Monday, February 23, 2009

Perarakan rai kemenangan dilarang di Bukit Gantang, Bukit Selambau


Perarakan rai kemenangan dilarang di Bukit Gantang, Bukit Selambau



PETALING JAYA: Pihak berkuasa telah memutuskan untuk tidak membenarkan perarakan meraikan kemenangan, yang dialami di Kuala Terengganu bulan lalu, diadakan ketika pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau April ini.

Perkara itu diputuskan dalam perbincangan antara polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Keputusan bersama tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang suasana tidak disenangi dan demi keselamatan, kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online.

"Kami (SPR dan polis) memutuskan berdasarkan pengalaman selepas keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu diumumkan... perarakan meraikan kemenangan yang disaksikan di Kuala Terengganu sudah lama tidak berlaku dalam pilihan raya negara ini.

"Jadi, kami pun terkejut dengan perkembangan di Kuala Terengganu dan kami tidak mahu ia berulang (di Bukit Gantang dan Bukit Selambau) kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan," katanya lagi.

Kedua-dua kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau dianggap sebagai bahagian yang agak "panas" berdasarkan perkembangan politik semasa.

Perarakan merainkan kemenangan pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan kesannya telah dibangkitkan dalam mesyuarat bedah siasat yang diadakan sejurus selepas hari pengundian 17 Januari lalu.

Perarakan merainkan kemenangan di Kuala Terengganu telah menyebabkan kesesakan teruk di ibu negeri Terengganu dan membawa kepada tangakapan beberapa pihak.

Kejadian itu berlaku di sebalik tanggapan positif pelbagai pihak bahawa proses penamanaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu, yang berjalan dengan lancar dengan himpunan hampir 40,000 orang penyokong Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, merupakan yang terbaik sejak lima tahun yang lalu.

"Setiap perarakan meraikan kemenangan akan melibatkan aktiviti provokasi, boleh mencetuskan pergaduan dan kejadian tidak diingini.

"Kami akan memastikan di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau, Ketua Polis Daerah masing-masing akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan perarakan meraikan kemenangan diadakan," katanya lagi.

Tambah beliau, pemimpin-pemimpin parti politik juga terkejut dengan perkembangan di Kuala Terengganu.

"Oleh itu, kami berharap pemimpin-pemimpin parti politik yang bertanding di Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan menasihatkan penyokong masing-masing supaya tidak mengadakan perarakan seumpama itu," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/23/mstar_berita/20090223111805&sec=mstar_berita


DAP sokong permintaan Ibrahim ali letak jawatan


DAP sokong permintaan Ibrahim ali letak jawatan


KOTA BAHARU: DAP Kelantan menyokong saranan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Setiausaha Jawatankuasa Penaja DAP Kelantan, Sew Kok Beng berkata langkah itu sejajar dengan hasrat pengundi di kawasan itu yang mahukan seorang pemimpin 'berwibawa dan mengenang budi'.

"Ibrahim patut meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana sebelum ini kemenangannya atas lambang Pas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kok Beng mengulas saranan Mursyidul Am Pas itu bahawa pengundi di kawasan Pasir Mas perlu diberi peluang bagi menentukan siapa pemimpin yang dikehendaki.

Kok Beng berkata bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas itu sepatutnya menghormati Pas yang memberi laluan mudah bertanding di kawasan itu sekaligus mencatat nama sebagai wakil rakyat bebas.

Ibrahim berkata, jika beliau melepaskan jawatan Anggota Parlimen, beliau perlu menunggu lima tahun lagi untuk melayakkannya bertanding. BERNAMA

Kerajaan kawal perbelanjaan calon pilihan raya tidak lebih RM200,000


Kerajaan kawal perbelanjaan calon pilihan raya tidak lebih RM200,000


KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya mengawal perbelanjaan yang dibuat oleh calon pilihan raya tidak melebihi RM200,000 dan sebarang perbelanjaan yang dibuat oleh rakan-rakan calon tidak boleh diambil kira sebagai perbelanjaan calon.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sekiranya ada perbelanjaan yang dilakukan oleh rakan-rakan calon dalam pilihan raya, ia tidak boleh diambil kira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan calon.

