Friday, June 25, 2010

Ibu tunggal bingung dua anak tiada sijil kelahiran

2010/06/25

KUANTAN: Seorang wanita bukan saja menderita selepas ditinggalkan suami, malah bingung memikirkan masa depan dua anaknya apabila mereka menghadapi kesukaran mendapatkan sijil kelahiran.

Ibu tunggal terbabit, Erni Yusnita Che Mat, 38, dari Taman Indera Sempurna, di sini, berkata, dia mempunyai tiga anak namun dua daripadanya tidak mempunyai sijil kelahiran berikutan tiada saksi ketika mendaftar kelahiran di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.


“Anak pertama, Azmi Haikal Osman, 6, mempunyai sijil kelahiran, namun anak kedua, Lokman Hakim, 5, serta anak bongsu, Nur Aliya Farhana, setahun tujuh bulan tidak,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.


Katanya, selepas melahirkan anak keduanya itu, suaminya, Osman Abu Bakar, 50-an, yang bekerja sebagai pemandu lori mula jarang pulang ke rumah dan tidak mengambil berat mengenai kebajikan mereka sekeluarga.


“Dia jarang pulang ke rumah dan jika pulang hanya membeli barangan dapur, namun tidak meninggalkan wang. Malah, langsung tidak mengendahkan kebajikan anaknya yang baru dilahirkan.


“Lebih teruk apabila dia langsung tidak pulang ke rumah dan menghilangkan diri ketika saya sarat mengandung anak bongsu kami hampir dua tahun lalu,”
katanya.


Menurutnya, dia kini hanya memikirkan kebajikan dan masa depan tiga anaknya namun bingung apabila mengenangkan masalah berkaitan sijil kelahiran dua anaknya itu.


“Sebelum ini saya pernah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Indera Mahkota untuk membuat sijil lahir dua anak saya itu namun menurut pihak JPN, saya perlu mendapatkan saksi untuk membolehkan saya membuat sijil kelahiran mereka.


“Masalahnya saya hidup di sini sebatang kara apabila ahli keluarga sebelah suami langsung tidak menghiraukan kami, malah adik beradik saya yang berada di Terengganu juga tidak mahu campur tangan,”
katanya.


Menurutnya, dia berharap ada pihak sudi tampil membantunya menyelesaikan masalah dihadapi terutamanya ahli keluarga ataupun saudara mara terdekat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...