mendakwa PKPM sedang merekrut ribuan ahli termasuk lebih 400 orang di Pahang bagi menyiasat satu kes pembunuhan membabitkan seorang kenamaan (VIP).

Akhbar ini kelmarin melaporkan, polis menumpaskan cubaan menghidupkan semula PKPM yang diharamkan enam tahun lalu apabila menahan 42 lelaki termasuk ketuanya dalam serbuan di Taman Gombak Jaya, dekat ibu negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...