"Kalau perbelanjaan individu ini, kita tidak boleh kawal. Saya setuju bahawa di bawah akta, calon tidak dibenarkan berbelanja lebih daripada RM200,000 tapi kalau kawan-kawan calon, kita tidak boleh hendak halang," katanya ketika menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azan dalam soalannya bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk mengadakan peraturan supaya perbelanjaan pilihan raya oleh calon boleh dikawal.

Selain itu, Nazri berkata, setakat ini perbelanjaan bagi pilihan raya umum ke-12 adalah RM123.7 juta, sementara bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah RM409 ribu dan Kuala Terengganu adalah RM580 ribu.

Sementara itu, Nazri berkata, pilihan raya kecil mesti diadakan sekiranya wujud kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan wakil rakyat yang meletak jawatan.

Beliau berkata, setakat ini, sekiranya seseorang wakil rakyat itu meletak jawatan, beliau tidak dibenarkan bertanding selama lima tahun.

"Selain itu, peraturan yang ditetapkan, apabila sampai tahun ketiga, jika berlaku kematian atau pengisytiharan muflis kepada seseorang wakil rakyat, barulah pilihan raya tidak diadakan.

"Ini bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat kerana pilihan raya umum akan diadakan setiap empat hingga lima tahun," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat).


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/23/mstar_berita/20090223134203&sec=mstar_berita

Zambry, 4 Exco dapatkan panduan Peguam Diraja di London


Zambry, 4 Exco dapatkan panduan Peguam Diraja di London



PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya yang digantungdaripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 12 dan 18 bulan, mahu mendapatkan panduan Peguam Diraja berhubung krisis perlembagaan Perak.

Sehubungan itu, beberapa anggota pasukan peguam mereka dijadual berlepas ke London hari ini.

Turut bersama mereka ialah salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit.

"Pasukan ini terdiri daripada peguam kanan dan muda, dengan salah seorang daripada mereka pernah terlibat dalam kes membabitkan Ketua Menteri Sabah pada 1986," kata seorang sumber yang dipetik oleh The Starhari ini.

Menurut sumber itu, mereka akan mendapatkan pandangan kedua berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung mereka dan juga tindakan perundangan yang diambil oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Kata sumber itu, pasukan tersebut ke London bagi pihak Zambry dan enam Exco berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Peguam Diraja akan mewakili mereka di mahkamah, sumber itu berkata: "Tidak. Selain mendapatkan pandangan kedua, mereka juga mahukan pandangan berhubung kedudukan bidang kuasa Komanwel yang lain, selain kes-kes di Sabah dan Sarawak di sini.

Pada Rabu lalu, Zambry digantung serta-merta dan dilarang daripada menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco pula digantung selama 12 bulan.

Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (ADUN Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd. Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang).

Pada keesokan hari, Zambry berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan tindakan menggantung mereka daripada menyertai mesyuarat DUN.

"Buat masa ini kami akan menjalankan tugas seperti biasa... apa yang penting adalah kesahihan tindakan Sivakumar yang membuat keputusan serta-merta dan melakukan pembohongan besar kononnya kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang semalam.

"Tidak timbul soal saya dan enam (Exco) berhadapan masalah untuk masuk DUN kerana isunya sekarang adalah cara dia bertindak," katanya.

Sah Konvensyen Khas BN ditangguh


Sah Konvensyen Khas BN ditangguh



PETALING JAYA: Konvensyen khas Barisan Nasional (BN), salah satu daripada lima inisiatif Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum melepaskan jawatan Presiden dan Perdana Menteri hujung bulan depan, ditangguhkan sehingga berakhirnya dua pilihan raya kecil awal April.

Konvensyen itu sebelum ini dijadualkan berlangsung bulan ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengesahkan keputusan untuk menangguhkan konvesyen tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada BN membuat persiapan rapi menghadapi dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau.

Kedua-duanya akan berlangsung 7 April dengan penamaan calon 29 Mac.

"Kita bukan suka-suka untuk tangguhkan konvensyen, lewat kebelakangan ini banyak sangat pilihan raya kecil.

"Jadi Dewan Tertinggi BN telah memutuskan adalah lebih baik untuk menangguhkannya buat masa sekarang," kata beliau kepada mStar Online hari ini.

Ketika mengumumkan tarikh pelan peralihan kuasa Mac 2009, Abdullah berkata, beliau ingin melihat kerajaan dan BN memperbaharui komitmen terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

"Hakikatnya, kita sudah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis.

"Pelbagai isu dibangkitkan berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini.

"Isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, menerusi dialog; tangani isu ini secara konstruktif dan adil bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan dan berikan fokus kepada aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek yang makin memecah-belahkan kita."

Bagi tujuan itu, Abdullah yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata, beliau akan mengadakan Konvensyen BN awal tahun 2009.

"Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya," katanya.

Ditanya tentang tarikh baru yang ditetapkan untuk mengadakan konvensyen tersebut, Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata: "Kita kena tengok tarikh yang sesuai dahulu, mungkin selepas pemilihan Umno berakhir."

Pemilihan Umno dan Perhimpunan Agung Umno berakhir 28 Mac ini dan disusuli dengan dua pilihan raya kecil tersebut.

"Namun tarikh sebenar belum diputuskan lagi," katanya.

Konvensyen BN yang sepatutnya berlangsung bulan ini dijadualkan membincangkan beberapa isu seperti syor parti MCA yang mahu jawatan Timbalan Pengerusi BN ditambah dan satu daripadanya diisi oleh parti itu.

Adnan juga mengesahkan Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan hal-hal berbangkit dalam parti komponen tersebut.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/23/mstar_berita/20090222213414&sec=mstar_berita

Jangkitan HIV naik 2 peratus

KUALA LUMPUR: Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap kes jangkitan HIV dikalangan wanita menunjukkan peningkatan dua peratus daripada 14 peratus kes pada 2007 kepada 16 peratus tahun lalu.

Ahli Exco Yayasan Pink Triangle (PT Foundation), Khartini Slamah yang mewakili Pengerusi Yayasan, Hisham Hussein berkata, peningkatan itu amat membimbangkan kerana ia hanyalah berdasarkan kes dilaporkan.

Hingga tahun lalu katanya, hanya 82,704 kes jangkitan HIV berjaya dikesan sejak kes pertama pada 1986, sedangkan jumlah penghidapnya mungkin lebih tinggi daripada jangkaan pihak berkuasa.

Menurutnya, ramai daripada penghidap HIV ini enggan mendapatkan rawatan sepatutnya akibat kurang pengetahuan mengenai cara rawatan disediakan.

“Di samping itu, kita tidak boleh mengandaikan kebanyakan penghidap HIV ialah golongan penagih dadah kerana kini semua orang mendapat jangkitannya jika tidak berhati-hati terutamanya golongan wanita,” katanya ketika berucap di Majlis Hari Peringatan Sedunia 2009 dan Pelancaran Projek Kesedaran HIV/AIDS di Kelab Taman Perdana Diraja, Tasik Perdana di sini, semalam.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan. Hadir sama Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Zahillah Mohd Taib.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090223085015/Article/index_html

Guru cium, peluk pelajar

KUALA LUMPUR: Perumpamaan harapkan pagar, pagar makan padi mungkin sesuai bagi menggambarkan perbuatan seorang guru kaunseling yang didakwa mencabul pelajarnya sendiri di sebuah sekolah menengah di Cheras di sini.

Guru terbabit dikatakan sering mengambil kesempatan terhadap pelajarnya itu ketika di dalam pejabat guru berkenaan menyebabkan mangsa yang berusia 15 tahun yang tidak tahan dengan perangai jijik itu membuat laporan polis. 

Walaupun kejadian itu berlaku November tahun lalu, pelajar perempuan itu baru menyedari yang perbuatan dilakukan bekas gurunya satu kesalahan apabila dia bercerita peristiwa hitam itu kepada rakannya yang juga seorang pengawas di sekolah itu. 

Rakannya itu membawanya berjumpa dengan guru disiplin dan dia yakin tindakan jahat guru berkenaan dan membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Menurut sumber, pada awal November tahun lalu pelajar itu mendakwa dipanggil oleh guru kaunseling berkenaan ke pejabatnya selepas sesi persekolahan tamat. 

“Mangsa yang tidak tahu tujuan dipanggil guru berkenaan itu terkejut apabila guru terbabit mula bertanya hal peribadinya sebelum mendekatinya dan memegang tangannya.

“Guru berkenaan memeluk mangsa dan mencium dengan ghairah,”
katanya, semalam.

Sumber itu berkata, mangsa yang ketakutan menolak lelaki itu serta merayu supaya melepaskannya.

Katanya, mangsa lega apabila guru itu tidak membuat perkara lebih teruk.

