Sunday, May 3, 2009

A H1N1 tidak terlalu agresif

BANDAR RAYA MEXICO - Kerajaan Mexico semalam menyatakan wabak virus selesema babi atau influenza A H1N1 tidak terlalu agresif berbanding apa yang dikhuatiri sebelum ini.

Ketika Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) meningkatkan langkah keselamatan dan amaran pandemik, kerajaan Mexico semalam mengesahkan kematian positif influenza A H1N1 kepada 15 orang manakala 328 lagi dijangkiti.

Menteri kesihatan, Jose Angel Cordova berkata, angka baru itu tidak mewakili kes-kes baru tetapi ia adalah hasil ujian yang sebelum ini ditangguhkan.

"Mujurlah virus itu tidak terlalu agresif. ia tidak seperti selesema burung yang merekodkan kadar kematian hampir 70 peratus," kata Cordova.

Menurutnya, virus influenza A H1N1 lebih senang berjangkit berbanding virus selesema burung namun ia senang dirawat dengan ubat antivirus jika ia diberi sejak hari pertama.

Bagaimanapun, virus itu terus merebak melepasi Mexico hingga ke Asia dan Eropah sejak hari pertama ia dilaporkan pada 13 April lalu.

Pihak berkuasa Mexico turut membatalkan perhimpunan tradisi sempena perayaan Hari Pekerja kerana negara itu sedang dalam tempoh cuti selama lima hari yang bertujuan untuk mengurangkan kesan penularan wabak selesema tersebut.

Banyak restoran, bar, tempat pelancongan dan tempat awam masih ditutup di Mexico. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...