Saturday, December 13, 2008

Riba punca krisis kewangan dunia - Mufti


Ini adalah akibat mengabaikan peraturan-peraturan Allah. Gambar hiasan

09 Dec 2008 10:56AM

ARAFAT (Arab Saudi): Seorang ulama besar Arab Saudi lewat kelmarin memberitahu masyarakat Islam yang menunaikan haji bahawa krisis kewangan sejagat yang dialami ketika ini berpunca daripada sikap mengabaikan peraturan Tuhan dan membenarkan amalan riba, yang diharamkan oleh Islam, berleluasa.

'Hari ini, kita melihat sedang krisis kewangan semakin mencengkam, beberapa syarikat dan bank muflis,' kata Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Sheikh, dalam khutbahnya di Masjid Namira, tempat Nabi Muhammad saw mendirikan solat semasa menjalani ibadah haji.

'Ini adalah akibat mengabaikan peraturan-peraturan Allah. Para penganut Islam harus patuh dengan peraturan-peraturan Tuhan, dan membina ekonomi mereka sewajarnya,' kata Sheikh Abdul Aziz kepada jemaah sebelum solat zohor.

Bank-bank yang beroperasi di bawah undangundang syariah tidak mengenakan bayaran bunga bagi pinjaman-pinjamannya, yang dilihat sebagai satu bentuk riba.

Sebaliknya, mereka lebih mengamalkan dasar berkongsi pemilikan dan membahagi keuntungan yang diraih dalam sesuatu projek.

Sheikh Abdul Aziz juga menggesa agar masyarakat Islam sedunia bersatu di tengah-tengah gejala pengganasan untuk mengekalkan kestabilan.

'Dunia harus melihat pengganasan sebagai satu jenayah... kita harus berjaga-jaga terhadap pengganasan dan memerangi kumpulan-kumpulan yang bertindak ganas yang menghancurkan negara-negara dan penduduknya,' kata Sheikh Abdul Aziz.

Beliau menambah bahawa keluarga Islam harus 'membentuk sekatan di hadapan sesiapa yang mengancam keselamatan dan kestabilan'.

http://www.klpos.com/news/2008/12/09/1.html

20,000 nelayan sertai mogok nasional

Dec 12, 08 5:09pm

Kira-kira 20,000 nelayan menyertai boikot terbesar tidak ke laut bermula hari ini bagi mendesak kerajaan menurunkan harga diesel kepada RM1.

Boikot yang melibatkan 5,000 bot itu akan mengurangkan separuh bekalan ikan negara, lapor Sin Chew Online.

Boikot anjuran Persatuan Nelayan Selangor dan Perak turut disertai nelayan-nelayan dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Nelayan membuat tuntutan itu kerana harga diesel tahun ini telah turun sebanyak enam kali, tetapi nelayan masih membayar harga yang sama iaitu RM1.43 seliter.

Harga diesel di pasaran sekarang dijual RM1.80 seliter.

Selasa lalu, 143 bot di Kota Kinabalu enggan turun ke laut bagi membuat desakan yang sama.

Nelayan-nelayan di Sabah mendakwa mereka mengalami kerugian akibat harga diesel dan hasil tangkapan ikan merosot.

Dua pemilik kapal berkenaan Cheong Eng Tiang dan Mu Ven Kong dilaporkan berkata mereka mengalami kerugian antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan sejak enam bulan lepas.

Akhir bulan lepas, anggota parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung empat tuntutan nelayan.

Usul itu bagaimanapun ditolak oleh yang dipertua dewan.

Selain menurunkan harga minyak subsidi kepada RM1.00 seliter, 20,000 nelayan itu mendesak kerajaan mengurangkan pencerobohan nelayan asing, menyegerakan elaun sara hidup RM200 sebulan dan membuka Zon A dan Zon B perikanan kepada nelayan asing.

http://www1.malaysiakini.com/news/94790

Mahu bunuh diri sebab SMS suami


WANITA yang dipercayai cuba membunuh diri (kanan) diiringi seorang awam ke balai polis di Kota Bharu semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU – Akibat tertekan selepas menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya yang tetap mahu merujuk semula dengan isteri pertama, seorang wanita bertindak nekad cuba membunuh diri.

Bagaimanapun, niat wanita berusia lingkungan 20-an, seorang kakitangan kerajaan itu tidak tercapai apabila semasa cubaan pertamanya baju mangsa tersangkut pada besi tingkap.

Semasa cubaan kedua pula, rakan-rakan sekerja yang ternampak tindakan mangsa telah memujuknya.

Sebelum kejadian pukul 11 pagi, mangsa dikatakan telah naik ke tingkat 11 di Wisma Persekutuan di sini dan cuba melangkah keluar dari tingkap dipercayai untuk terjun.

Seorang saksi, Jamilah, 40, (bukan nama sebenar) berkata, wanita berasal dari Kampung Badak, dekat Bachok itu dikatakan terlalu tertekan apabila dimaklumkan suaminya mahu merujuk semula dengan isteri pertamanya.

