Wednesday, September 29, 2010
Hutang RM1.6 juta
2010/09/29
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori terkejut dimaklumkan berhutang kad kredit dan pinjaman peribadi bernilai RM1.6 juta walaupun tidak pernah membuat sebarang permohonan pinjaman dari mana-mana bank sebelum ini.
Pemandu lori terbabit, Lee Seik Kuang, 51, didakwa membuat 32 pinjaman bagi kad kredit, pinjaman peribadi dan lima kereta iaitu Porsche, BMW X5, Volvo S 80, Honda Accord dan Perodua Myvi tanpa pengetahuannya.
“Akhir bulan lalu, saya menerima panggilan dari sebuah bank di ibu kota mengatakan sebuah kereta jenama BMW X5 didaftar atas nama saya belum dibayar ansurannya. Saya terkejut kerana tidak pernah membuat permohonan membeli kereta mewah itu,” katanya.
Katanya, dia mengesyaki namanya digunakan rakannya yang pernah menjadi rakan kongsi berniaga dalam industri buah-buahan.
Lee berkata, dia dipelawa seorang rakannya yang dikenali sebagai Ah Hock menjadi rakan kongsi dan dijanjikan menjadi pengarah urusan syarikat buah-buahan yang bakal didaftarkan.
“Ah Hock pernah meminta saya menandatangani beberapa dokumen dan pada masa sama saya diminta menyerahkan kad pengenalannya untuk dibuat salinan,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di sini, semalam.
Menurutnya, lelaki itu dipercayai anggota sindiket yang mengambil kesempatan menggunakan namanya membuat pelbagai pinjaman bank antaranya kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi daripada beberapa bank.
“Hinggalah 20 September lalu saya sedar apabila menerima panggilan bank memaklumkan saya lambat membayar ansuran bulanan kereta. Saya terkejut mengetahui perkara itu kerana saya sendiri tidak memiliki kenderaan dan hanya bergantung pada lori majikan.
“Selepas menyemak di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya mendapati empat kereta antaranya Honda Accord, BMW X5, MYVI 1.3, Volvo S.80 dan Porsche Cayenne didaftarkan atas nama saya,” katanya.
Selain itu, kad pengenalan Lee turut digunakan untuk permohonan kad kredit dan pinjaman peribadi.
“Apa yang menghairankan, bagaimana semua bank boleh meluluskan 32 pinjaman itu sedangkan saya hanya mempunyai pendapatan bulanan RM2,500. Malah, kad kredit itu juga digunakan sehingga disekat kerana melebihi had,” katanya.
Lee turut membuat laporan polis di Balai Polis Setapak 21 September lalu sebelum ke Cheras bertemu Ah Hock.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam (MCA), Datuk Michael Chong berkata, kes ini perlu disiasat Bank Negara serta polis.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HutangRM1_6juta/Article
Tiga pelajar 'lalok' ditahan
PUTRAJAYA: Tiga pelajar lelaki sekolah menengah, di sini, ditahan kerana disyaki terbabit penyalahgunaan dadah berhampiran perhentian bas di Presint 1, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, ketika ditahan kira-kira jam 2 petang, ketiga-tiga pelajar terbabit tidak tentu arah dan ‘lalok’ dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata pelajar terbabit berusia 15 hingga 16 tahun dan menuntut di sebuah sekolah di sini.
“Mereka ditahan dalam operasi sepasukan anggota Polis Cawangan Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya apabila didapati dalam keadaan mencurigakan.
“Ketiga-tiga pelajar terbabit dibawa ke IPD untuk menjalani ujian air kencing sebelum semuanya dibenarkan ikat jamin selepas keterangan mereka diambil,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Abd Razak berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 15, Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.
Beliau berkata, sampel air kencing mereka dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan menunggu laporan sebelum tindakan susulan dilakukan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tigapelajarlalokditahan/Article
Lokasi baru diperiksa

2010/09/29
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain akan dibincangkan dengan Peguam Negara dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

SIASAT LANJUT...dokumen penting dibawa keluar dari pejabat suspek utama, semalam.
“Kami akan berbincang dengan pihak Peguam Negara sekiranya ada perkara lain yang perlu disiasat lagi bagi memastikan kertas siasatan berkenaan benar-benar lengkap sepenuhnya,” katanya semalam.
Sambil menyifatkan perkembangan siasatan kes berkenaan sebagai ‘positif’, Mohd Bakri menjelaskan beberapa lokasi baru di sekitar Banting turut diperiksa kerana dipercayai menjadi lokasi suspek membuang mayat mangsa lain.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan lokasi baru berkenaan dan meminta media memberi ruang dan masa kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh.
