Friday, August 14, 2009

Tetapi belum sampai ke tahap darurat kesihatan


PENGURUS sebuah restoran, Farid Mohamad (kiri) memakai topeng mulut ketika berurus niaga di restorannya di Kuala Lumpur semalam.








KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengakui bahawa wabak selesema babi (H1N1) yang melanda negara ketika ini berada di peringkat serius, namun ia belum sampai ke tahap mengisytiharkan darurat kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun kes kematian H1N1 kini telah mencatatkan angka 51 orang tetapi pihak berkuasa masih mampu memberi rawatan kepada rakyat.

"Memang keadaan sekarang dalam peringkat serius dan kita perlu memastikan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan membantu kita membendung wabak ini daripada menular," katanya selepas melancarkan persidangan Persatuan Bagi Kajian Obesiti Malaysia(MASO) di sini semalam.

Menurut Tiong Lai, perintah darurat bermaksud kementerian perlu melakukan kuarantin terhadap semua komuniti dan segala pergerakan mereka perlu disekat untuk mengawal penularan pandemik tersebut.

"Bagaimanapun, kita belum sampai ke tahap itu," tegas beliau.

Ekoran itu, beliau meminta supaya rakyat di negara ini supaya tidak panik kerana daripada pesakit yang menghidap penyakit H1N1 itu, 98 peratus telah disahkan sihat.

Katanya, apa yang dikhuatiri adalah kumpulan yang berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekiranya menunjukkan simptom- simptom dijangkiti H1N1.

Dalam pada itu, katanya, tujuh lagi kematian berkaitan dengan H1N1 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 51 orang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...