Katanya, wanita yang baru mengalami keguguran anak sulung itu tanpa disedari telah naik ke tingkat 11.

“Dia mulanya mahu melangkah keluar dari tingkap tetapi nasib baik bajunya tersangkut di tingkap menyebabkan rakan-rakannya sempat menariknya.

“Bagaimanapun, sebaik masuk semula ke bangunan itu, mangsa yang dipercayai mahu mencari lokasi baru telah berlari ke pintu belakang di tingkat tersebut, tetapi sempat dihalang oleh rakan-rakan sekerjanya,’’ kata beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Tips Mudah Jimatkan Elektrik

Satu kajian dari University of Southern California’s Energy Institute mengatakan sekitar 5-10 % rata rata rumah membuat pembaziran tenaga elektrik secara percuma (dalam mod standby).

Setiap isi rumah terus membayar tenaga yang tidak digunakan hingga 130 dollar setiap tahunnya. Bahkan ada kemungkinan pemakaian elektrik yang tidak digunakan lebih besar dibandingkan pemakaian purata seseorang setiap hari.

Laporan Department of Energy mengatakan beberapa alatan elektronik tertinggi pembaziran elektrik.

TV Plasma $165 ,
Cable Box $10,33,
Tv jenis CRT $5,16
Kotak Astro $
dan VCR $3.10 setiap tahunnya
Adaptor handphone $1.99
Desktop Computer: $6.20
Laptop (fully charged): $2.06
LCD Computer Monitor: $1.03
Wireless Router: $4.13
DSL Modem: $5.16
External USB Hard Drive: $2.06
Computer Speaker System: $5.16
Inkjet Printer: $4.28
DVD Player: $3.60
Powered Subwoofer: $15.50
Microwave Oven: $2.48
DVR menghabiskan $27.9,
Radio stereo $41.34 setiap tahun.

Secara total penduduk dunia membuang tenaga tanpa disedari, dan menjadi penghasil 1 peratus polusi dari gas karbon dioksida hanya untuk hal yang tidak perlu.

Untuk penjimatan caranya sangat mudah, biasakan mencabut kabel power elektrik dari soket plug selepas selesai penggunaan. Atau tambahan switch utama untuk power bila tidak ingin selalu mencabut plug power.

Lain-lain faedah dapat menyelamatkan dari kilat yang boleh merosakan alatan anda.

http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=1725&highlight=letrik

Tambang dulu, baru gaji


Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Macam mana hendak naik gaji kalau tambang tak naik.
Itu reaksi sinikal Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) Datuk Ashfar Ali berhubung usaha mengkaji gaji pemandu kenderaan berat termasuk bas oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Kami sendiri boleh naikkan gaji pemandu bas tanpa menunggu arahan kerajaan. Tetapi untuk merealisasikan perkara ini, kerajaan perlu menunaikan permintaan kami (naik tambang) sebelum ini.

“Kita boleh timbang saranan naik gaji tetapi jika kerajaan menetapkan gaji pemandu tetapi syarikat bas ekspres tiada wang untuk bayar... bagaimana?,” soalnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam yang mencadangkan gaji pemandu kenderaan berat termasuk bas disemak semula dalam usaha mengelak mereka mengalami keletihan akibat bekerja terlalu lama atau lebih masa.

Katanya, tindakan Kementerian Sumber Manusia untuk menetapkan gaji menerusi cadangan penubuhan Majlis Penetapan Gaji sukar dilaksanakan kerana industri pengangkutan seharusnya bergerak bebas di pasaran terbuka.

Faktor itu turut dikaitkan dengan kejadian terbaru melibatkan kemalangan bas ekspres apabila 10 penumpang termasuk lima wanita maut manakala 19 lain cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 146, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tangkak, Johor kelmarin.

Ashfar menambah, kerajaan perlu mengkaji dahulu mengenai tuntutan berhubung kenaikan tambang 100 peratus yang diminta sebelum ini.

Ini kerana, katanya, banyak syarikat bas ekspres sedang menanggung kerugian dan hanya melalui peningkatan tambang itu, syarikat pengusaha bas ekspres akan meningkatkan kadar gaji pemandunya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Wanita tua dapat anak


NEW DELHI – Seorang wanita berumur 70 tahun akhirnya berjaya memperoleh cahaya mata pertama selepas menjalani kaedah rawatan persenyawaan tabung uji (IVF), kata seorang doktor semalam.

Seorang doktor di pusat kesuburan di Haryana, Anurag Bishnoi berkata, nenek tersebut, Rajo Devi melahirkan seorang bayi perempuan pada 28 November lalu selepas 50 tahun berkahwin.

“Devi dan suaminya, Bala Ram datang untuk mendapatkan rawatan dan satu pemindahan embrio telah dilakukan terhadap wanita itu pada 19 April lalu,” katanya.

