Tuesday, August 11, 2009

Isteri masih sayang suami ganas

AMPANG: Tidak tahan menjadi mangsa belasahan suami, seorang isteri nekad membuat laporan polis, kelmarin dengan harapan suaminya akan insaf atas segala perbuatan yang dilakukannya.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu pada mulanya dikatakan berselisih faham dengan suaminya sebelum lelaki terbabit yang dikatakan naik berang bertindak memukulnya di rumah mereka di Hulu Klang, Sabtu lalu.

Menurut sumber polis, pada mulanya wanita terbabit enggan membuat laporan polis, tetapi mengubah fikiran itu keesokan hari semata-mata mahukan suaminya insaf.

“Wanita berkenaan yang juga seorang kakitangan awam terpaksa membuat laporan polis namun dia yang kasihankan suaminya berharap agar kes itu tidak dipanjangkan.

“Isteri malang terbabit mendakwa dia membuat laporan polis berkenaan semata-mata mahu suaminya berubah dan tidak bersikap panas baran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita berkenaan.

“Wanita terbabit sudah dihantar menjalani pemeriksaan doktor kerana dia mendakwa dipukul suaminya.

“Walaupun dia enggan memanjangkan kes terbabit namun kita tetap menyiasat berdasarkan laporan yang dibuatnya,”
katanya.


Katanya, polis kini masih menunggu laporan perubatan doktor dan siasatan meliputi segenap aspek dan setakat ini, keterangan mangsa sudah diambil.

Metro Ahad kelmarin melaporkan seorang isteri mendakwa pernah berputus asa hingga tiga kali cuba membunuh diri kerana menjadi mangsa ganas suaminya sendiri dan dia akhirnya nekad membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Tujuannya membuat laporan polis ketika itu hanyalah sebagai perlindungan dan tidak menyangka suaminya ditahan sebelum dihadapkan ke mahkamah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...