Tuesday, August 11, 2009

Amah dijel 3 tahun

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MELAKA: Dia mendakwa baru lima hari bekerja di negara ini, namun dalam tempoh singkat itu tergamak menyiram muka majikannya dengan air panas kerana mendakwa wanita terbabit melempangnya sebelum itu.

Demikian situasi seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan mendatangkan kecederaan parah terhadap majikannya, Mei lalu.

“Puan, saya merayu hukuman diringankan kerana mempunyai anak yang masih kecil serta adik-adik yang masih bersekolah dan perlu ditanggung,” kata tertuduh, Sri Novtiani, 29, (gambar) dalam keadaan menangis ketika memohon hukuman ringan.

Selepas meneliti pertuduhan dan menimbang rayuan tertuduh, Hakim Mahkamah Sesyen, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Elesabet dalam penghakimannya, berkata mahkamah mengambil kira keseluruhan fakta kes, hujah Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md Nor dan rayuan tertuduh serta menetapkan hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan.

Mengikut pertuduhan, Sri Novtiani didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap majikannya, Goh Siew Eng, 51, dengan menggunakan air panas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah No 40, Jalan Emas 2, Taman Bukit Beruang, dekat sini, pada 24 Mei lalu, kira-kira jam 10.30 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Farah Wahida memberitahu bahawa fakta kes menunjukkan ketika tertuduh bekerja sebagai pembantu rumah kepada mangsa pada 24 Mei lalu, kira-kira jam 10.30 pagi, dia menyimbah wanita itu dengan air panas di bahagian ruang pintu masuk dapur memasak.

“Ketika kejadian hanya mereka berdua di rumah. Tertuduh memanggil mangsa ke dapur dan apabila mangsa sampai di pintu, tertuduh mengambil periuk berisi air panas lalu menyimbah muka mangsa.

“Tertuduh kemudian melepaskan mangsa yang merayu supaya dilepaskan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Mutakhir/20090811065239/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...