Thursday, June 18, 2009

Pasang ratusan ejen

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Beroperasi tidak ubah seperti agensi risikan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) selain mendakwa dilantik pihak kerajaan dipercayai menjadi punca ribuan mangsa terpedaya menyertai pertubuhan haram Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang cuba diwujudkan semula sejak setahun lalu.

Malah PKPM didakwa sengaja mengada-adakan cerita kononnya individu dipilih akan diberikan tugas penting sebagai perisik diamanahkan menjalankan tugas besar membabitkan isu keselamatan negara.

Sumber polis berkata, gaya berpakaian hebat lengkap lambang jati Malaysia ditampilkan pertubuhan berkenaan meyakinkan orang ramai supaya menyertai pertubuhan haram itu.

“Bagi memudahkan semua urusan, PKPM dikesan turut melantik ratusan ejen seluruh negara bagi memujuk dan memerangkap orang ramai.

“Malah, sasaran mereka juga menjadikan golongan berpengaruh di sesebuah kawasan kediaman sebagai ejen dipercayai bagi memudahkan urusan merekrut dilakukan.

“Bagi menarik minat, kumpulan itu dikatakan menawarkan pendapatan lumayan mencecah RM2,000 sebulan selain imbuhan setiap kali menarik individu menyertai pertubuhan berkenaan,” katanya.

Seorang individu mendakwa didesak menyertai program berkenaan, Ghazali, 50-an, berkata beberapa orang kanan kumpulan terbabit berulang-kali memujuknya menjadi ejen, sejak enam bulan lalu.

“Saya menolak permintaan berkenaan kerana musykil dengan pertubuhan itu. Bagi menarik minat, mereka mendakwa akan membayar gaji bulanan RM2,000 tidak termasuk imbuhan sekiranya membawa masuk ahli baru.

“Pada mulanya saya berminat, namun selepas melihat cara mereka bekerja selain dakwaan pangkat diperoleh peserta melebihi kuasa dimiliki polis dan tentera menyebabkan saya berubah fikiran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Ghazali, mereka mengarahkannya memujuk semua penduduk sekitar di Batu 6, Gombak, di sini, menyertai program berkenaan.

“Mereka bukan saja mengarahkan merekrut kakitangan kerajaan dan swasta, malah pelajar baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Ghazali berkata, dia yang sering berada di kawasan pejabat mendapati setiap hari lebih daripada 20 calon akan pergi ke pejabat berkenaan untuk menduduki temu duga.

“Biasanya, semua peserta akan berkumpul seawal jam 9 pagi dan sesi temu duga itu akan berakhir kira-kira jam 6 petang.

“Apa menghairankan saya, beberapa pegawai kanan kumpulan itu akan memakai pakaian lengkap beserta topi beret ala tentera,” katanya.

Difahamkan, kebanyakan peserta yang datang mengikuti temu duga itu berasal dari Johor, Kelantan dan Perlis.

Ghazali berkata, dia berharap orang ramai berhati-hati bagi mengelakkan menjadi mangsa kumpulan berkenaan.

“Saya cukup gembira apabila pihak berkuasa berjaya melumpuhkan kumpulan itu dengan memberkas dalang di sebalik pertubuhan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Tajuddin Md Isa ketika dihubungi berkata, enam lelaki termasuk Nor Azami Ahmad Ghazali dan pegawai kanan PKPM akan direman selama tiga hari bermula hari ini (semalam).

“Kita akan melengkapkan siasatan dan mendakwa mereka secepat mungkin. Pihak polis juga percaya markas lama mereka di Pantai Dalam, di sini, sudah tidak beroperasi sejak beralih ke pejabat baru di Batu 6, Jalan Gombak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090617070001/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...