Thursday, June 18, 2009

Jual adik tukar dadah

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

ALOR STAR: Ketika pusara ibu masih ‘merah’, seorang lelaki durjana sanggup menjual adik kandungnya kepada pengedar dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan bahan haram itu bagi melepaskan ketagihannya.

Lelaki berusia lewat 20-an itu yang tinggal di Jalan Langgar di sini dipercayai berbuat demikian kira-kira dua minggu selepas kematian ibu mereka pada pertengahan bulan lalu, apabila berada dalam keadaan gian kronik, tetapi tidak mempunyai wang untuk membeli dadah.

Berikutan itu, lelaki terbabit mengambil jalan mudah dengan menyerahkan adik perempuannya yang berusia 20 tahun untuk menjadi pemuas nafsu ‘tokan’ atau penjual dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan dadah berharga kurang RM100.

Bagaimanapun, gadis yang ‘lurus bendul’ akibat tidak pernah bersekolah itu bernasib baik apabila menyedari niat buruk abangnya yang mahu menyerahkannya kepada lelaki tidak dikenali yang kemudian membawanya ke sebuah rumah, tetapi mengambil keputusan untuk melarikan diri.

Gadis berkenaan kini hidup merempat dengan tidur di kaki lima bangunan atau pondok yang didirikan di kawasan rekreasi di sekitar bandar raya ini, selain mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan sesuap makanan.

Sumber berkata, gadis itu dikesan tidur di kawasan rekreasi bersebelahan Sungai Kedah di sini sejak seminggu lalu sebelum ‘dijaga’ sekumpulan lelaki agak berusia yang boleh digelar pak cik bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, walaupun kumpulan lelaki itu hidup merempat dengan berteduh di kaki lima bangunan dan menjalankan pelbagai kerja termasuk menjaga parkir, namun mereka menjaga gadis berkenaan dengan baik.

“Berdasarkan perbualan dengan gadis itu, masalah utamanya sekarang ialah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan.

“Dia mengaku ibunya warga Thailand yang meninggal dunia baru-baru ini, manakala bapanya rakyat tempatan, tetapi sudah lama meninggal dunia.

“Arwah ibunya pulang ke kampung di Thailand ketika melahirkannya dulu sebelum kembali semula ke sini, tetapi tidak pernah mendaftarkan kelahirannya menyebabkan dia tidak mempunyai dokumen pengenalan,” katanya yang enggan mendedahkan identiti atas faktor keselamatan.

Menurut sumber itu, beberapa peniaga seperti pemilik restoran sebelum ini berminat mengambil gadis berkenaan bekerja, tetapi membatalkan hasrat apabila mengetahui yang dia tidak mempunyai dokumen pengenalan.

“Mereka bimbang sekiranya premis mereka diserbu pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen, mereka akan menghadapi masalah apabila dituduh menggaji pekerja asing tanpa permit,” katanya.

Saksi berkenaan membawa wartawan Harian Metro berjumpa gadis itu yang bagaimanapun tidak mahu dirakam gambar berikutan bimbang diketahui dan membangkitkan kemarahan abangnya yang mungkin akan memburunya.

“Saya kini sebatang kara. Bagaimanapun, hidup sekarang jauh lebih baik daripada menjadi pemuas nafsu hanya untuk membolehkan abang kandung melepaskan giannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zulkifli Ramli, ketika dihubungi berkata, berikutan gadis itu berusia di atas 18 tahun, jabatan berkenaan perlu menghantar pegawai termasuk kaunselor untuk menemuinya bagi mencari kaedah bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada mangsa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Mutakhir/20090617064752/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...