Sunday, May 3, 2009

Penternak ayam lawan menteri - FLFAM tidak mahu masuk campur selepas diminta turunkan harga ayam


SEORANG peniaga, Jupri Data menjual ayam pada harga RM6.50 sekilogram di pasar Jalan Raja Alang, Kampung Baru semalam. Harga sekilogram ayam diproses pada bulan Mac lalu ialah RM5.20 sekilogram.





KUALA LUMPUR - "Kita sudah tidak mahu masuk campur lagi berkaitan dengan harga ayam dan sekarang terpulang kepada pembekal serta peniaga untuk menentukan sendiri harga ayam masing-masing.''

Demikian pendirian yang dibuat oleh Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) memberi tempoh sehingga semalam untuk mereka menurunkan harga ayam.

Naib Pengerusi Unit Ayam Daging FLFAM, Yap Kim Wah menyifatkan permintaan kerajaan itu terlalu mendesak dan boleh menjejaskan industri ayam negara kerana ketika ini penternak dan peniaga sudah menjual ayam pada paras harga yang rendah.

Katanya, jika tekanan berterusan itu berlaku, pihak FLFAM enggan lagi bertindak sebagai orang perantara bagi melindungi harga ayam di pasaran.

"Kalau kita turunkan lagi harga ayam, kita akan rugi. Kerajaan sepatutnya melantik pakar bagi mengkaji kos sebenar harga ayam sebelum mengeluarkan apa-apa arahan,'' katanya ketika dihubungi semalam.




Ismail Sabri, menurut laporan akhbar semalam, telah memanggil persatuan penternak serta pemborong ayam dan memberi amaran supaya harga ayam diturunkan segera selepas mereka membuat keputusan menaikkan harga ternakan itu antara 40 sen hingga 60 sen sekilogram pada Selasa lalu.

Mereka diberi tempoh selewat-lewatnya semalam untuk menurunkan harga ayam dan sekiranya gagal isu terbabit akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Guna istilah influenza A


SEBAHAGIAN daripada pelancong yang tiba dari Los Angeles memakai topeng muka di KLIA, Sepang semalam.





KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mulai sekarang akan merujuk wabak selesema babi sebagai influenza A (H1N1) seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar kecil) berharap pihak media akan menggunakan istilah baru itu bagi tujuan penyeragaman berbanding istilah selesema babi ketika ini.

"Dengan penyeragaman nama wabak influenza A(H1N1) ini, ia akan memudahkan laporan, berita akan lebih tepat dan tidak akan menimbulkan kebimbangan kepada mana-mana pihak," katanya selepas mengadakan wawancara di stesen Radio Star FM di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut di sebalik penukaran istilah tersebut melainkan berkata: "Ia adalah istilah yang ditetapkan oleh WHO.''

Tiong Lai berkata, hasil siasatan WHO mendapati penyebaran wabak itu bukan berpunca daripada kandang-kandang babi yang terletak berdekatan desa di Mexico, negara pertama yang mengalami wabak itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

White House sahkan kesihatan Obama tidak berbahaya

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) dilanda kebimbangan malam kelmarin selepas Presiden Barack Obama didakwa terdedah kepada virus influenza A H1N1.

Kebimbangan itu tercetus berikutan seorang pegawai pengiring keselamatan Obama ke Mexico bulan lalu jatuh sakit dengan tanda simptom influenza A H1N1.

Pegawai tersebut, isteri, anak lelaki dan anak saudaranya juga disahkan menghidap selesema namun mereka dipercayai sudah kembali pulih.

Namun, White House menegaskan kesihatan Obama tidak berada dalam bahaya.

Virus influenza A H1N1 melanda bandar raya Mexico pada 13 April iaitu tiga hari sebelum Obama bersama pegawai White House mengadakan lawatan rasmi ke Mexico.

Sementara itu, Naib Presiden Joe Biden dikecam sejumlah rakyat AS kerana tidak membenarkan ahli keluarganya menggunakan kapal terbang kerana wabak influenza A H1N1 sedang merebak.

"Saya memberitahu ahli keluarga untuk tidak berada di tempat tertutup," katanya.

Biden dalam program bual bicara NBC's Today berkata, virus selesema boleh merebak dalam kapal terbang jika ada seseorang bersin.

