Friday, August 14, 2009

Kelar anak

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


TEMERLOH: Berang isteri enggan menyerahkan wang diminta, seorang lelaki dipercayai kaki botol sanggup mengelar tangan kiri anaknya sendiri menggunakan pisau cukur dalam kejadian di Sungai Kawang, Lanchang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, suspek berusia 40 tahun itu melarikan diri sejurus melihat anak lelakinya berusia 11 tahun menggelupur dan meraung kesakitan selepas tangannya dikelar dan berdarah.


Difahamkan, sebelum itu, lelaki terbabit yang tidak bekerja pulang ke rumahnya dalam keadaan mabuk sebelum memanggil isterinya dengan suara tinggi.

Dalam keadaan separuh sedar, lelaki terbabit mendesak isterinya menyerahkan sejumlah wang untuk membeli minuman keras, tetapi wanita itu memaklumkan dia tidak mempunyai wang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, berkata sebaik mendengar jawapan isterinya, suspek tiba-tiba ‘naik angin’ sebelum terus memegang tangan kiri anaknya yang berada dalam rumah lalu mengancam mencederakan mangsa.

Menurutnya, isteri lelaki terbabit yang terkejut dengan tindakan suaminya tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang akan turut dicederakan.

Katanya, lelaki terbabit kemudian mengambil pisau cukur sebelum mengelar tangan kiri anaknya mengakibatkan mangsa meraung menahan kesakitan.


Beliau berkata, terkejut melihat mangsa cedera berlumuran darah, suri rumah terbabit menghubungi polis sebelum lelaki terbabit bergegas melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit sebelum ini pernah ditahan polis kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah. Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa menerima beberapa jahitan sebelum membuat laporan di Balai Polis Lanchang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis masih meneruskan operasi mengesan lelaki terbabit yang dipercayai bersembunyi selepas mencederakan anaknya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814064622/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...