Katanya, polis masih menunggu keputusan ujian DNA yang akan disertakan dalam kertas siasatan berkenaan sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Keputusan lengkap ujian DNA diketahui sebaik semua spesimen dan bukti di lokasi kejadian dianalisis makmal forensik,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen, di sini, semalam.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Polis pada 13 September lalu mengesahkan empat daripada lapan suspek ditahan mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lokasibarudiperiksa/Article
Kaut RM30 juta anjur skim kutu

2010/09/29
SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan menganjurkan pelaburan wang kutu menggunakan wang pos dinamakan Program Ekspres yang dikatakan sudah mencatatkan keuntungan kira-kira RM30 juta hasil penyertaan 30,000 ahli.

DISAMAN...Sabbri dan isterinya, Rahimah keluar dari Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.
Kedua-duanya didakwa menggunakan syarikat milik mereka untuk menganjurkan pelaburan wang kutu sedangkan syarikat itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai ejen komisen wang.
Mereka didakwa menjalankan Program Ekspres yang menyalahi Akta Kumpulan Wang Kutu 1971 di antara 1 Disember 2008 hingga 29 April lalu.
Pasangan itu berasal dari Kuala Lumpur disaman mengikut Seksyen 3 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding semalam, pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa SSM, Steve Chin Yun Cheong, manakala pasangan terbabit tidak diwakili peguam. Hafizah menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Tindakan terhadap syarikat itu susulan serbuan serentak dilakukan SSM terhadap tiga syarikat perniagaan yang dipercayai menganjurkan program pelaburan wang kutu dengan kaedah wang pos.
Selain World Heritage Resources milik Sabbri dan Rahimah, dua lagi syarikat dijangka berdepan tindakan undang-undang oleh SSM.
Aktiviti syarikat terbabit melanggar akta yang melarang orang perseorangan, perniagaan atau syarikat daripada menganjurkan program kutu seumpama itu.
Menurut suruhanjaya itu, berdasarkan maklumat, ada pelbagai pakej ditawarkan penganjur program merangkumi pelbagai pelan pelaburan.
Sebagai contoh, Pelan A Platinum mensyaratkan peserta membuat pelaburan RM312, Pelan A Emas (RM100), Pelan A Perak (RM50), Pelan B Platinum Bijak (RM396.50) dan Pelan B Emas Bijak (RM136.50).
Difahamkan, siasatan suruhanjaya mendapati World Heritage Resources yang beroperasi sejak akhir 2008 mendapat sambutan hebat di kalangan pelabur Bumiputera sehingga ada peserta melabur sehingga RM300,000.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KautRM30jutaanjurskimkutu/Article
Tuesday, September 28, 2010
Pasangan Kutip Wang Kutu Mengaku Tak Bersalah
Updated: Selasa September 28, 2010 MYT 1:53:08 PM
Oleh SALWA SHA'ARI
SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Selasa, atas pertuduhan menggunakan perniagaan mereka untuk mengutip wang kutu.
Sabbri Yusof, 49, dan Rahimah Rahim, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.
Mereka didakwa sebagai pemilik Perniagaan World Heritage Resources di nombor 3, Jalan Keluli AM 7/ AM, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7, di sini, telah menggunakan perniagaan itu untuk menganjurkan kutipan wang kutu yang dikenali sebagai Program Ekspress.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Disember 2008 dan 29 April 2010 dan perbuatan tersebut adalah dilarang di bawah Akta Kumpulan Wang Kutu 1971.
Justeru itu, mereka didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Sesyen 3 akta sama yang boleh dihukum di bawah seksyen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Steve Chin Yun Cheong.
Hafizah menetapkan sebutan semula kes pada 2 November depan untuk pasangan tersebut melantik peguam bagi mewakili mereka.
Difahamkan, syarikat tersebut memperoleh kutipan sehingga RM30 juta daripada 30,000 orang ahli.
Syarikat yang berdaftar dengan SSM sebagai ejen komisyen am juga didakwa menawarkan pelbagai jenis pelaburan dengan jumlah maksimum RM369,000.
http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/28/mstar_mahkamah/20100928122026&sec=mstar_mahkamah
Tuntutan RM1.38j Daripada Nash Mungkin Diteruskan – Anak Sosilawati
Oleh IZRA ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR: “Kami mungkin akan meneruskan proses tuntutan sejumlah wang tersebut atas dasar permintaan ibu. Mungkin ia pemintaan terakhir ibu, jika tidak, takkan dia bersungguh-sungguh untuk mendakwa dan membuat tuntutan.”
Demikian jelas anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Erni Dekritawati Yuliana Bukhari yang mengulas mengenai tuntutan wang pemberian sebanyak RM1.38 juta daripada bekas suami ibunya, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50.
Bagaimanapun, tambah Erni Dekritawati atau lebih dikenali sebagai Rita berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas dia dan adik-adiknya sepakat membuat keputusan mengenainya.
“Kami adik-beradik sudah berbincang tentang perkara ini malam tadi (Ahad) dan masih lagi berbincang.
