Thursday, June 25, 2009

Mesin pengimbas suhu ditambah

PUTRAJAYA: Satu lagi mesin pengimbas suhu akan diletakkan di semua petak dikhaskan untuk menerima pesawat dari Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Manila, Filipina sebagai langkah menangani penularan wabak Influenza A (H1N1) ke negara ini.

Ia berikutan ketiga-tiga negara berkenaan dikenal pasti penyumbang terbesar peningkatan kes H1N1 di negara ini sama ada import atau tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pemasangan alat itu membolehkan penumpang dari negara itu diimbas dua kali berbanding sekali bagi penumpang dari negara lain, sebelum dibenarkan berurusan dengan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebelum ini, kita bercadang memeriksa semua penumpang dari tiga negara itu dalam pesawat, tetapi selepas diteliti langkah itu akan melambatkan pergerakan, sekali gus menimbulkan masalah terutama kepada penumpang transit kita bersetuju memasang mesin pengimbas suhu di petak khas.

“Jadi penumpang dari negara ini akan diimbas sebanyak dua kali iaitu pertama ketika keluar dari pesawat dan diimbas sekali lagi ketika menuju kaunter Jabatan Imigresen,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kejadian Wabak H1N1 Bil 6/2009, di sini, semalam.

Dr Mohd Ismail berkata, pasukan perubatan juga akan memantau dan meneliti setiap penumpang melalui kawasan berkenaan bagi memastikan mereka yang tidak sihat keluar dari kawasan lapangan terbang.

Beliau berkata, kementerian juga turut mengeluarkan arahan mewajibkan semua petugas kesihatan meneliti borang pengisytiharan kesihatan yang diserahkan penumpang untuk memastikan mereka mengisi maklumat dengan tepat dan lengkap.

“Kita beri jaminan setiap borang diserahkan akan diteliti dan penumpang didapati gagal mengisi dengan lengkap akan diarah mengisinya semula sebelum dibenarkan berurusan dengan Jabatan Imigresen,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...