“Namun, pelajar perempuan itu mendakwa guru berkenaan datang ke kelasnya keesokannya dan menyuruhnya pergi bilik kaunseling sekali lagi.

“Mangsa yang khuatir dengan kejadian dicium dan dipeluk lelaki itu membawa rakannya bersama ke bilik berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, namun guru terbabit memarahinya kerana membawa rakan sebelum menyuruhnya kembali ke kelas dan menegaskan yang mahu berjumpanya saja.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090223090138/Article/index_html

Indeks jenayah curi meningkat


KUALA LUMPUR:
Tiga jenis kategori ‘pencuri runcit’ dalam istilah jenayah yang tergolong daripada pelajar sekolah, wanita mengandung dan warga emas akan tetap meneruskan tabiat itu kerana menganggap masyarakat tidak sampai hati mengheret mereka kepada pihak berkuasa.

Disebabkan itu, jenayah curi kecil-kecilan mencatatkan tangga kedua tertinggi dalam indeks jenayah tahun lalu dengan jumlah 44,000 kes di belakang jenayah kecurian motosikal 64,000 kes. Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata mengikut kajian, budi bicara melampau atau terlalu bersifat kasihan di kalangan masyarakat sebenarnya menggalakkan lagi penjenayah terbabit melakukan kesalahan itu.

“Masyarakat dinasihatkan tidak menaruh simpati kepada penjenayah berkenaan. Memang mereka menangis apabila tertangkap tapi ia tangisan ‘kantoi’ bukannya kerana menyesal,” katanya.

Kecurian kedai runcit meningkat

KUALA LUMPUR: Tekanan krisis ekonomi ketika ini dipercayai menjadi punca yang turut mengheret warga emas termasuk wanita menjadi pencuri kecil-kecilan terutama di pasar mini dan kedai 24 jam.

Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka 24 jam yang hanya mahu dikenali Aiman, 25, berkata kejadian mencuri pelbagai barang makanan di dalam premis tempat dia bertugas semakin menjadi-jadi sejak sebulan lalu.

Menurutnya, kecurian terbabit tidak lagi hanya dilakukan remaja nakal, malah turut membabitkan wanita pertengahan usia dan lelaki warga emas.

“Agak sukar untuk saya percaya perkara ini berlaku, namun tangkapan demi tangkapan yang dilakukan membuktikan mereka benar-benar datang ke kedai untuk mencuri.

“Pencuri makanan ini mudah diberkas berikutan premis kami mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) selain bilik khas di belakang premis yang digunakan untuk mengintip gerak geri pelanggan,” katanya. 

“Antara makanan yang kerap dicuri adalah coklat, susu pekat manis, sardin, susu bayi dan roti. Kebanyakan barang ini akan diselitkan di dalam poket seluar, beg plastik atau beg pasar yang dibawa,” katanya.

Malah, katanya pernah berlaku seorang lelaki warga emas berusia 60-an diberkas selepas mencuri ubat batuk yang disembunyikan di belakang seluar dalamnya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090223091654/Article/index_html

Ilmu hitam RM30

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Salman Hamat
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis ilmu pembomohan dijualnya, bahkan berunsur jahat semata-mata untuk mendapatkan wang.

Dengan hanya membayar RM30, sesiapa saja boleh mempelajari ilmu seperti perangsang, (membangkit berahi wanita), menghilangkan diri, pelaris, membuat minyak pengasih, penunduk, tarik duit, cinta berahi dan memikat suami yang ditawarkan sebuah laman web ilmu pengasih.

Laman web itu bagaimanapun mencampur adukkan ayat suci al-Quran dengan pelbagai mentera yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ini seolah-olah memperdagangkan ayat suci al-Quran untuk kegiatan ke arah kesesatan.

Ilmu pembomohan itu tidak ubah seakan tuisyen gaya pos yang popular satu masa dulu apabila individu boleh mempelajari sendiri ilmu berkenaan selepas menerima panduan dikirim menggunakan e-mel pelanggan. 

Bagi mengumpan pelanggan, pengendali laman web terbabit turut mendakwa ilmu ditawarkan bukan saja laris di pasaran tempatan tetapi juga luar negara. 

Antara pelanggan luar yang dikatakan menempah ilmu terbabit dari New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat, Britain serta beberapa lagi negara Eropah. 