“Sekarang masih belum ada keputusan dibuat dan saya tak dapat beritahu apa-apa. Apa-apa pun kena tunggu keputusan adik-beradik dulu, barulah boleh ” katanya.
Dia berkata demikian semasa menjadi tetamu eksklusif program ‘Kerusi Panas’ terbitan Bernama Radio24 pada Isnin.
Anak-anak Allahyarham selain Rita ialah Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erni Erinawati Sofea, 21 tahun, Md Erwan Nasri, 23, Erni Reenilawati, 20, dan Siti Nur Fatimah, 13.
Pada 26 Ogos lalu, Hakim syarie, Mohammad Adib Husain membenarkan permohonan itu dan perbicaraan mengenai tuntutan Sosilawati yang akan disambung pada 2 dan 3 Februari tahun depan.
Bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash berkahwin dengan Sosilawati, 47, pada 16 November 2006 sebelum bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 26 Mei 2009.
Sosilawati kemudiannya memfailkan tuntutan agar wang pemberian sebanyak RM1.38 juta dikembalikan kepadanya manakala dua pertiga daripada keuntungan, bonus dan dividen daripada saham-saham turut diberikan kepadanya.
Dalam pada itu, Rita memberitahu, mereka adik-beradik tidak menghadapi masalah dengan bekas bapa tiri mereka itu.
Dalam pada itu, mengenai tindakan bapa tirinya sekarang yang juga seorang ahli perniagaan dari Indonesia yang enggan mendedahkan identiti kepada umum, dia berkata menghormati pendirian beliau.
“Saya menghormati privasi yang bapa tiri saya mahukan. Mungkin cara itu boleh buatkan dia tenang,” katanya.
Seperti mana mereka adik-beradik menjalin hubungan baik dengan Nash, begitu juga hubungan yang terjalin dengan bapa tiri mereka.
Malah, bapa tirinya itu juga menjadi penasihat dan tempat rujukan untuk sebarang keraguan atau masalah yang timbul.
Sementara itu, wanita itu turut memberitahu tentang hasrat arwah ibunya yang ingin melihat perniagaan mereka disenaraikan di bursa saham.
“Itu adalah harapan ibu saya sebenarnya. Kita tengoklah bagaimana nanti. Mungkin dalam masa dua tahun akan datang,” katanya.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/28/mstar_berita/20100927230327&sec=mstar_berita
Kawah tahi bintang gergasi di Mesir
KAHERAH - Sebuah kawah tahi bintang baru yang dikesan menerusi bantuan enjin carian Google Earth mungkin membantu saintis menentukan kesan hentaman objek dari angkasa lepas itu pada masa depan, lapor sebuah akhbar semalam.
Batu tahi bintang itu yang dikenali sebagai kawah Kamil sedalam 16 meter dan selebar 45 meter.
Ia terletak di sebuah gurun di selatan Mesir dan dipercayai terbentuk akibat hentaman batu tahi bintang seberat 10 tan yang bergerak pada kelajuan 12,070 kilometer sejam.
Kawah tersebut dikesan pada 2008 oleh seorang pakar galian, Vincenzo De Michele dari Milan, Itali yang kemudian melancarkan ekspedisi selama dua minggu melibatkan 40 orang pada Februari lalu.
Saintis-saintis percaya, ia merupakan antara kawah muda yang dianggarkan kurang sepuluh ribu tahun. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm
Jutawan skuter mati naiki skuter
LONDON - Pemilik firma skuter futuristik Segway, Jimi Heselden meninggal dunia selepas kenderaan beroda dua yang dinaikinya itu terjatuh dari sebuah gaung ke dalam sungai, kata polis semalam.
Heselden, 62, merupakan seorang jutawan warga Britain.
Seorang jurucakap polis Yorkshire Barat memberitahu, mayatnya ditemui di dalam Sungai Wharfe berhampiran kediamannya di bandar Boston Spa, utara England kelmarin.
"Sebuah kenderaan Segway ditemui di tempat kejadian," kata jurucakap berkenaan yang turut menyatakan polis dihantar ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima laporan bahawa seorang lelaki terjatuh dari sebuah gaung.
"Kemalangan itu dipercayai bukan akibat perbuatan yang mencurigakan," jelasnya.
Heselden mengetuai sepasukan pelabur Britain yang membeli Segway Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) pada Disember tahun lalu. Firma berkenaan mengeluarkan dan mengedar skuter itu.
Dijana dengan kuasa motor elektrik, skuter tersebut merupakan sebuah pengangkutan peribadi dan memiliki kelajuan maksimum 20 kilometer sejam.
Penunggang skuter itu boleh menggerakkannya ke kanan atau ke kiri dan ia bolah dicas semula dengan menggunakan soket elektrik di rumah.