“Ibu dan bayi itu berada dalam keadaan sihat. Devi juga mungkin merupakan ibu paling tua di dunia,” ujarnya. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Hilang pendengaran akibat berkucupan


SHANGHAI - Gara-gara terlalu ghairah berkucupan dengan kekasih, seorang gadis di wilayah Guangdong, China kehilangan pendengaran, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita dari bandar Zhuhai yang berumur dalam lingkungan 20-an itu kini dirawat di sebuah hospital selepas kehilangan pendengaran di telinga kiri.

"Kucupan mengurangkan tekanan dalam mulut, menyebabkan gegendang telinga ditarik keluar dan merosakkan telinga," kata seorang doktor yang merawat gadis itu, Li.

Beliau memberitahu bahawa pendengaran wanita itu mungkin akan pulih dalam tempoh dua bulan.

Kejadian itu juga menyebabkan akhbar-akhbar di China mengeluarkan amaran kepada penduduk berhubung keselamatan berkucupan.

Akhbar China Daily menyiarkan kenyataan doktor yang menasihati pasangan supaya berhati-hati semasa bercium walaupun aktiviti itu sebenarnya selamat.

Akhbar Shanghai Daily pula menyatakan bahawa ciuman bibir yang terlalu kuat boleh menyebabkan tidak ada keseimbangan tekanan pada telinga dan gegendang telinga boleh pecah. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Minyak biodiesel jadi mandatori pada 2010


KAKITANGAN MPOB, Mazlan Ahmed Halim mengisi minyak Envo Diesel Esther untuk kenderaan DBKL semasa pelancarannya di Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Penggunaan biodiesel akan dijadikan mandatori bagi sektor pengangkutan dan perindustrian menjelang Januari 2010, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui semalam.

Katanya, mulai Februari tahun depan, kenderaan kerajaan akan mula menggunakan jenama Envo Diesel Esther (B5), yang merupakan satu adunan lima peratus minyak sawit dan 95 peratus diesel.

"Menjelang 2010, dianggarkan 500,000 metrik tan biodiesel dari minyak sawit akan diperlukan,'' katanya selepas melancarkan B5 bagi kenderaan yang menggunakan diesel di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Katanya, harga B5 akan ditetapkan sebanyak RM1.95 seliter, dengan kerajaan memberikan subsidi lima sen seliter.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Terpikat pada keikhlasan

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my


Apa istimewanya sang jejaka yang membuatkan gadis-gadis muda Malaysia begitu tergila-gilakan mereka sehingga sanggup melarikan diri ke kepulauan asing itu?



PULANG dengan penyesalan, begitulah yang berlaku kepada Rinnie anak Aseng dari Bintulu, Sarawak yang lari mengikut kekasihnya, Basri ke Lombok, Indonesia pada awal Disember tahun lalu.
--------------------------------------------------------------------------------

BEBERAPA detik yang lalu, tidak putus-putus kisah cinta larangan gadis Malaysia dan jejaka Lombok memenuhi ruang dada-dada akhbar tempatan. Pelbagai andaian dan persepsi dibuat, antaranya kerana ilmu mistik seperti dipukau dan terkena ilmu pengasih. Jika mengikut logik akal, mana mungkin seorang gadis sanggup mengikut lelaki yang tidak punya apa-apa pada pandangan zahirnya.

Cuba kita berfikir sejenak, adakah teruna Lombok itu kaya, kacak, komunikasi hebat, kewangannya stabil, berkereta mewah atau keperibadiannya menawan?

Pasti jawapannya tidak. Tetapi mengapa gadis-gadis sunti yang sesetengahnya kelihatan ayu sanggup mengikut jejaka Lombok?

Kosmo! cuba menyelami kisah sebenar seorang gadis tempatan yang mengasihi jejaka Lombok. Beliau yang mahu dikenali sebagai Aty kini bahagia membilang hari bagi membina mahligai perkahwinan dengan seorang jejaka Lombok. Menariknya, Aty mendapat restu keluarga untuk mengharung alam rumah tangga dengan jejaka asing ini. Bekerja sebagai seorang pembantu operasi di salah sebuah syarikat pengangkutan kontena di Pasir Gudang, Johor, Aty ketika membuka bicara, bersungguh-sungguh meluahkan kejujuran dan keikhlasannya menerima kekasihnya yang mahu dikenali sebagai Nasar.

“Saya tak malu bercinta dengan jejaka Lombok walaupun mendapat pelbagai tohmahan dan cemuhan daripada saudara mara dan masyarakat setempat.

“Saya bahagia kerana bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan dengan restu ibu bapa. Pada mulanya, mereka marah tetapi akhirnya ibu bapa saya dapat menerima Nasar,” kata gadis yang berusia 21 tahun itu kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau mula berkenalan dengan jejaka Lombok itu, kira-kira dua tahun yang lalu dan akan mengadakan majlis perkahwinan pada 10 Januari 2009.

Nasar pula bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah pasar borong di Pasir Gudang.