Dakwa pengendali itu lagi, ada pelanggan dari luar negara yang taksub mempelajari ilmunya sanggup berbual melalui telefon berjam-jam untuk mendapatkan petua, keberkatan serta menjamin kemujaraban ilmu dipelajari daripadanya.

Bukan itu saja, dia yang mendakwa sudah berkahwin menceritakan kisah hidupnya sebelum ini yang dipenuhi peristiwa duka.

Tetapi, kini, kehidupannya berubah selepas dia mengamalkan pelbagai ilmu berkenaan daripada seorang guru.

Apabila merasakan hidupnya mulai senang, dia mengambil keputusan untuk berkongsi amalan terbabit dengan menjualnya kepada umum melalui online.

Bagi individu berminat melanggan produknya, mereka diperlukan membuat bayaran menggunakan akaun bank atau kad kredit. 

Curiga dengan laman web terbabit, wartawan Harian Metro cuba menghubungi pengendali laman web berkenaan menggunakan telefon bimbit tertera.

Namun, panggilan tidak dijawab dan sengaja diputuskan.

Sementara itu, pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, ketika diminta mengulas kewujudan laman web aneh itu, berkata teknik pembelajaran sedemikian tidak digalakkan agama berikutan boleh mengakibatkan akidah umat Islam disongsangkan.

Katanya, doa daripada ayat suci al-Quran serta mentera yang diragui maksudnya boleh menyesatkan umat Islam.

“Ia dicurigai menyeru makhluk lain jika diamalkan tanpa meminta nasihat daripada pakar agama.

“Lebih merisaukan mengikut hadis Rasulullah, teknik pembelajaran tanpa berguru boleh diibarat seperti berguru dengan syaitan, khasnya jika diamalkan golongan muda yang masih mentah serta kadang-kadang terlalu ghairah mempelajari ilmu seperti itu.

“Berikutan itu, bagi mereka yang ingin mendalami ilmu agama hendaklah berguru agar kesilapan atau sebarang perkara tidak jelas boleh dirujuk terus pada guru masing-masing,”
katanya yang menjelaskan aktiviti jual beli ayat suci al-Quran adalah ditegah. 

Menurutnya, beliau sendiri hampir terjerat dengan ilmu pembomohan apabila diminta menghuraikan maksud mentera dalam bahasa jawa dicampur aduk dengan ayat Kursi dan Al-Fatihah kononnya untuk menghalau jin oleh seorang wanita.

“Ketika mula dibaca, saya merasakan ia gabungan ayat yang mantap, bagaimanapun selepas dikaji mentera terbabit, didapati mengarut kerana turut memuja makhluk halus bagi membantu menghalau makhluk halus mengganggu manusia,” katanya. 

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan tawaran mendapatkan ilmu dengan harga serendah RM30, sebaliknya merujuk pada pakar agama.

http://www.hmetro.com.my/Monday/BeritaUtama/20090223083644/Article

Lelaki gila bayang kacau bekas kekasih


KUALA TERENGGANU – Gara-gara kecewa cintanya ditolak, seorang lelaki mengambil keputusan nekad mengganggu dan mengugut bekas kekasihnya yang baru berkahwin dengan lelaki lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, dalam kejadian pukul 4 pagi kelmarin di Kampung Paya Resak, Bukit Payong, Marang, mangsa berusia 22 tahun mendakwa rumahnya telah didatangi bekas kekasihnya berusia 41 tahun.

“Mangsa semasa itu berada di dalam bilik seorang diri sebelum terdengar bunyi bising orang memanggil namanya sambil mengetuk dinding rumah.

“Apabila dia tidak mempeduli panggilan itu suspek menjerit dengan mengugut akan berusaha memisahkan mangsa dengan suaminya,’’ ceritanya ketika ditemui di pejabat semalam.

Dakwanya lagi, lelaki itu yang bengang kerana terus tidak diendahkan kemudiannya membakar mercun selain terus mengugut akan membakar kereta dan rumah mangsa.

Katanya, selepas sejam berusaha menarik perhatian mangsa, suspek yang gagal kemudian meninggalkan rumah bekas kekasihnya itu.

Fauzi memberitahu, bekas kekasih mangsa merupakan bekas pembantu di kedai ibunya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Iran keluar wang kertas baru


TEHERAN – Selepas beberapa minggu melancarkan satelit ciptaannya ke angkasa, Iran merancang untuk mencetak wang kertas dan syiling baru, lapor sebuah akhbar semalam.