Sementara itu, beberapa laporan menyatakan Heselden meninggal dunia selepas seminggu dia menjadi antara dermawan paling utama di Britain dengan menyumbang £10 juta (RM48.9 juta) kepada sebuah badan amal.
Sepanjang hayatnya, Heselden yang memiliki syarikat HESCO Bastion, telah menghulurkan derma berjumlah £23 juta (RM112.6 juta).
Dia memiliki kekayaan mencecah £166 juta (RM814.14 juta) dan berada pada kedudukan ke-395 senarai Manusia Terkaya Sunday Times dengan mengatasi Simon Cowell iaitu pengasas program pencarian bakat nyanyian, X Factor. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
Didakwa palsukan geran, tipu pegawai kerajaan
KUALA LUMPUR: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memalsukan dokumen dan menipu pegawai dan kakitangan pejabat tanah membabitkan tanah bernilai RM15 juta tiga tahun lalu.
S Tersaim Lail, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen palsu berupa cagaran iaitu satu borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah daripada seorang ahli perniagaan Liew Weng Chee kepada syarikat pelaburan Diskusi Ariff Sdn Bhd dan satu notis tafsiran duti setem pindah milik hartanah.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dengan menggunakan dokumen palsu untuk pindah milik hartanah No 17, Seksyen 57, Mukim Bandar, di sini, dengan mendakwa dokumen itu tulen sehingga mendorong pegawai dan kakitangan berkenaan memindah milik hartanah itu daripada Liew kepada syarikat Diskusi Ariff.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda serta boleh disebat jika sabit kesalahan.
Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 17 Mei 2007.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah membenarkan Tersaim diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Didakwapalsukangeran_tipupegawaikerajaan/Article
Peguam terjerat
anbia@hmetro.com.my
2010/09/28
KUALA LUMPUR: Seorang peguam ditahan selepas disyaki terbabit dengan penipuan jual beli tanah berharga RM15 juta, pagi semalam.
Peguam berusia 50-an terbabit turut memperdaya kakitangan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan dengan menggunakan dokumen palsu selain memperdaya beberapa mangsa yang berurusan dengannya.
Bagaimanapun, peguam terbabit yang mempunyai modus operandi hampir sama dengan suspek utama yang membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya terjerat selepas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu rumahnya di Sunway, Subang Jaya, di sini.
Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar, berkata suspek utama terbabit ditahan.
Menurutnya, siasatan polis mendapati peguam berpengalaman terbabit mempunyai kemahiran memalsukan dokumen termasuk geran tanah untuk memperdaya mangsa dan pegawai kerajaan yang menguruskan pindah milik tanah berkenaan.
Ditanya sama ada suspek terbaru yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan peguam dua beradik yang disyaki membunuh Sosilawati pada 30 Ogos lalu, beliau bagaimanapun menafikan kedua-dua kes terbabit mempunyai kaitan.
Beliau berkata, polis memandang serius kes jenayah membabitkan peguam yang disifatkan sebagai golongan profesional berwibawa dan dipercayai orang ramai.
“Agak mendukacitakan apabila 35 peguam ditahan polis sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai penipuan.
“Daripada jumlah itu, 10 peguam ditahan di Selangor, lapan di Johor, empat di Kuala Lumpur, tiga (Perak), tiga (Negeri Sembilan) dua (Pulau Pinang), empat (Kedah) dan satu (Melaka),” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, pagi semalam.
Menurutnya, semua peguam terbabit ditahan atas pelbagai jenayah antaranya pecah amanah, pemalsuan, penipuan selain pemalsuan afidavit.
“Sehingga kini, polis masih menyiasat 290 kes jenayah membabitkan semua peguam berkenaan yang disyaki melakukan penipuan terancang terhadap ramai mangsa.
“Situasi ini amat mengecewakan berikutan profesion sebagai peguam amat dipercayai masyarakat. Berikutan itu, golongan berkenaan diberikan amanah tinggi oleh pelanggan. Namun, sebaliknya peguam terbabit mengkhianati kepercayaan orang ramai dengan melakukan aktiviti pecah amanah,” katanya.
Menurutnya, golongan terbabit akan terus dipantau dan tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang jika didapati melakukan jenayah.
Isu sama turut pernah dibangkitkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar minggu lalu yang memberitahu pihaknya sudah membuka 72 kertas siasatan berhubung kes salah laku dan penyelewengan di kalangan peguam sejak 10 tahun lalu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peguamterjerat/Article
Tempoh kemuka hujah bertulis
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Syariah, di sini, semalam, menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula bagi membolehkan pemain badminton negara, Roslin Hashim memfailkan hujahan bertulis terhadap rayuan bekas isterinya dalam kes tuntutan ganti rugi perkahwinan mereka.