Pada awal perkenalan, mereka hanya menjalin persahabatan biasa tetapi lama-kelamaan Aty mula tertarik dengan budi bahasa Nasar yang jujur yang mana dia sanggup berkongsi segala masalah keluarga termasuk hal peribadi dengan ikhlas.

“Nasar tidak pernah berbohong atau berselindung apa-apa daripada saya, malah dia sentiasa menjadikan saya sebagai tempat mengadu jika berhadapan masalah besar.

“Dia juga bersikap jujur dengan berkongsi kisah hidupnya bersama isteri pertama yang mana jodoh mereka berakhir dengan perceraian. Jika Nasar ingin menipu saya, tidak mungkin dia mahu bercerita mengenai isteri pertama yang kini tinggal di Lombok,” ujar Aty yang sanggup menghubungi Jabatan Agama di Indonesia untuk mengesahkan perihal perceraian Nasar.

Aty akhirnya memperoleh pengesahan yang menyatakan bahawa Nasar telah bercerai dengan isteri pertamanya mengikut prosedur undang-undang Islam di sana. Selepas menerima pengesahan itu, hubungan Aty dan Nasar menjadi lebih kukuh.

Apabila ibu bapa mengetahui hubungan cintanya dengan jejaka Lombok, ayah Aty berasa gusar dan merayu agar Aty memutuskan hubungan tersebut. Ini kerana ayahnya tidak tahan menerima tohmahan daripada saudara -mara yang menghina pilihan Aty.

“Ada juga saudara-mara memboikot dan mengutuk saya di khalayak ramai. Ini kerana mereka sukar menerima pilihan hati saya. Oleh kerana berkecil hati, saya jarang berkunjung ke rumah saudara-mara atau menghadiri sebarang majlis bersama mereka.

“Sungguhpun begitu, saya tetap teguh dengan pendirian dan keputusan untuk meneruskan hubungan dengan Nasar dan mahu mendirikan rumah tangga dengan restu ibu bapa,” jelasnya.

Aty mengakui, satu ketika dia berasa agak tertekan dan pernah mengajak Nasar supaya lari dari Malaysia dan mendirikan rumah tangga di Lombok tetapi doa dan kasih sayang ibu bapa telah menghalangnya berbuat demikian.


--------------------------------------------------------------------------------

Bagi mengatasi kemelut ini, mereka berusaha mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan yang pernah berhadapan dengan situasi yang serupa.

Selain itu, Aty juga berusaha mengumpul maklumat daripada pihak imigresen mengenai perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing.

“Apabila ayah melihat keikhlasan ini, hatinya mula menerima keputusan saya. Beliau memberi keizinan kepada saya untuk berkahwin dengan Nazar pada pagi Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Itulah Aidilfitri yang paling bahagia dan indah seumur hidup saya,” kata anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini.

Namun Aty mengakui bahawa dia masih berasa takut apabila mengenangkan masa depan hidupnya bersama Nasar yang tentunya sukar memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia.

Apapun berlaku, Aty berkata, selepas berkahwin kelak, dia tidak akan membenarkan Nasar kembali ke Lombok dan akan membantu Nasar memperoleh pekerjaan sesuai untuk menjamin masa depan yang lebih baik bagi mereka sekeluarga.

Menjawab pertanyaan kenapa semakin banyak gadis tempatan jatuh cinta dengan jejaka Lombok dan apa istimewanya mereka, Aty menjelaskan bahawa faktor pertama ialah keikhlasan mereka menerima gadis tempatan sebagai teman hidup dan isteri walaupun gadis itu hanya bekerja kilang.

Bagaimanapun, Aty menasihati gadis-gadis tempatan yang ingin mendirikan rumah tangga dengan warga asing agar tidak melarikan diri, sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian mengikut prosedur undang-undang.

“Ini penting untuk jaminan kehidupan mereka dan anak-anak yang bakal dilahirkan,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

04-12-2008: Petronas shuts down Kertih plants


by Tony C H Goh
Email us your feedback at fd@bizedge.com


KUALA LUMPUR: National oil company Petroliam Nasional Bhd (Petronas) has shut down its polypropylene plants in Kertih as the slowing global economy is leading to a drop in demand for the petroleum byproduct.

“Our plants in Kertih are no different from the other oil majors, the lower demand has lead to extra capacity and the temporary shutdown, but we are unsure how long it is going to last,” Petronas president and chief executive officer Tan Sri Hassan Merican said after the opening of the International Petroleum Technology Conference (IPTC) here yesterday.

He added that despite the fall in prices, resins produced at the plants in Kertih had also been stacking up as these products were considered consumer products that would be the first to be hit by the slowdown in demand.

Petronas has polypropylene plants in Kertih and Kuantan, and another fertiliser plant in Gurun, Kedah besides plants producing vinyl chloride monomer/polyvinyl chloride in Kertih.

