Sunday, May 3, 2009

Aktiviti di Mexico dihenti 5 hari


ORANG ramai memakai topeng muka ketika mereka membeli makanan di Bandar Raya Mexico semalam.


BANDAR RAYA MEXICO - Presiden Mexico, Felipe Calderon semalam menggesa penduduk supaya tinggal di rumah selama lima hari bagi mengelak jangkitan selesema babi merebak.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa pegawai kesihatan mengisytiharkan dunia kini hampir dilanda wabak selesema babi.

"Tidak ada tempat yang selamat berbanding rumah anda sendiri bagi mengelak dijangkiti dengan virus selesema," kata Calderon dalam ucapan yang disiarkan oleh stesen televisyen di negara tersebut.

Setakat ini sebanyak 176 orang terbunuh akibat selesema babi itu yang kini menular di seluruh dunia tetapi Asia masih bebas daripada virus H1N1 yang membawa penyakit selesema babi.

Di Amerika Syarikat (AS), terdapat satu kematian apabila bayi berumur 23 bulan meninggal dunia kelmarin di Texas.

Calderon memberitahu pejabat-pejabat kerajaan dan perniagaan persendirian yang tidak penting kepada ekonomi supaya tidak beroperasi bermula hari ini.

Tujuan tindakan itu dilakukan adalah untuk mengelak penularan virus tersebut.

Di AS, beberapa pegawai menyatakan langkah-langkah drastik seperti menutup sempadan dengan Mexico dianggap sebagai tidak praktikal.

Sementara itu, Minnesota dan Nebraska melaporkan kes pertama menjadikan jumlah negeri yang mempunyai kes selesema babi berjumlah 12 buah.

Sebanyak 12 negara di dunia sudah mengesahkan terdapat kes selesema babi.

Belanda merupakan negara terbaru yang menyertai senarai itu.

Menurut pihak berkuasa negara itu, seorang kanak-kanak berumur tiga tahun yang pulang dari Mexico baru-baru ini sudah dijangkiti virus berkenaan.

Switzerland turut mengesahkan kes pertama semalam melibatkan seorang lelaki yang baru pulang dari Mexico.

Peru yang melaporkan kemungkinan kes pertama selesema babi di Amerika Latin.

Pihak berkuasa negara itu menyatakan kes pertama itu melibatkan seseorang yang pulang dari Mexico.

Di bandar raya Mexico yang didiami oleh 20 juta penduduk, semua sekolah, restoran dan kelab malam serta majlis awam ditutup bagi mengelak penularan selesema babi.

Beberapa buah negara di dunia turut mengharamkan import babi walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan selesema babi tidak merebak melalui daging haiwan tersebut.

Pihak berkuasa Mesir mula memusnahkan ratusan ribu babi walaupun mendapat kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...