Wang kertas dan syiling baru itu memaparkan imej satelit pertama ciptaan tempatan itu.

Iran melancarkan satelit telekomunikasi pada 3 Februari lalu sekali gus membimbangkan kuasa Barat.

Pada tahun 2007, Iran pernah mengeluarkan wang kertas berjumlah 50,000 riyal (RM18.70) dengan menunjukkan simbol atom. – Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

5,000 serbu tawaran kerja di Singapura


BEDOK – Sebuah karnival kerjaya yang diadakan kelmarin di sini berjaya menarik 5,000 pengunjung untuk mengisi 1,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 12 syarikat di Singapura, lapor sebuah akhbar semalam.

Karnival yang pertama kali diadakan ini adalah anjuran Majlis Pembangunan Komuniti Tenggara (CDC) dengan kerjasama Jawatankuasa Perundingan Penduduk Kampong Chai Chee.

Seorang pencari kerja Xavier Chan mengaku sukar untuk mencari kerja kerana terdapat banyak persaingan sengit.

– Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Bush ditawar jadi penyambut tetamu


BUSH melambaikan tangan ketika dia menuju ke kediaman barunya di Dallas, Jumaat lalu.


DALLAS - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush yang mengunjungi sebuah kedai peralatan di sini pada awal bulan ini menawarkan dirinya untuk menjadi penyambut tetamu di kedai berkenaan.

Pengurus kedai itu, Andrea Bond memberitahu Bush memasuki kedainya pada Sabtu lalu dan berkata: "Saya sedang mencari kerja."

Kedai Elliott's Hardware itu kemudian menghantar sepucuk surat terbuka kepada Bush dengan mengundangnya bagi bekerja sebagai seorang penyambut tetamu.

Surat itu disiarkan dalam akhbar The Dallas Morning News dan penerbitan Quick.

Bond berkata, Bush menghabiskan masa sejam untuk membeli-belah dan berbual-bual dengan pelanggan sepanjang lawatan mengejutnya itu.

Bush membeli beberapa lampu suluh, bateri dan satu tin penyembur antikarat serta lampu tidur.

Bekas Presiden itu dan isterinya, Laura telah berpindah ke sebuah rumah di kawasan Preston Hollow, Dallas pada Jumaat lalu. - AP

Netanyahu ikrar kerjasama


SEORANG askar wanita dari sebuah stesen radio Israel memegang mikrofon ketika Netanyahu (kanan) memberi kenyataan di Baitulmaqdis semalam.


BAITULMAQDIS - Pemimpin Parti Likud yang baru dipilih sebagai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan menjalin kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) berrhubung isu keamanan di Asia Barat.

Netanyahu dipilih oleh Presiden Shimon Peres untuk mengetuai pembentukan kerajaan campuran dan menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Beliau merancang menemui Menteri Luar, Tzipi Livni bagi memasukkan Parti Kadima dalam senarai pembentukan kerajaan campuran.

Netanyahu kini memiliki sokongan 65 Anggota Parlimen daripada 120 kerusi tetapi kerajaan pimpinannya mungkin mencetuskan pergeseran dengan AS.

Pergeseran itu mungkin tercetus berhubung ikrar Presiden AS, Barack Obama untuk mewujudkan perjanjian sebuah negara Palestin dengan segera.

"Saya sebaliknya menjangka kerjasama dengan pentadbiran Obama dan cuba untuk mencapai sasaran keamanan yang sama, keselamatan dan kemakmuran untuk kami dan jiran-jiran kami," kata Netanyahu kepada pemberita.

Ketika menjadi Perdana Menteri dari 1996 hingga 1999, beliau berbalah dengan pentadbiran Presiden Bill Clinton ketika itu tetapi tunduk kepada tekanan AS dan menyerahkan sebahagian kawasan bandar Tebing Barat, Hebron kepada pemerintahan Palestin. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Dedah kisah sebenar




LOS ANGELES - Antao Rohan iaitu bekas tunang kepada aktres India, Freida Pinto mendedahkan punca hubungan mereka berakhir, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurutnya, Pinto meninggalkannya selepas wanita itu mengecapi kejayaan besar kerana berlakon dalam filem Slumdog Millionaire.

