Friday, June 25, 2010

KPDNKK beri kuasa pengguna tetap harga tiga barang

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi kuasa penuh kepada pengguna untuk menetapkan harga maksimum bagi tiga barang iaitu ayam, besi (bar bulat keluli lembut) dan simen.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata pelaksanaan kuasa penetapan harga oleh pengguna itu berikutan pemansuhan lesen runcit bagi tiga barang terbabit yang akan berkuat kuasa 15 Julai ini.


Menurutnya, langkah itu mendidik pengguna supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu harga barang runcit dan akan mula bertindak sendiri dalam mengawal harga barang keperluan asas mereka.


“Pemansuhan itu kelak dapat memastikan pengguna dapat mengawal harga pasaran barangan terbabit, di samping mengelakkan pengguna daripada dimanipulasi segelintir peniaga yang tidak beretika.


“Kuasa pengawalan harga adalah satu langkah positif kepada pengguna apabila harga barang itu akan sentiasa terkawal.


“Jika semua pengguna bersatu dan bekerjasama, semua harga barang akan sentiasa terkawal dan tidak akan melambung naik walaupun peruncit cuba mengambil kesempatan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kesedaran Berkaitan Barang Tiruan dan Cetak Rompak, di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, semalam.


Akhbar kelmarin melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata, tujuan ketiga-tiga barangan itu dikecualikan daripada lesen runcit adalah kerana ia bukan lagi di bawah kawalan harga, sebaliknya ditentukan (harga) oleh pasaran.


Ismail Sabri berkata, langkah itu antara lain untuk mengelak ketirisan ke sempadan negara memandangkan jurang perbezaan harga dengan negara Asean bagi simen dan keluli tidak ketara dan bekalan ayam yang semakin stabil.


Pemansuhan lesen runcit itu dikatakan akan mewujudkan daya saing di antara pengeluar dan peruncit dalam memastikan kualiti barang yang terbaik ditawarkan kepada pengguna.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPDNKKberikuasapenggunatetaphargatigabarang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...