Tuesday, August 11, 2009

18 didakwa sebar dakyah bertentangan Islam


DIDAKWA.. Sebahagian daripada 18 orang termasuk lima wanita berusia 20-an, yang dipercayai sebahagian dari ahli ajaran Negara Islam Indonesia (NII), ditahan polis dan pegawai dari Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) di Taman Perindustrian Oakland, Seremban kelmarin, dihadapkan di Mahkamah Syariah semalam. Sabit kesalahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003, mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

18 didakwa sebar dakyah bertentangan Islam

SEREMBAN: Lapan belas orang termasuk lima wanita, kebanyakannya remaja, dihadapkan di Mahkamah Syariah di sini semalam kerana mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.

Mereka dibawa ke mahkamah dalam tiga kenderaan berasingan.

Dua lelaki yang berusia lewat 20-an dibawa ke pekarangan mahkamah lebih awal dan dikenakan pertuduhan di hadapan Majistret Hamizam Mohd. Nor.

Bagaimanapun pasukan pendakwa raya yang terdiri daripada Mohd. Sazrin Abd. Aziz dan Nora Md. Nazri memohon tarikh baru untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 kerana menyebarkan ajaran agama Islam yang tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, 16 yang lain termasuk lima wanita, awal 20-an, dituduh bersubahat dengan mereka. Kelmarin, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINA) telah menahan 20 anggota dipercayai dari sebuah kumpulan radikal Islam dalam operasi khas di Taman Perindustrian Oakland di sini.

JHEAINS turut menahan seorang lelaki berpakaian kemas dan berkereta mewah berusia 28 tahun, dipercayai ketua kumpulan itu.

Ketua Operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata, kumpulan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan usia 20-an ditahan ketika menjalankan kuliah mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jika anggota kumpulan itu mempunyai kaitan dengan pergerakan Negara Islam Indonesia (NII), yang didakwa berjuang menubuhkan sebuah negara Islam.

Katanya, anggota kumpulan itu ditahan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.

Menurutnya, kegiatan kumpulan itu dimaklumkan kepada mereka oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah melakukan beberapa tangkapan terhadap anggota kumpulan itu di negeri itu.

Mohd. Zol berkatam anggota kumpulan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

Katanya, kumpulan itu sudah mula begerak sejak 1998 tetapi hanya aktif pada 2003.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/11/mstar_berita/20090811100640&sec=mstar_berita


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...