Friday, June 25, 2010

8,439 layak terima ASW

Oleh Idris Musa

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Seramai 8,439 orang tergolong dalam miskin tegar dan miskin bandar di seluruh negara layak menerima Skim Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan agihan prinsipal RM10,000 setiap seorang melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata melalui skim itu, penerima terbabit akan mendapat pulangan termasuk dividen pada setiap tahun hingga sampai ke akhir hayat.


Namun, katanya, seramai 4,976 akan menerima skim terbabit kerana sesetengah daripada mereka tidak dapat didaftarkan disebabkan pelbagai faktor seperti berpindah dari alamat asal dan ada yang tidak berminat.


“Bagi kumpulan ini, untuk Wilayah Persekutuan saja, jumlahnya adalah 196 orang. Saya perlu jelaskan mungkin ada lagi dalam Wilayah Persekutuan mungkin layak tapi tak didaftarkan, bagi golongan ini kita tunggulah.


“Skim ini berbeza dengan skim lain di mana apabila mereka tiada lagi, unit mereka itu akan diserahkan pada orang lain yang layak mendapat bantuan melalui Skim Amanah Saham Wawasan 2020. Unit saham ini tak dijadikan harta pusaka.


“Jadi kita cari orang lain, yang tergolong dalam kategori miskin. Mudah-mudahan orang yang menerima skim ini akan dapat tambah pendapatan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar Untuk Golongan Miskin Tegar dan Miskin Bandar di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam. Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan buku pelaburan kepada penerima skim terbabit di kawasan Wilayah Persekutuan dan wakil di setiap negeri.


Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.


Sementara itu, Najib berkata, kerajaan menetapkan agenda memerangi kemiskinan dan berhasrat mencapai sasaran sifar miskin tegar dan mengurangkan separuh isi rumah miskin keseluruhan daripada 5.7 peratus kepada 2.8 peratus menjelang akhir tahun ini.


Katanya, kerajaan mengenalpasti melalui satu usaha pendaftaran di bawah eKasih fasa pertama dan fasa kedua bagi kumpulan miskin tegar seramai 50,931.


“Daripada jumlah ini, kini tinggal 33,417 yang masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar dalam pendaftaran eKasih fasa pertama dan kedua, yang dilakukan kerajaan melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU),” katanya.


Melalui program e-Kasih, pendapatan garis kemiskinan bagi golongan miskin tegar adalah kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia, RM540 bagi Sabah dan RM520 di Sarawak manakala golongan miskin pula didefinisikan kurang daripada RM720 di Semenanjung Malaysia, RM960 Sabah dan RM830 di Sarawak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/8_439layakterimaASW/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...