Panel tiga hakim syarie yang diketuai Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Roslizam Rahim mewakili Roslin memohon ditetapkan tarikh bagi membolehkan pihaknya memfailkan hujahan secara bertulis kepada perayu, Faizah Mohamad, 34.
Hakim Ibrahim turut bersidang bersama Hakim Syarie Datuk Md Yusup Che Teh dan Hakim syarie Datuk Hussin Harun.
Faizah diwakili peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin.
Pada 21 Oktober tahun lalu, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan merisik antaranya cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tempohkemukahujahbertulis/Article
Kes penjualan tanah mangsa masih disiasat
KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kes penjualan sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang oleh jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, masih lagi dilakukan bagi mengumpul bukti lengkap berhubung motif sebenar pembunuhan mangsa bersama tiga rakan yang lain.
Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar berkata, kes membabitkan jutawan dan suspek utama iaitu peguam berasal dari Banting, Selangor, terbabit masih dijalankan bersama 290 kes penipuan membabitkan 35 peguam lain.
“Polis masih meneliti kes penipuan oleh peguam (suspek utama) berkenaan dan saya tidak boleh ulas banyak berhubung kes terbabit. Saya akan maklum perkembangan berhubung siasatan itu kelak,” katanya.
Difahamkan, pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain berkait rapat dengan wang hasil jualan sebidang tanah bernilai RM29 juta di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang cuba dijual Sosilawati bersama dua lagi rakan kongsi.
Pembelian dan penjualan tanah itu dikendalikan sepenuhnya suspek utama, selaku peguam dan bertindak sebagai broker, berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kespenjualantanahmangsamasihdisiasat/Article
'Jangan buat andaian'
ALOR SETAR: “Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri sehingga mengganggu emosi kami terutama anak-anak,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada ejen kontraktor, Shafik Abdullah, 37, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh, suspek utama dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Beliau berkata, dia kesal dengan laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin (bukan terbitan kumpulan NSTP) yang membuat andaian sendiri dengan mengatakan tulang yang ditemui di ladang Gandong, Tanjung Sepat, Banting disyaki milik Shafik.
“Mereka lebih tahu daripada pihak berkuasa...apa-apa pun kita kena tunggu keputusan DNA. Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami saya, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri.
“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, terutama anak-anak saya yang masih kecil. Mereka sering bertanya kepada saya ke mana ayah pergi dan sampai sekarang tidak pulang ke rumah,” katanya.
Samsonnahar berkata, setakat ini dia belum dihubungi polis mengenai sebarang perkembangan terbaru mengenai Shafik.
“Setiap hari pelbagai pihak terutama wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan berita terkini mengenai suami. Saya sendiri pun masih ternanti-nanti panggilan daripada polis untuk mengetahui perkembangan suami,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan wanita terbabit dihubungi polis dari Balai Polis Banting yang 95 peratus mengesahkan suaminya menjadi antara mangsa suspek kes pembunuhan itu.
“Saya bersedia menerima sebarang keputusan dan reda dengan apa yang berlaku terhadap suami kerana semuanya itu ketentuan Ilahi.
“Sejak kehilangannya, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat supaya diberi kesabaran menghadapi dugaan ini. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerimanya walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Janganbuatandaian/Article
Usharani hadir semula beri keterangan
BANTING: Isteri mendiang ahli perniagaan dari India yang dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan suspek utama kes Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hadir semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk memberi keterangan berhubung kes kehilangan suaminya, Allal Kanthan Muthuraja, 34, kepada pasukan risikan, semalam.
S Usharani, 24, dilihat memasuki pekarangan IPD jam 1.45 petang, ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam sebelum keluar tiga jam kemudian.
Bagaimanapun, tiada kelibat ahli keluarga Usharani yang didakwa sesetengah pihak dilihat berada bersama mereka.
Manikavasagam yang ditemui berkata, Usharani diminta hadir semula bagi memberi keterangan lanjut kepada polis dari unit risikan berikutan tidak dapat berbuat demikian kelmarin.
“Hari ini dia memberi keterangan penuh dan lengkap sebelum berangkat pulang ke Ramapuram, India, esok.
“Dia juga ke kuil di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada hari ini untuk sembahyang hajat mendoakan kesejahteraan suaminya dan tak putus berharap bahawa suaminya masih lagi hidup,” katanya.
Menurutnya, Usharani mahukan keadilan dan suspek yang melakukan pembunuhan itu menerima hukuman paling setimpal.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Usharanihadirsemulaberiketerangan/Article
Keluarga saudagar fail bantahan
KUALA LUMPUR: Keluarga saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, yang dipercayai dibunuh suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mengemukakan bantahan rasmi secara bertulis kepada Kerajaan Malaysia.