Kenyataan Biden itu menyebabkan beberapa pegawai industri pelancongan menuduhnya cuba mencetuskan kebimbangan awam.

Kebimbangan Biden itu dipercayai bermula selepas kematian seorang lelaki yang bersalam dengan Obama di Mexico namun pihak berkuasa tidak mengetahui sama ada lelaki itu mempunyai virus influenza A H1N1. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

A H1N1 tidak terlalu agresif

BANDAR RAYA MEXICO - Kerajaan Mexico semalam menyatakan wabak virus selesema babi atau influenza A H1N1 tidak terlalu agresif berbanding apa yang dikhuatiri sebelum ini.

Ketika Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) meningkatkan langkah keselamatan dan amaran pandemik, kerajaan Mexico semalam mengesahkan kematian positif influenza A H1N1 kepada 15 orang manakala 328 lagi dijangkiti.

Menteri kesihatan, Jose Angel Cordova berkata, angka baru itu tidak mewakili kes-kes baru tetapi ia adalah hasil ujian yang sebelum ini ditangguhkan.

"Mujurlah virus itu tidak terlalu agresif. ia tidak seperti selesema burung yang merekodkan kadar kematian hampir 70 peratus," kata Cordova.

Menurutnya, virus influenza A H1N1 lebih senang berjangkit berbanding virus selesema burung namun ia senang dirawat dengan ubat antivirus jika ia diberi sejak hari pertama.

Bagaimanapun, virus itu terus merebak melepasi Mexico hingga ke Asia dan Eropah sejak hari pertama ia dilaporkan pada 13 April lalu.

Pihak berkuasa Mexico turut membatalkan perhimpunan tradisi sempena perayaan Hari Pekerja kerana negara itu sedang dalam tempoh cuti selama lima hari yang bertujuan untuk mengurangkan kesan penularan wabak selesema tersebut.

Banyak restoran, bar, tempat pelancongan dan tempat awam masih ditutup di Mexico. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Selesema babi landa Hong Kong


PENGHUNI-PENGHUNI Hotel Metro Park memakai topeng muka di Hong Kong semalam.



GAMBAR menunjukkan lelaki Mexico yang disahkan menghidap selesema babi dibawa ke Hospital Princess Margaret, Hong Kong semalam.



BEBERAPA anggota polis memakai topeng muka bertindak menutup Hotel Metro Park di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Kerajaan Hong Kong semalam mengesahkan pesakit pertama yang disahkan menghidap penyakit selesema babi atau influenza A H1N1 sekali gus menjadikannya kes pertama di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang berkata, pesakit itu ialah seorang warga Mexico yang mengalami demam selepas tiba di Hong Kong menerusi Shanghai kelmarin.

Menurut Donald, sejumlah ujian oleh Jabatan Kesihatan dan Universiti Hong Kong mengesahkan lelaki itu menghidap penyakit influenza A H1N1.

Pesakit itu kini diasingkan di sebuah hospital dan berada dalam keadaan baik, katanya.

Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai identiti pesakit itu.

Donald menambah, Pengarah Kesihatan, Lam Ping-yan mengarahkan hotel Metro Park yang didiami pesakit itu dikuarantin.

Sejumlah rakaman televisyen menunjukkan sekumpulan pegawai polis menutup hotel itu sambil memakai topeng dan sarung tangan manakala seorang pekerja membawa sebuah kotak yang ditanda ubat 'antivirus.'

"Kami mengasingkan hotel ini dan memastikan individu tertentu dikuarantin selama tujuh hari. Kami juga memberikan ubat Tamiflu kepada mereka setelah dia diuji berkesan terhadap beberapa kes di Mexico," kata Setiausaha Kesihatan, York Chow.

Menurutnya, hampir 200 orang terbabit dalam perintah kuarantin itu yang dikeluarkan untuk mengawal dan memastikan virus influenza A H1N1 tidak merebak.

Usaha pihak berkuasa Hong Kong kini adalah untuk mencari dua pemandu teksi yang berjumpa dengan warga Mexico tersebut serta penumpang yang mengembara bersamanya dalam pesawat China Eastern MU 505 dari Shanghai.