On the current low crude oil prices and its impact on investment in the oil and gas sector, Hassan said investment strategy in the industry was not based on current oil prices, as oil as a commodity would have price fluctuation.

But he said the company had to look at the investments in Malaysia and its overseas ventures separately.

“Investments in Malaysia, we have to take into account the overall production need of the country. It is the projects overseas that we have to look at the demand and overall cost of production,” he said.

He added that the cost of production had gone up more in percentage terms compared to the rise in price of oil. “We have yet to see any major price movements for oil rigs, as exploration and development activities are still continuing,” he said.

Crude oil prices have dropped by about US$100 (RM363) or 68% from its July peak of US$147 per barrel, and are currently trading at around US$47 per barrel.

In his speech at the conference, Hassan said the situation facing the industry now was in stark contrast to that during the previous IPTC in December 2007, when crude oil was traded at around US$98 a barrel and was still climbing.

“It is hard not to let recent events to prompt us into rethinking our approach to the business with the present volatile environment. But there was also a sense of urgency to grow the global supply capacity to accommodate the increasing energy demand, especially in the emerging economies of China and India,” he said.

http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=537

Thursday, December 4, 2008

Taib Mahmud nafi pilihanraya negeri lebih awal



Rabu Disember 3, 2008

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menafikan kemungkinan mengadakan pilihanraya negeri lebih awal kerana ini adalah tidak munasabah terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.


Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata semua kerajaan di dunia mengatakan ekonomi yang tidak menentu bukanlah masanya untuk mengadakan pilihan raya.


"Jika ada orang yang cuba adakan formula berlainan kemungkinan dia tidak tahu mengenai ekonomi," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Abang Salahuddin dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.


Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.


Pilihan raya negeri Sarawak yang lepas ialah pada Mei 2006 dan tempoh pilihan raya akan datang ialah pada 2011.


Bulan lepas, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Wan Zainal Abidin Wan Sanusi membayangkan bahawa pilihan raya negeri ke-10 akan diadakan pada pertengahan tahun depan.


Ramalan ini berikutan perkembangan politik terkini di negeri ini di mana Anggota Dewan Undangan Negeri Ngemah, Gabriel Adit Demong dan bekas anggota Parlimen Sri Aman Jimmy Donald bersama-sama hampir 12,000 penyokong menyertai PKR.


Minggu lepas, Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata parti itu akan memberikan tumpuan untuk merampas Sarawak daripada BN pada pilihan raya negeri akan datang yang dijangka diadakan pada suku kedua tahun depan.


Semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan berada di Sarawak mulai minggu kedua bulan ini untuk memulakan "perjuangan" bagi memenangi pilihan raya negeri ini, katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_mutakhir/20081203220900&sec=mstar_mutakhir

Nik Aziz tetap mahu bukan Islam sertai PAS


Rabu Disember 3, 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi melontarkan cadangan membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam walaupun ia tidak dipersetujui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Katanya PAS perlu memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam yang mulai menerima baik parti itu sehingga ada yang telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS serta turut berkempen untuk calon parti itu pada pilihan raya umum lalu.


"Bukan Islam pun dah mula undi PAS, kenapa kita tak boleh beri peluang kepada mereka. Politik ini untuk semua," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Nngeri di sini hari ini.


Pada muktamar PAS yang lepas, Abdul Hadi menolak cadangan berkenaan dan berkata penerimaan golongan bukan Islam untuk menyertai PAS mungkin mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan perlembagaan parti yang antaranya menetapkan syarat keanggotaan seperti beragama Islam, berakal dan akil baligh.


Mengenai pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu nanti, Nik Aziz berharap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, dipilih semula menjadi calon parti itu.


"Saya nak benar dia. Dulu dia bertanding pilihan raya umum di situ, tak ada sebab kita tak boleh letak dia. Di parlimen ni kita nak orang macam Mat Sabu kerana dia lantang," katanya.


Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail akibat serangan jantung pada Jumaat lepas.


Pada pilihan raya umum Mac lepas, Mohamad Sabu tewas kepada Razali dengan majoriti 628 undi. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203162035&sec=mstar_berita

Anwar alu-alukan penyertaan Zaid



Rabu Disember 3, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mengalu-alukan penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke dalam pakatan pembangkang itu selepas beliau dipecat keahliannya daripada Umno semalam.


Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid banyak berkongsi prinsip hak asasi rakyat dan menghormati jaminan hak dalam perlembagaan iaitu isu sama yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.


"Kenyataannya yang menghormati jaminan dalam perlembgaan dan menentang undang-undang zalim seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sama dengan apa yang diperjuangkan oleh kami dan kami selesa dengannya," katanya pada majlis penyerahan salinan memorandum daripada Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) kepada Menteri Kewangan berhubung bantahan penggunaan RM5 bilion wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) untuk Valuecap Sdn Bhd, di Parlimen, di sini.


