Nov 19, 10
1:09pm
"Ini kerana beliau terlibat secara langsung dengan peristiwa terbabit," katanya sambil menambah pengkisahan itu akan berlangsung pada hari ketiga, iaitu Ahad ini.
Menurutnya, program itu akan berlangsung di Madrasah Islahiah Diniah - sekolah yang diasaskan oleh Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Tiada permit polis
Nasir berkata pihaknya  tidak memohon permit polis, kerana program tersebut dibuat di dalam kawasan  sekolah dan berharap program itu berlangsung dengan aman tanpa  kekecohan."Sebelum ini kita buat (program) tidak pernah berlaku  apa-apa kekecohan. Berlangsung dengan aman," katanya.
Namun katanya, pihak penganjur juga telah memaklumkan kepada polis berhubung penganjuran program berkenaan.
PAS menganggarkan kira-kira 50 ribu pengunjung dari seluruh negara akan  menghadiri penganjuran "ala-ala karnival" dalam sambutan ulang tahun ke-25  memperingati peristiwa Memali.
Selain pengkisahan itu, pelbagai program  juga disusun bermula hari ini yang dianjurkan Pemuda PAS Kedah dengan kerjasama  Pemuda PAS di peringkat pusat."Apa yang menarik dalam program ini adalah kita mahu  mengimbau insiden yang berlaku 25 tahun lalu. Ada di kalangan generasi (yang  berumur) 25 tahun, tidak mengetahui (sejarah) peristiwa ini.
"Kita mahu  menyampaikan sejarah peristiwa Memali. Kita mahu peristiwa ini sentiasa segar  dalam ingatan rakyat di negara ini," kata Nasir.
Tragedi Memali pada 1985  menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis  yang cuba menahan Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 pengikutnya  di bawah Akta ISA 1960.
Mereka didakwa disyaki terlibat dalam kegiatan yang  menggugat keselamatan negara.
Menurut kerajaan, semasa operasi tersebut,  pihak polis telah diserang oleh pengikut-pengikut Ibrahim dengan bersenjatakan  senjata api, parang, pedang dan buluh runcing.
Pihak polis telah menyeru  mereka supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman tetapi didakwa  tidak diendahkan dan demi mempertahankan diri dan mematahkan serangan tersebut,  pihak polis mendakwa terpaksa menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan.  
Konvoi bermotosikal
Peristiwa tersebut, turut mengorbankan empat anggota polis  23 anggota polis dan 14 orang awam mengalami kecederaan.
Menurut Nasir,  lagi program sambutan memperingati peristiwa yang menyayat hati itu dibuat  setiap tahun bagaimanapun kali ini dianggap istimewa kerana sempena genapnya 25  tahun peristiwa itu.
Nasir berkata, program selama tiga hari ini diisi  dengan program antaranya, ijtimak guru dan pelajar pondok, konvoi Pemuda PAS,  persembahan nasyid, tahlil perdana, klinik smart solat, pameran gambar  tragedi berkenaan, pameran jabatan pendidikan negeri, dan ceramah perdana.
Selain itu, Nasir juga berkata pantomin mengisahkan rakyat Palestin akan juga dipentaskan bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kesengsaraan yang masih terus dihadapi oleh saudara Islam mereka di bumi Anbiya'.
"Konvoi bermotosikal dibuat oleh semua 15 kawasan seluruh  Kedah menuju ke Memali dan saya difahamkan turut disertai oleh beberapa kawasan  dari Perak.
"Ceramah pembukaan malam ini yang akan disempurnakan oleh  Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kita menjangkakan kira-kira 8,000 orang  akan menghadirinya sekiranya cuaca mengizinkan," katanya ketika dihubungi pagi  ini.
http://malaysiakini.com/news/148606
 
 
No comments:
Post a Comment