"Kami mencari penumpang-penumpang penerbangan berkenaan terutama yang duduk di barisan depan dan di belakangnya," kata York.

Tambah beliau, pihaknya bersedia untuk menghantar penumpang berkenaan ke hospital bagi diperiksa atau kuarantin.

"Melalui langkah ini, kami berharap dapat meminimumkan penularan virus tersebut kepada orang ramai di Hong Kong," tambahnya.

Di Asia Pasifik, New Zealand melaporkan empat ujian makmal mengesahkan kes selesema babi dan 12 lagi kes disyaki.

Hampir 170 mati disyaki menghidap influenza A H1N1 di Mexico sejak wabak itu mula dikesan 13 April lalu. Seorang bayi berumur 23 bulan mati di Amerika Syarikat (AS) dan enam negara Eropah turut mengesahkan kes sama selain di Kanada dan Israel. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Tanam mayat: Dua wanita bermadu ditahan polis


KERATAN Kosmo! semalam.


GEORGE TOWN - Biarpun mengetahui tindakan suami membunuh anak sendiri tiga tahun lalu tetapi dua suri rumah hanya mendiamkan diri.

Kedua-dua wanita yang berusia 31 dan 37 tahun itu telah ditahan pukul 1 pagi semalam di hadapan sebuah restoran di Jalan Air Itam di sini atas tuduhan terlibat membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Kanak-kanak perempuan yang juga merupakan orang kurang upaya itu merupakan anak kepada wanita yang berusia 37 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, kedua-dua suri rumah yang bermadu itu ditahan reman sehingga 6 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Kita percaya mereka tahu tindakan yang dilakukan oleh suami mereka terhadap kanak-kanak itu namun kedua-duanya mendiamkan diri dan tidak membuat laporan kepada polis.

"Mayat kanak-kanak malang itu dipercayai diikat tangan dan kakinya sebelum ditanam," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, daripada siasatan abang kandung mangsa yang kini berusia 16 tahun turut menyaksikan suspek yang berusia 40 tahun itu menanam adiknya.

Wan Abdullah mengulas demikian mengenai penemuan rangka seorang kanak-kanak yang ditanam sedalam satu meter di bawah sebatang pokok di kawasan padang di Kampung Pisang di Air Hitam petang kelmarin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Buat aduan kepada Jawi guna SMS


PENOLONG pegawai teknologi maklumat, Nor Azah Ali (kiri) dan Shahriza Farah Diba Zakaria memegang poster Gerbang SMS JAWI 15888 pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Lapor maksiat di hujung jari!

Itu langkah terbaru Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mulai semalam yang mewujudkan sistem aduan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selain itu, sistem tersebut diperluaskan dan penggunaan SMS juga membolehkan orang ramai mendapatkan borang nikah yang akan dihantar terus kepada e-mel pengguna.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera berdasarkan aduan SMS yang dihantar tetapi perlu menyiasatnya terlebih dahulu.

"Tetapi setiap aduan itu perlu disiasat dengan teliti terlebih dahulu sebelum tindakan diambil, kita tidak mahu ada unsur fitnah atau percubaan menganiaya orang," katanya ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran Gerbang SMS Kerajaan Malaysia 15888 di Dewan Hadhari Jawi sini semalam.

Sistem SMS yang dibangunkan oleh Dapat Vista Sdn. Bhd., itu sudah boleh digunakan sejak semalam dan orang ramai perlu menghantar SMS dengan menggunakan telefon bimbit ke JAWI MENU dan dihantar ke nombor 15888.

Kos penghantaran pertama akan melibatkan bayaran sebanyak 15 sen dan kos penerimaan pula sebanyak 20 sen dan semua SMS terbabit akan dihantar terus kepada tiga saluran utama bagi membolehkan tindakan pantas diambil iaitu ke e-mel, SMS kepada pegawai dan direkodkan ke dalam laman web Jawi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

94 pelajar masih dikuarantin


KERATAN Kosmo! semalam.


BUTTERWORTH - Seramai 94 pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) masih dikuarantin di asrama mereka di Bukit Mertajam ekoran jangkitan demam sejak Selasa lalu.

Tiga lagi pelajar masih dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) akibat penyakit yang sama.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Teh Lei Choo berkata, analisis sampel cecair dari hidung dan tekak serta darah pesakit mendapati mereka menghidap demam yang ada kaitan dengan selesema biasa.

