Tuesday, August 11, 2009

600 dikhuatiri maut kerana Taufan Morakot


BEBERAPA penduduk cuba menangkap ikan di sebatang kawasan berair yang berlaku akibat Taufan Morakot di daerah Kaohsiung, selatan Taiwan semalam.


TAIPEI - Seramai 400 penduduk Taiwan terputus hubungan akibat tanah runtuh yang terjadi selepas pulau bergunung-ganang tersebut dilanda Taufan Morakot, kata seorang pegawai polis semalam.

Sebuah akhbar semalam turut melaporkan seramai 600 orang dikhuatiri mati tertimbus akibat Morakot yang membawa hujan lebat.

Morakot yang kini bergerak ke China turut menyebabkan hampir sejuta penduduk di tanah besar terpaksa dipindahkan setelah ia melanda Filipina.

Seorang pegawai polis Taiwan yang mahu dikenali sebagai Wang berkata, seramai 100 orang dari perkampungan Shiao Lin diselamatkan dengan menggunakan sebuah helikopter tentera.

Seorang mangsa yang berjaya diselamatkan, Lin Chien-chung berkata, dia percaya seramai 600 orang mati ditimbus lumpur.

"Runtuhan tanah itu menyebabkan sebahagian besar kampung termasuk sebuah sekolah rendah dan rumah tertimbus," katanya.

Kampung berkenaan masih terputus hubungan akibat kejadian itu semalam selepas banjir memusnahkan sebuah jambatan.

Angka rasmi kematian akibat Taufan Morakot sehingga kini disahkan seramai 14 orang manakala 51 lagi hilang, tidak termasuk penduduk di Shiao Lin. - AP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...