Bantahan difailkan melalui Kedutaan India di Jalan Duta dilakukan adik mangsa, Dr Kasi Vishwanathan, 30-an, kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Dr Kasi yang tiba di ibu negara Jumaat lalu bagi memantau perkembangan kes abangnya berkata, keluarganya mengambil keputusan itu selepas kurang berpuas hati dengan pengendalian kes berkenaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, kes kehilangan ahli perniagaan itu dibuat pada 8 September lalu sedangkan ahli perniagaan itu datang ke negara ini pada Januari lalu. Ini menyebabkan polis tiada maklumat terperinci mengenai kehilangan jutawan itu.
Beliau mempunyai perniagaan di Russia juga mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan siasatan kes terbabit, malah tidak pernah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) seperti dilaporkan media.
“Tujuan kami ke sini (Kedutaan India) adalah untuk memfailkan bantahan rasmi kepada Kerajaan Malaysia. Banyak perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli keluarga berhubung kes ini.
“Keputusan ini dibuat selepas mendapat nasihat peguam. Yang pasti, kami berada lebih lama lagi di negara ini untuk mengikuti perkembangan kes dan membantu siasatan sekiranya diperlukan,” katanya.
Katanya, segala kenyataan isteri mangsa, S Usharani, 24, juga bercanggah dengan situasi sebenar kehilangan abangnya itu. Antara kenyataan yang dikatakan bercanggah itu ialah mengenai maklumat awal kehilangan suaminya yang dilaporkan media.
Kunjungan Dr Kasi ke Kedutaan India turut ditemani isterinya, seorang wanita warga Russia; adik lelakinya, Vijay Subramaniam dan wakil pembangkang, K P Samy yang bertindak sebagai pegawai perhubungan mereka di Malaysia.
Dalam kejadian 18 Januari lalu, Muthuraja, dilaporkan hilang selepas dijemput dua beradik peguam yang juga suspek utama kes bunuh dan bakar Sosilawati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebelum dibawa ke Banting.
Sebelum ini, isteri mangsa, Usharani, berkata mangsa yang memiliki perniagaan batu permata, syarikat kewangan, restoran dan hartanah di Chennai, berkunjung ke Malaysia untuk meninjau peluang pelaburan selepas diyakinkan kedua-dua suspek.
Kali terakhir mangsa menghubungi isterinya sejurus tiba di KLIA dan memaklumkan dijemput kedua-dua suspek untuk dibawa ke Banting sebelum gagal dikesan hingga kini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluargasaudagarfailbantahan/Article
Bapa ganas tiada belas kasihan

mfirdaus@hmetro.com.my
2010/09/28
KUALA LUMPUR: “Anak sulung lelaki berusia 18 tahun terpaksa bergantung dengan ubat sejak setahun lalu kerana otak mengalami gegaran selepas kepalanya dihentak menggunakan rotan sebesar buluh lemang. Manakala anak kedua (15 tahun) sudah tiga kali patah tangan akibat dipukul.
“Malah, anak perempuan ketiga berusia 14 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) berbirat seluruh badan akibat dirotan. Hanya anak lelaki bongsu berusia 10 tahun terselamat daripada kekejaman suami,” kata seorang suri rumah berusia 39 tahun yang enggan namanya disiarkan.
Akibat tidak tahan dengan perbuatan suaminya selain bimbang keselamatan serta pencapaian anak sulung dan kedua yang masing-masing mendapat keputusan cemerlang iaitu 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan 8A untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, suri rumah terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk menghentikan kekejaman suaminya itu.
Wanita terbabit menceritakan kekejaman suaminya berusia 41 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel kerana sering melepaskan kemarahan kepadanya, selain membelasah tiga anaknya itu sejak tujuh tahun lalu.
Difahamkan, suspek akan menggunakan rotan berkenaan sebagai ‘senjata’ untuk menghukum anaknya sekiranya dia mendapati mereka melakukan kesalahan.
Dalam kes terbaru di rumah mereka di Gombak, di sini, kelmarin, lelaki itu membelasah anak keduanya sehingga patah tangan kanan hanya kerana disebabkan kesalahan kecil.
Difahamkan, suspek berang selepas anak keduanya itu kononnya tidak mendengar arahannya supaya tidak membuat bising kerana dia mahu tidur selepas pulang bekerja.
Menurut suri rumah berkenaan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suaminya yang bagaikan dirasuk syaitan membelasah anak perempuannya itu hampir 20 minit.
“Walaupun saya cuba menenangkan suami, dia tidak mengendahkannya sebaliknya mengugut untuk mencederakan seluruh keluarga.
“Saya hanya menangis melihat kekejaman suami membelasah anak seperti binatang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Menurutnya, anaknya itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sebelum tangannya yang patah dirawat dan dibenarkan pulang ke rumah.
Katanya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku terhadap anak-anaknya sebaliknya mereka sekeluarga bagaikan hidup dalam ‘neraka’ sejak tujuh tahun lalu.