Ditanya sama ada beliau akan menjemput Zaid menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar berkata, beliau turut mengalu-alukannya namun tidak mahu memaksa Zaid memandangkan beliau baru sahaja dipecat dan Zaid juga sering mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain termasuk PAS da DAP.


"Kita alu-alukan beliau tetapi itu pilihannya. Beliau telah berbincang dengan pemimpin PKR, PAS dan DAP.


"Kami selesa dengan pendiriannya dan mahu beliau melibatkan diri dengan lebih lagi memandangkan beliau kini sudah pun terlibat dengan Pakatan Rakyat,"
katanya.


Anwar berkata, pemecatan Zaid daripada Umno melambangkan sikap tidak bertoleransi parti itu kepada ahli yang mempunyai pendapat yang tidak sehaluan dengan parti.


"Kehadiran mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak itu tidak menjadi masalah...tapi itu isu Umno.


"Cuma kita harap (Datuk) Zaid mengambilnya sebagai cabaran dan terjun dalam gelanggang,"
katanya.


Anwar berkata, pemecatan keahlian Zaid daripada Umno bukanlah satu perkara besar kerana kenyataan-kenyatan parti itu sebelum ini menunjukkan ia tidak mempedulikan prinsip asas hak asasi manusia dan hal ini tidak selari dengan pendirian Zaid.


"Pada saya, ia (pemecatan) bukan isu. Apa yang besar sangat jika dipecat?" katanya.


Ditanya sama ada Zaid pernah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, Anwar berkata, mereka pernah mengadakan siri perjumpaan tertutup dengan Zaid selepas beliau meletak jawatan sebagai menteri Kabinet.


"Bagaimanapun, yang tertutup itu biarlah tertutup," katanya yang enggan mengulas lanjut.


Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, partinya bersedia menerima Zaid jika beliau berminat untuk menyertai parti itu.


"Kami sentiasa bersedia dan membuka pintu jika beliau mahu menyertai kami," katanya.


Lim berkata, Umno terlalu memperbesar-besarkan isu Zaid menghadiri majlis pembangkang sehingga membawa kepada pemecatan keahliannya sedangkan parti itu seharusnya memfokuskan kepada usaha membanteras politik wang dan rasuah yang semakin berleluasa di kalangan ahli.


"Pada mereka, kehadiran Zaid di majlis pembangkang merupakan isu besar yang menyebabkan Majlis Tertinggi (MT) mesti memecat beliau sedangkan mereka membiarkan rasuah dan politik wang berlaku dalam Umno," katanya.


Lim berkata, Umno tidak mampu lagi membendung politik wang sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berhasrat untuk mendedahkan nama pemimpin parti itu yang terlibat dalam gejala yang semakin berleluasa itu.


"Usaha membendung gejala inilah yang mahu dilihat oleh rakyat dan bukannya pemecatan Zaid," katanya.


Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno mengumumkan Zaid dipecat keahliannya serta merta daripada Umno kerana kesalahan melanggar etika parti termasuk yang terkini menghadiri Kongres Tahunan Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Abdullah memutuskan tindakan berkenaan berdasarkan beberapa tindakan Zaid sebelum ini khususnya apabila menghadiri sebagai tetamu jemputan ke majlis anjuran parti pembangkang.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203142445&sec=mstar_berita

Umno pecat Zaid Ibrahim



Rabu Disember 3, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dipecat keahliannya serta merta daripada Umno kerana kesalahan melanggar etika parti termasuk yang terkini menghadiri Kongres Tahunan Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan tindakan berkenaan berdasarkan beberapa tindakan Zaid sebelum ini khususnya apabila menghadari sebagai tetamu jemputan ke majlis anjuran parti pembangkang.


"Penglibatan dia (Zaid) dilihat menyalahi etika parti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno hampir tiga jam di sini hari ini.


Ditanya sama ada Zaid boleh mengemukakan rayuan mengenai keputusan tersebut, Abdullah berkata: "Pecat dah tak boleh rayu".


Tambah beliau dengan pemecatan Zaid, Umno perlu konsisten dalam membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan sebarang mengelakkan sebarang keraguan dan memastikan tidak wujudnya sikap pilih kasih apabila mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didapati melanggar disiplin parti.


Sementara itu Abdullah turut mengumumkan keputusan menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun.


Keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa kenyataannya sebelum ini yang mengkritik parti.


Abdullah turut menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan juga telah membincangkan mengenai isu-isu sensitif terutamanya yang melibatkan perkauman dan agama.


Katanya Umno mahu mempertimbangkan beberapa saluran yang boleh digunakan bagi membincangkan isu-isu sensitif dalam suasana yang lebih terkawal.


"Semua itu penting difikirkan bersama, mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan datang kita putuskan apa yang boleh dilakukan.


"Tidak timbul keresahan atau cuit (perasaan) sensitif kaum-kaum lain,"
katanya.


Abdullah turut menasihatkan agar mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan yang menyentuh mengenai sensitiviti kaum dan agama perlu bertanggungjawab dengan tindakannya itu.