"Dia (Pinto) menamatkan hubungan dengan saya selepas semakin rapat dengan Dev Patel (aktor yang berlakon bersama Pinto)," kata Rohan.

"Kini, di setiap tempat saya pergi, saya melihat wajah mereka di papan iklan besar. Saya berasa amat kecewa," tambahnya.

Dalam satu temu ramah eksklusif, Rohan yang berumur 24 tahun mendedahkan Pinto pernah memaksanya menyembunyikan pertunangan mereka demi kerjaya aktres tersebut.


Dev Patel


Rohan turut menjelaskan Pinto enggan mendengar rayuannya supaya tidak menghabiskan banyak masa dengan Patel.

Dia mendedahkan hubungan selama 16 bulan dengan Pinto ditamatkan apabila aktres itu menghubungi menerusi telefon bimbit ketika mempromosikan filem tersebut bersama Patel.

"Saya membenci filem itu, Ia memusnahkan hubungan saya. Sejurus selepas filem itu mengecapi kejayaan, dia mula menghabiskan banyak masa dengan Patel," katanya.

Hubungan mereka bermula pada September 2007.

Ketika itu, Pinto sedang bekerja untuk televisyen dan menjadi model, muncul dalam majalah dan iklan gula-gula getah.

Rohan berkata: "Kami dari latar belakang berbeza tetapi hubungan persahabatan dan saling menghormati menjadikan hubungan kami istimewa.

"Kami bersetuju dan mahu menghabiskan masa bersama," katanya ketika menceritakan detik-detik indah ketika amsih bersama. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Budak 11 tahun tembak mati kekasih bapa


SEBUAH ambulans diletakkan di luar rumah tempat Kenzie dibunuh di Wampum kelmarin.


WAMPUM - Seorang budak lelaki berumur 11 tahun menembak mati kekasih bapanya yang hamil dari belakang kepalanya ketika dia sedang tidur di rumahnya di Wampum, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa kelmarin.

Seorang pegawai polis, Leftenan Steve Ignatz berkata, budak itu kemudian menaiki bas ke Sekolah Rendah Mohawk.

Peguam Daerah Lawrence, John Bongivengo berkata, budak lelaki itu, Jordan Brown didakwa kelmarin kerana menembak mati Kenzie Marie Houk yang berumur 26 tahun dan sedang hamil lapan bulan.

Anak perempuan Kenzie yang berumur empat tahun sedang makan sarapan pagi dan menonton kartun ketika kejadian sebelum mendapati ibunya sudah mati, sejam kemudian.

Dia kemudian berlari ke luar rumah dengan memberitahu kejadian itu kepada pencatas dahan pokok.

Beberapa anggota keluarga dan rakan Kenzie memberitahu budak itu menghadapi masalah hubungan dengan kekasih bapanya pada masa lalu.

"Terdapat isu cemburu. Dia (budak itu) memberitahu anak saya bahawa dia mahu melakukannya ke atas Kenzie," kata adik ipar Kenzie, Jason Kraner.

Bongivengo berkata, Brown didakwa melakukan pembunuhan jenayah termasuk ke atas seorang anak yang belum dilahirkan.

Dia kini ditahan di sebuah penjara daerah Lawrence.

Satu sebutan kes akan diadakan pada Selasa ini.

Bongivengo berkata, budak itu menembak mati kekasih bapanya itu dengan menggunakan senapang patah yang direka khas untuk budak dan ia tidak perlu didaftarkan.

Bapa Kenzie, Jack Houk berkata, budak itu belajar menembak di belakang rumah mereka dan memburu bersama bapanya.

Menurutnya, terdapat ketegangan hubungan antara anaknya dengan budak itu.

Namun, Kenzie berusaha untuk meneruskan hubungan dengan budak itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Bayi dicabul dengan jari


CYNTHIA menunjukkan bayinya yang disyaki menjadi mangsa deraan seksual ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Sentul semalam.


KUALA LUMPUR – Kehairanan seorang ibu muda, Cynthia, 20, (bukan nama sebenar) yang melihat bayi perempuannya yang berusia setahun sering menangis sejak dua bulan lalu terjawab apabila mendapati kemaluan anaknya berdarah di saat beliau menukar lampin anak sulungnya itu pada 18 Februari.

Lebih mendukacitakan wanita itu apabila bayi yang mulanya dibawa ke klinik kemudiannya dinasihati oleh doktor supaya merujuk anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengesyaki anaknya didera secara seksual.