“Anak sulung, bukan saja mengalami kemurungan kerana sering dibelasah sebaliknya dia terpaksa bergantung kepada ubat kerana otaknya mengalami gegaran akibat kepalanya dipukul bapanya.
“Anak ketiga yang juga OKU turut menjadi mangsa kekejaman suami. Mungkin kerana dia (bapa) tidak dapat menerima anaknya yang cacat itu menyebabkan dia sanggup memukulnya,” katanya.
Beliau berkata, suaminya yang dikahwini sejak 20 tahun lalu, sebelum ini seorang yang sopan dan mula berubah perwatakan sejak tujuh tahun lalu.
“Saya tidak tahu apa masalahnya, dia (suami) mula menjadi bengis dan pemarah atas kesalahan kecil sebelum memukul anak-anak,” katanya.
Sebaik menerima laporan itu, polis memberkas suspek di rumahnya bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan difahamkan, lelaki terbabit akan dikenakan pertuduhan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan penahanan lelaki terbabit.
“Kami sudah merakamkan percakapan lelaki itu (suspek), pengadu (isteri suspek) termasuk mangsa (anak- anak suspek) bagi membantu siasatan. “Malah, kertas siasatan sudah lengkap dan kami (polis) bersedia untuk membuat pertuduhan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapaganastiadabelaskasihan/Article
Monday, September 27, 2010
Rozita pernah anggap berita kehilangan Sosilawati gimi
"Ketika kehilangannya terpapar di akhbar baru-baru ini, saya ingat dia (Sosilawati) main-main dan menganggap ia gimik terbaru daripada Wati kerana sepanjang mengenalinya, dia adalah seorang yang suka menarik perhatian ramai.
"Dalam tempoh kehilangan Wati, dua kali saya termimpi arwah datang kepada saya dengan suara sayu memberitahu pinggangnya sakit. Sebaik ditanya mengapa sakit...dia terus menghilangkan diri.
"Saya tertanya-tanya dengan mimpi itu dan kebiasaannya jika membabitkan pinggang dan tulang belakang, kemungkinan besar orang itu berada dalam kesusahan atau kesakitan. Bagaimanapun, ia hanya mimpi kerana Allah saja Maha Mengetahui ke atas semua yang berlaku," katanya mengagumi Sosilawati sebagai seorang yang sangat pemurah, baik hati dan suka berkawan.
"Kali terakhir kami bertemu pada April lalu ketika saya menjemputnya untuk menghadiri satu majlis ilmu di kediaman saya," katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RozitapernahanggapberitakehilanganSosilawatigimik/Article/index_html
Petunjuk baru kes kehilangan Mohd Shafik
BANTING: Polis menemui petunjuk baru semalam dipercayai ada kaitan dengan kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah di ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini.
Sumber berkata, petunjuk itu bukan mayat manusia sebaliknya suatu ‘benda’ yang dapat membantu siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu. Katanya, pihak polis berpuas hati dengan penemuan terbabit yang dapat membantu siasatan dalam operasi dijalankan selama lapan jam itu. Beliau berkata, tiada mayat ditemui dalam operasi itu dan enggan mendedahkan ‘benda’ yang ditemui itu sama ada tulang manusia atau barangan peribadi milik mangsa.
“Saya tidak dapat mendedahkan apa yang ditemui tetapi polis berpuas hati dengan penemuan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, ‘benda’ itu ditemui di lokasi yang dipercayai kubur mangsa dalam ladang terbabit.
Sumber berkata, jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat yang memasuki ladang itu pagi semalam adalah untuk membekalkan air bagi operasi itu, manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang turut memasuki ladang terbabit adalah untuk membaiki paip air bocor.
Dua kubur dipercayai ditemui di ladang berkenaan iaitu satu yang terletak kira-kira satu meter dari kawasan belakang ladang manakala satu lagi terletak berhampiran rumah pekerja dalam ladang itu.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PetunjukbarukeskehilanganMohdShafik/Article
Leher dikelar geng Mat Rempit

2010/09/27
SHAH ALAM: Tidak ubah seperti binatang apabila sekumpulan kira-kira 10 Mat Rempit cuba merompak dan menyerang seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam sebelum mengelar leher mangsa hingga berlumuran darah.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi kelmarin di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, kumpulan Mat Rempit berkenaan yang bersenjatakan pisau mencederakan pelajar berkenaan yang cuba menyelamatkan dompet dan telefon bimbitnya daripada dirompak.
Difahamkan, mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terpaksa lari ke tengah lebuh raya bagi menyelamatkan diri dan meminta bantuan beberapa pemandu kenderaan selepas dikejar kumpulan Mat Rempit terbabit.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faris, 21, berkata kejadian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak sebelum susur keluar ke Padang Jawa. Dia dan seorang rakan yang membonceng motosikalnya dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berdekatan.