"Mengenai isu-isu sensitif ini, bagi sesiapa yang bercakap mesti berhati-hati kerana kenyataan yang dibuat akan mengundang reaksi banyak pihak.


"Reaksi akan timbulkan perkara-perkara yang tidak diingini dan mereka itu perlu bertanggungjawab bagi elakkan reaksi kaum-kaum lain,"
katanya.


Jelasnya isu sensitif yang dimaksudkannya tidak hanya yang melibatkan kaum Melayu sahaja sebaliknya turut melibat kaum-kaum lain di negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum ini.


Abdullah berkata semua pihak perlu melatih diri daripada menimbulkan sebarang isu sensitif.


"Kalau tak jelas tentang sesuatu perkara (isu) yang berlaku, tak payahlah (perlu) timbulkan perkaraya yang sensitif," katanya yang menganggap tindakan sedemikian hanya akan merugikan rakyat.


Ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan dan kritikan parti-parti komponen BN lain, Abdullah berkata perkara itu sentiasa diberi perhatian oleh Umno.


"Kita bukan tak tahu tindakan parti-parti komponen itu, kita bertanggungjawab, tak bermakna kita berdiam diri," katanya.


Menyentuh mengenai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata pada mesyuarat berkenaan MT Umno masih belum memutuskan calon yang akan dipilih bertanding bagi kerusi berkenaan mewakili BN.


"Berkaitan dengan calon, kita belum tentukan pada waktu ini," katanya.


Ditanya sama ada MT Umno akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan calon yang akan bertanding, Abdullah berkata perkara itu tidak semestinya diputuskan oleh MT.


"Tak semestinya panggil MT, jawatankuasa pengurusan pun boleh pilih calon dan maklumkan kepada saya," katanya.


Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong apabila penyandangnya yang juga bekas Timbalan Menteri Pejaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu.


Dalam pada itu Perdana Menteri berkata MT Umno memutuskan supaya semua persiapan bagi menghadapi pilihanraya berkenaan disegerakan termasuk bantuan daripada badan perhubungan Umno negeri.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203014223&sec=mstar_berita

Arif Shah kekal di Umno - PM


Rabu Disember 3, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah tidak berminat menyertai parti lain selain Umno, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Perkara itu disahkannya selepas memberitahu bahawa beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Arif Shah bagi membincangkan mengenai kedudukan sebenar isu yang ditimbulkan.


"Semalam Arif Shah datang jumpa saya dan kebetulan memang saya pun nak jumpa dia...dia dah jelaskan semuannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini.


Isu ini timbul apabila Arif mendakwa umno Bahagian Permatang Pauh yang diterajui Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sudah mula mengetepikan haknya sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.


Arif turut dilaporkan menerima tawaran Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dikatakan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepadanya jika menyertai parti itu kelak.


Abdullah berkata Arif Shah memaklumkannya bahawa beliau akan tetap menjadi ahli Umno.


"Beliau akan tetap sebagai ahli Umno dan kekal sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN)," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203021035&sec=mstar_berita

Krisis ekonomi dunia beri kesan minima kepada Malaysia

Rabu Disember 3, 2008

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia masih kukuh dan kesan yang diterima dari krisis kewangan dunia adalah minima, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha.


"Malaysia tidak terdedah kepada krisis kewangan secara langsung dan menerima kesan secara tidak langsung dan minimum dari krisis gadaian subprima tersebut disebabkan kekuatan domestik ekonomi," katanya semasa sesi soaljawab di Dewan Negara di sini hari ini.


Beliau berkata jumlah tabungan negara masih berada pada paras yang kukuh iaitu 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang mencerminkan negara mempunyai lebihan mudah tunai yang boleh digunakan untuk menjana aktiviti ekonomi.


Negara juga mempunyai sistem perbankan yang stabil dengan tahap hutang tak berbayar yang rendah iaitu 2.4 peratus dan nisbah modal berwajaran risiko sebanyak 12.6 peratus, jauh melebihi paras 8.0 peratus menurut piawaian antarabangsa, katanya.


Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia juga berada dalam keadaan kukuh berjumlah RM343.8 bilion setakat 14 November dan pencapaian lebihan dagangan yang besar sebanyak 51.6 peratus bagi tempoh Januari-September, menunjukkan ekonomi negara di tahap yang baik.


Bagaimana pun, Kong berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, tidak terkecuali dari merasai tempias keadaan ekonomi global yang tidak menentu yang mana eksport bersih barangan dan perkhidmatan bagi suku ketiga tahun ini didapati merosot 14.8 peratus berbanding 20 peratus pada suku kedua.


Sementara itu, beliau berkata kerajaan yang selama ini banyak bergantung kepada pendapatan Petronas, tidak bimbang dengan penurunan harga minyak dunia yang sedikit sebanyak menjejaskan keuntungan Petronas.