Namun beliau menolak kaitan penyakit itu dengan selesema babi.

Lei Choo dalam kenyataannya di sini semalam menjelaskan, pada 28 April 2009, Jabatan Kecemasan HBM telah menerima 49 pesakit dari SMSTSSS dan tiga telah dimasukkan ke wad manakala sebagai langkah susulan, tindakan kuarantin 94 pelajar telah dilaksanakan di sekolah itu.

Penyakit itu menyebabkan mangsa mengalami kesukaran bernafas, demam, batuk, rasa perit pada kerongkong dan lesu seluruh badan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom ketika dihubungi memberitahu, laporan siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada habuk kerja-kerja pembinaan salah sebuah bangunan sekolah.

"Tak ada apa yang dikhuatirkan kerana mereka yang terlibat hanya demam biasa saja,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Rahsia Geng Tangkak terbongkar


ABDUL JALIL (kanan) menunjukkan sebuah kereta yang dirampas daripada Geng Tangkak yang ditumpaskan di Ampang Selasa lalu.


KUALA LUMPUR - Misteri sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang yang jarang dikunjungi penghuni terbongkar apabila ia didapati dijadikan stor untuk menyimpan barang-barang hasil pecah rumah oleh penjenayah Geng Tangkak.

Kegiatan kumpulan tersebut terbongkar pukul 1 petang, Selasa lalu apabila polis peronda mengesan sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Polis mengekori kereta yang dinaiki oleh lima lelaki sehingga ia berhenti di sebuah rumah teres dua tingkat tidak jauh dari situ.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lima lelaki itu cuba melarikan diri apabila menyedari polis mengekori mereka.


ANTARA barangan yang ditemui dalam rumah dua tingkat di Pandan Perdana, Ampang semalam.


Menurut beliau, polis dapat menahan tiga suspek tetapi dua lagi dapat melarikan diri.

Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah termasuk enam buah televisyen LCD, 45 botol minuman keras dan 37 utas jam tangan pelbagai jenama.

Turut ditemui koleksi duit syiling lama, sebuah peti besi yang telah dipecahkan, 25 keping nombor pendaftaran kereta, enam bilah parang dan pelbagai peralatan pecah rumah.

Abdul Jalil memberitahu, polis juga merampas dua buah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai digunakan oleh kumpulan tersebut untuk melakukan kegiatan jenayah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Rahsia ayam betina bertelur banyak terbongkar


RUI'AN dengan ayam betinanya yang mempunyai dua 
punggung.



QINGDAO - Seorang peladang, Mao Rui'an terkejut apabila salah seekor ayamnya mampu bertelur dua kali ganda, lapor sebuah akhbar semalam.

Rui'an yang menyedari kejadian ganjil ayam betina itu selepas bilangan telur ditetas oleh haiwan berkenaan pada kadar yang luar biasa.

Ketika pemeriksaan rutin kesihatan dilakukan, peladang terbabit menemui rahsia di sebalik kelebihan ayam berkenaan.

Rupa-rupanya ayam itu dilahirkan dengan dua punggung yang mampu mengeluarkan telur dua kali ganda daripada biasa.

Rui'an yang berasal dari selatan China itu berkata; "Ayam betina itu sangat istimewa buat saya. Saya membina sebuah reban khas dan diberikan makan gandum. "Ayam lain dibiarkan bebas mencari makanan di atas tanah." - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Pekerja curi emas AS$42.7 juta


TAMBUNTING mencuri emas seberat 226.79 kilogram dari kedai emas di Queens, New York (bawah) dan menyimpan di rumahnya di Scarsdale (atas).



NEW YORK - Seorang pekerja di sebuah kedai barangan kemas di sini mencuri emas yang berat keseluruhan 226.79 kilogram dalam tempoh enam tahun dengan menyembunyikannya dalam beg tangan, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut pihak berkuasa, pekerja itu, Teresa Tambunting, 50, pada mulanya menyeludup beberapa auns emas di dalam ruang khas beg tangannya.

Beberapa pegawai di kedai emas itu mula mengetahui kehilangan emas selepas membuat audit pada Januari lalu.

