Sunday, May 3, 2009

Rahsia Geng Tangkak terbongkar


ABDUL JALIL (kanan) menunjukkan sebuah kereta yang dirampas daripada Geng Tangkak yang ditumpaskan di Ampang Selasa lalu.


KUALA LUMPUR - Misteri sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang yang jarang dikunjungi penghuni terbongkar apabila ia didapati dijadikan stor untuk menyimpan barang-barang hasil pecah rumah oleh penjenayah Geng Tangkak.

Kegiatan kumpulan tersebut terbongkar pukul 1 petang, Selasa lalu apabila polis peronda mengesan sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Polis mengekori kereta yang dinaiki oleh lima lelaki sehingga ia berhenti di sebuah rumah teres dua tingkat tidak jauh dari situ.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lima lelaki itu cuba melarikan diri apabila menyedari polis mengekori mereka.


ANTARA barangan yang ditemui dalam rumah dua tingkat di Pandan Perdana, Ampang semalam.


Menurut beliau, polis dapat menahan tiga suspek tetapi dua lagi dapat melarikan diri.

Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah termasuk enam buah televisyen LCD, 45 botol minuman keras dan 37 utas jam tangan pelbagai jenama.

Turut ditemui koleksi duit syiling lama, sebuah peti besi yang telah dipecahkan, 25 keping nombor pendaftaran kereta, enam bilah parang dan pelbagai peralatan pecah rumah.

Abdul Jalil memberitahu, polis juga merampas dua buah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai digunakan oleh kumpulan tersebut untuk melakukan kegiatan jenayah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...