Di HKL bayi malang itu telah ditahan di wad selama tiga hari kerana memang wujud kesan kecederaan serius di kemaluan bayinya.

Pendedahan tersebut benar-benar meragut emosi seluruh ahli keluarga pasangan muda itu lantaran tragedi berkenaan berlaku sehari sebelum bayi tunggal mereka menyambut ulang tahun kelahiran pertama.

Ibu muda itu berkata, tragedi malang itu semuanya tidak akan terjadi jika mereka tidak menghantar bayinya untuk jagaan seorang pengasuh warga tempatan yang juga merupakan kenalan ibunya sejak dua tahun lalu.

“Saya bekerja sebagai kerani, suami sebagai mekanik, ibu bapa kami turut bekerja, jadi kami hantar anak sulung kami kepada pengasuh yang duduk satu kawasan di sini sejak tujuh bulan lalu dengan bayaran RM550 sebulan.

“Tiada perasaan curiga timbul pada awalnya kerana dia kawan mak saya tapi lama-kelamaan saya melihat perubahan kesihatan anak saya yang semakin tak bermaya dan selalu saja sakit-sakit,’’ kata Cynthia sambil memangku bayinya sambil ditemani oleh suami dan ahli keluarga semasa ditemui di rumahnya di Bandar Baru Sentul semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Usul tidak percaya terhadap MB Perak

Usul tidak percaya terhadap MB Perak




IPOH – Senario politik di Perak tidak akan berakhir begitu mudah walaupun bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sudah keluar dari kediaman rasminya semalam.

Ini ekoran cadangan Pakatan Pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas yang bakal diadakan selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Menurut Mohammad Nizar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar telah menulis surat meminta persetujuan Sultan Perak untuk diadakan satu persidangan khas DUN itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, surat ‘rayuan’ itu telah dihantar oleh ADUN Tronoh berkenaan kepada Sultan Azlan Shah pada minggu lalu untuk mendapat perkenan bagi mengadakan sidang khas tersebut.

“Dalam sidang khas itu, kita akan menentukan siapa sebenarnya memperolehi majoriti undi supaya dapat dilihat jelas oleh rakyat tentang kedudukan sebenar senario politik di negeri ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Nizar kosongkan kediaman rasmi


MUHAMMAD NIZAR melambai kepada penyokongnya semasa meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar semalam.


IPOH – Setelah ‘berkubu’ lebih tiga minggu di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin akhirnya mengosongkan rumah itu bersama keluarganya semalam.

Mohammad Nizar bersama isteri dan enam orang anaknya meninggalkan kediaman rasmi itu kira-kira pukul 11.40 pagi bersama beg pakaian dan barangan keperluan milik peribadi yang lain.

Beliau meninggalkan rumah itu dengan menaiki kenderaan Naza Ria miliknya bersama keluarga sambil diiringi anggota unit amal dari parti Pas menuju ke sebuah rumah dua tingkat di Rapat Setia di sini.


PETUGAS memasukkan barangan milik Muhammad Nizar ke dalam lori sebelum beliau meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Raja DiHilir, Ipoh semalam.


Isterinya, Datin Seri Fatimah Taat kelihatan sedih dan termenung ketika mereka meninggalkan kediaman rasmi itu dan Nizar yang kelihatan tenang sentiasa senyum serta melambai tangan ke arah penyokong setia dan pengamal media yang berkumpul sejak awal pagi.

Proses pemindahan itu dibantu oleh anggota unit amal Pas yang mengemas dan memunggah barang-barang peribadi milik Nizar sekeluarga sejak awal pagi ke dalam lori yang terletak di pekarangan kediaman tersebut.

Bekas Menteri Besar Perak ke-10 itu meninggalkan kediaman tersebut sambil mengucapkan selamat tinggal kepada penyokongnya dan menyatakan beliau tidak menyesal atau sedih berbuat demikian dan menyifatkan ia sebagai rumah yang membawa kenangan manis kepada keluarganya sepanjang 10 bulan lalu.

“Saya tidak berat hati mengosongkan kediaman ini kerana akan kembali ke pangkuan rakyat secepat mungkin dan di rumah ini, saya berpeluang bermesra dengan rakyat pelbagai kaum yang singgah ke sini dan saya membawa kenangan manis berkenaan bersama keluarga.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...