Menurutnya, dia tidak menggunakan laluan motosikal lebuh raya berkenaan kerana hari sudah pagi dan bimbang disamun kerana jalan agak sunyi. Namun, malang tidak berbau apabila sekumpulan Mat Rempit menaiki tujuh motosikal mengekorinya daripada belakang.
“Sebaik saja kumpulan terbabit mendekati, mereka tiba-tiba mengepung motosikal saya dan mengarahkan berhenti, namun saya yang bimbang sesuatu buruk berlaku cuba memecut.
“Tindakan saya itu menyebabkan kumpulan remaja terbabit tambah berang sebelum menendang motosikal saya hingga jatuh,” katanya.
Faris berkata, sebaik jatuh, kumpulan berkenaan terus menerpa dan membelasah dia serta rakannya untuk merampas dompet dan telefon bimbit.
“Mereka bertindak ganas, saya disepak dan ditumbuk manakala rakan pula ditampar. Kunci motosikal juga dirampas mungkin untuk melarikannya, saya cuba mempertahankan diri dan semasa bergelut saya tidak sedar leher sudah dikelar seorang daripada lelaki berkenaan.
“Saya yang berlumuran darah bertindak menyelamatkan diri dengan berlari ke tengah lebuh raya dan cuba menahan beberapa kereta untuk bantuan,” katanya.
Menurutnya lagi, dia bernasib baik apabila ada kereta berhenti dan sudi membantu.
Katanya, pemandu kereta itu menghantar dia dan rakan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.
“Luka akibat dikelar itu agak parah dan leher terpaksa dijahit dengan lapan jahitan, manakala rakan tidak mengalami kecederaan.
“Selepas selesai mendapat rawatan dan dibenarkan pulang saya terus membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam,” katanya.
Tambah Faris lagi, dia tidak dapat ke kuliah tiga hari selepas insiden itu dan terpaksa menjalani rawatan susulan serta trauma melalui lebuh raya berkenaan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LeherdikelargengMatRempit/Article
Bomba pam air 2 lubang kubur

2010/09/27
BANTING: Sebuah jentera bomba terpaksa digunakan untuk mengepam air yang bertakung dalam dua lubang besar di Ladang Gadong, semalam yang dipercayai kubur seorang ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah, 37, dan rakannya.

KELUAR...jentera bomba keluar dari laluan utama kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.

MASUK...jentolak memasuki laluan utama ke lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.
Jentera bomba mula memasuki kawasan ladang terbabit kira-kira jam 10.30 pagi disusuli beberapa kenderaan polis termasuk dari Unit Forensik, selain van membawa empat suspek dipercayai pekerja ladang itu, 15 minit kemudian.
Mohd Shafik dan rakannya yang berasal dari Taiping, Perak dilaporkan hiang sejak 5 April lalu dan gagal ditemui hingga kini. Mereka sebelum itu dikatakan datang ke sini untuk bertemu dengan seorang peguam yang kini menjadi suspek utama pembunuhan Sosilawati.
Dua lubang besar itu terletak berasingan, satu di bahagian belakang ladang ternakan milik suspek dan satu lagi di kawasan penanaman kelapa sawit di luar ladang berkenaan. Lokasi kedua-duanya dipercayai dikenal pasti menerusi maklumat yang diperoleh daripada suspek sendiri.
Pada kira-kira jam 12.15 tengah hari, sebuah jengkaut dilihat memasuki kawasan ladang berkenaan dipercayai untuk menggali kedua-dua lokasi yang sudah ditanda polis.
Bagaimanapun, petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan terbabit selepas pita kuning dipasang oleh polis kira-kira 300 meter dari pintu masuk ladang milik suspek utama kes pembunuhan berprofil tinggi itu.
Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, mereka ke lokasi terbabit selepas polis meminta bantuan bagi menyedut keluar air sungai yang memenuhi lubang berkenaan berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun jurucakap itu enggan mengulas lanjut dan meminta kumpulan media supaya berhubung dengan polis bagi mendapatkan maklumat terperinci.
Kerja mengorek kubur berkenaan dijangka diteruskan hingga malam tadi bagi mencari bukti kemungkinan mayat mangsa suspek ditanam dalam kubur itu.
Seorang lagi individu yang hilang dan turut dikatakan menjadi mangsa pembunuhan suspek bekerjaya peguam itu seorang ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34.
Muthuraja dilaporkan hilang selepas tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu suspek berkaitan urusan perniagaan.
Sementara itu, isteri mendiang yang membatalkan perjalanan pulang ke Ramapuram, India semalam, S Usharani, 24, dilihat sekali lagi memasuki Ibu Pejabat Daerah (IPPD) Kuala Langat kira-kira jam 10 pagi dan keluar 45 minit kemudian.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bombapamair2lubangkubur/Article
