Sunday, May 3, 2009

Penternak ayam lawan menteri - FLFAM tidak mahu masuk campur selepas diminta turunkan harga ayam


SEORANG peniaga, Jupri Data menjual ayam pada harga RM6.50 sekilogram di pasar Jalan Raja Alang, Kampung Baru semalam. Harga sekilogram ayam diproses pada bulan Mac lalu ialah RM5.20 sekilogram.





KUALA LUMPUR - "Kita sudah tidak mahu masuk campur lagi berkaitan dengan harga ayam dan sekarang terpulang kepada pembekal serta peniaga untuk menentukan sendiri harga ayam masing-masing.''

Demikian pendirian yang dibuat oleh Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) memberi tempoh sehingga semalam untuk mereka menurunkan harga ayam.

Naib Pengerusi Unit Ayam Daging FLFAM, Yap Kim Wah menyifatkan permintaan kerajaan itu terlalu mendesak dan boleh menjejaskan industri ayam negara kerana ketika ini penternak dan peniaga sudah menjual ayam pada paras harga yang rendah.

Katanya, jika tekanan berterusan itu berlaku, pihak FLFAM enggan lagi bertindak sebagai orang perantara bagi melindungi harga ayam di pasaran.

"Kalau kita turunkan lagi harga ayam, kita akan rugi. Kerajaan sepatutnya melantik pakar bagi mengkaji kos sebenar harga ayam sebelum mengeluarkan apa-apa arahan,'' katanya ketika dihubungi semalam.




Ismail Sabri, menurut laporan akhbar semalam, telah memanggil persatuan penternak serta pemborong ayam dan memberi amaran supaya harga ayam diturunkan segera selepas mereka membuat keputusan menaikkan harga ternakan itu antara 40 sen hingga 60 sen sekilogram pada Selasa lalu.

Mereka diberi tempoh selewat-lewatnya semalam untuk menurunkan harga ayam dan sekiranya gagal isu terbabit akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...