Mereka mendapati sejumlah emas bernilai AS$12 juta (RM42.7 juta) hilang.

Beberapa hari selepas pegawai-pegawai itu mencari kesilapan dalam membuat audit, Tambunting datang ke tempat kerja dengan membawa 27.71 kilogram emas yang dicurinya.

Dia kemudian menyatakan tidak ada lagi emas yang dicuri.

Namun, beberapa hari kemudian, dia mengubah pendirian dan datang bersama peguam dengan beberapa bakul emas seperti cincin, rantai leher, subang dan barangan kemas lain.

Jumlah emas yang dibawa itu seberat 203.118 kilogram.

Presiden Jacmel Jewelry yang memiliki kedai itu, Jack Rahmey menyatakan Tambunting yang berasal dari Filipina merupakan seorang pekerja paling dipercayai.

Wanita itu yang sudah bekerja selama 28 tahun di kedai tersebut kemudian dibebaskan pada Selasa lalu dengan ikat jamin sebanyak AS$100,000 (RM355,948). - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Aktiviti di Mexico dihenti 5 hari


ORANG ramai memakai topeng muka ketika mereka membeli makanan di Bandar Raya Mexico semalam.


BANDAR RAYA MEXICO - Presiden Mexico, Felipe Calderon semalam menggesa penduduk supaya tinggal di rumah selama lima hari bagi mengelak jangkitan selesema babi merebak.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa pegawai kesihatan mengisytiharkan dunia kini hampir dilanda wabak selesema babi.

"Tidak ada tempat yang selamat berbanding rumah anda sendiri bagi mengelak dijangkiti dengan virus selesema," kata Calderon dalam ucapan yang disiarkan oleh stesen televisyen di negara tersebut.

Setakat ini sebanyak 176 orang terbunuh akibat selesema babi itu yang kini menular di seluruh dunia tetapi Asia masih bebas daripada virus H1N1 yang membawa penyakit selesema babi.

Di Amerika Syarikat (AS), terdapat satu kematian apabila bayi berumur 23 bulan meninggal dunia kelmarin di Texas.

Calderon memberitahu pejabat-pejabat kerajaan dan perniagaan persendirian yang tidak penting kepada ekonomi supaya tidak beroperasi bermula hari ini.

Tujuan tindakan itu dilakukan adalah untuk mengelak penularan virus tersebut.

Di AS, beberapa pegawai menyatakan langkah-langkah drastik seperti menutup sempadan dengan Mexico dianggap sebagai tidak praktikal.

Sementara itu, Minnesota dan Nebraska melaporkan kes pertama menjadikan jumlah negeri yang mempunyai kes selesema babi berjumlah 12 buah.

Sebanyak 12 negara di dunia sudah mengesahkan terdapat kes selesema babi.

Belanda merupakan negara terbaru yang menyertai senarai itu.

Menurut pihak berkuasa negara itu, seorang kanak-kanak berumur tiga tahun yang pulang dari Mexico baru-baru ini sudah dijangkiti virus berkenaan.

Switzerland turut mengesahkan kes pertama semalam melibatkan seorang lelaki yang baru pulang dari Mexico.

Peru yang melaporkan kemungkinan kes pertama selesema babi di Amerika Latin.

Pihak berkuasa negara itu menyatakan kes pertama itu melibatkan seseorang yang pulang dari Mexico.

Di bandar raya Mexico yang didiami oleh 20 juta penduduk, semua sekolah, restoran dan kelab malam serta majlis awam ditutup bagi mengelak penularan selesema babi.

Beberapa buah negara di dunia turut mengharamkan import babi walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan selesema babi tidak merebak melalui daging haiwan tersebut.

Pihak berkuasa Mesir mula memusnahkan ratusan ribu babi walaupun mendapat kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Friday, May 1, 2009

Tiada kemunasabahan yang cukup untuk Kabinet menentukan agama anak

Khamis April 30, 2009

BERBAGAI pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;

Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.

Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak.

Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.

Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.

Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya.

Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang. Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan.

Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.

Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.

Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka.

Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.

Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.

Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan mereka dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.

Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.

Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa tidak Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin,29.4.09Lampeter, UK.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/4/30/mstar_kolum_minda_mufti/20090430121834&sec=mstar_kolum_minda_mufti


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...