Thursday, June 25, 2009

Johor catat kes pertama

Oleh Saipul Adli Mohamad dan Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my


NUSAJAYA: Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun yang baru pulang dari Melbourne, Australia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Sabtu lalu, disahkan mangsa pertama menghidap Influenza A (H1N1) di negeri ini.

Remaja itu yang menaiki penerbangan SQ0238 dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), kira-kira jam 10 malam Isnin lalu, selepas mengadu selesema, demam dan batuk sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan, kelmarin.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata empat ahli keluarga mangsa termasuk dua adik pelajar itu berusia 16 dan 17 tahun kini menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata, pada masa sama, Jabatan Kesihatan negeri turut mengadakan pemantauan dan pemeriksaan di dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar serta SMK Infant Jesus Convent selepas kedua-dua adik mangsa pergi ke sekolah, Isnin lalu dan kelmarin.

“Selain itu, kami turut melaksanakan kuarantin terhadap keluarga pemandu teksi berusia 36 tahun yang membawa mangsa pulang dari lapangan terbang itu ke rumahnya dan semua mereka termasuk keluarga pelajar itu dikuarantin seminggu.

“Setakat ini, mereka yang dikuarantin berada dalam keadaan sihat dan memberikan kerjasama untuk menjalani kuarantin di rumah,” katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, keluarga pelajar itu akan dibenarkan menghadiri majlis pengebumian neneknya yang meninggal dunia pagi semalam dengan pengawasan Jabatan Kesihatan bagi mengelak mereka terdedah kepada orang lain.

“Saya ingin tegaskan nenek mangsa meninggal dunia akibat sakit tua dan tiada kena mengena dengan Influeza A disebabkan mangsa langsung tidak mempunyai hubungan dengan neneknya itu sebaik pulang Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, pelajar itu tidak akan dibenarkan menghadiri majlis pengebumian neneknya kerana perlu menjalani pengasingan di HSA,”
katanya.

Mengenai keadaan di dua sekolah berkenaan, Dr Robia berkata, pihaknya akan meneliti semua pelajar yang mempunyai hubungan dengan dua adik mangsa sama ada mempunyai simptom demam H1N1 sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Jika keadaan membimbangkan termasuk ada pelajar disahkan menghidap simptom penyakit itu, kami tidak menolak kemungkinan akan menutup sekolah berkenaan seperti digariskan Pelan Bertindak Menangani Influenza A,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090625071156/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...