"Bila harga minyak turun memang keuntungan Petronas juga akan turun, tetapi langkah Petronas melabur di 37 buah negara dapat memastikan keuntungannya berterusan dan ia juga pada jangka masa panjang akan membantu pendapatan negara," katanya.


Kong berkata kerajaan tidak akan semata-mata bergantung kepada pendapatan minyak dan sedang merancang untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara melalui sektor seperti perkhidmatan dan pertanian.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Maijol Mahap yang bertanyakan bagaimana kerajaan menangani pertumbuhan ekonomi negara kerana harga minyak dunia yang terus menurun akan menjejaskan pendapatan negara.


Kong berkata kedudukan bank-bank perdagangan juga masih kukuh berikutan langkah positif yang telah diambil selama ini dan pengalaman negara dari krisis ekonomi 1997/98.


"Bank-bank komersil kita masih lagi boleh memberi pinjaman atas nama dari bank-bank di Amerika Syarikat dan Eropah kerana bank di negara kita masih mempunyai duit dan keuntungan masih meningkat serta pinjaman tak berbayar juga masih rendah," katanya.


"Peminjam yang mempunyai masalah dengan bank juga boleh berunding di mana penstrukturan pinjaman boleh dibuat kepada mereka yang kredit kad tidak boleh bayar atau pun pinjaman perumahan boleh dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun dan sebagainya," katanya lagi semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Osman Bungsu yang ingin mengetahui sama ada bank-bank tempatan dapat melonggarkan syarat-syarat pinjaman. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203172609&sec=mstar_berita

Henti ulas isu kaum dan agama - Rafidah



Rabu Disember 3, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK



KUALA LUMPUR: Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Rafidah Aziz mahu semua pemimpin parti komponennya tidak bercakap mengenai isu perkauman dan agama sama ada kepada publik mahupun melalui media.


Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak akan memberi manfaat kepada rakyat sebaliknya hanya akan membawa perpecahan kepada parti.


"Saya minta semua pihak selesaikan apa-apa masalah yang timbul melalui mesyuarat...buat di dalam (mesyuarat).


"Jangan guna media siarkan apa-apa pun tentang parti," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita BN di sini semalam.


Tambah beliau, jika wujud sebarang masalah berbangkit yang melibatkan parti ia perlu dibincangkan melalui mesyuarat untuk diputuskan tindakan lanjut bagi mengelakkan sebarang provokasi.


Katanya lagi perkara utama yang menjadi tumpuannya ialah untuk memperkukuhkan BN sebagai parti pemerintah.


"Tanpa BN apa lagi yang lebih penting? BN adalah kerajaan. Jadi masalah parti komponen tidak seharusnya dilibatkan dalam hal ini," katanya.


Rafidah berkata demikian bagi mengulas sama ada pertandingan jawatan tertinggi Wanita Umno antara beliau dan naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan memberi kesan kepada BN.


Jelas beliau isu-isu dalaman setiap parti komponen tidak seharusnya dibawa ke dalam BN sebaliknya perlu diselesaikan di peringkat parti masing-masing.


"Tak ada apa yang boleh dibuat antara Rafidah dan Shahrizat, sebenarnya bila kita bercakap mengenai memperkukuhkan BN...saya lupa dia (Shahrizat) nak lawan saya (pemilihan Ketua Wanita Umno).


"Walau apa pun, perjuangan parti mesti diutamakan. Pemimpin sentiasa datang dan pergi...sama ada kami pergi atau mati, parti mesti diteruskan.


Dalam pada itu, mengulas mengenai pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Rafidah berkata Wanita BN bersedia dengan merangka pelbagai strategi untuk menghadapinya.


"Wanita BN memfokuskan di kawasan-kawasan yang ada kekuatan mengikut peti undi.


"Sebagai contoh di kawasan peti undi yang pengundinya lebih Melayu, Umno akan mengetuainya, jika kawasan itu banyak pengundi Cina, MCA akan ketuainya dan begitu juga dengan kaum India," katanya.


Mengenai peluang untuk BN memenangi pada pilihanraya kecil berkenaan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata BN akan cuba sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik dalam pilihanraya berkenaan.


Rafidah turut diajukan soalan mengenai dakwaan yang mengatakan beliau akan menarik diri bertanding jawatan Ketua Wanita Umno kerana menghadapi masalah kesihatan pada lututnya, beliau menganggap perkara itu sebagai 'sampah'.


"Saya masih sihat, malah lebih sihat dari anda kerana saya baru sahaja jalani pembedahan...minggu depan saya nak main golf," katanya sambil menyifatkan perkara berkenaan hanya sebagai cerita rekaan.


Sementara itu Rafidah turut mengumumkan penubuhan lima biro dalam Wanita BN yang bertujuan memperkukuhkan parti.


Lima biro berkenaan ialah yang berkaitan dengan latihan dan kepimpinan, perpaduan, perundangan, ekonomi serta pendidikan dan modal insan.


Jelas beliau, Wanita BN sentiasa berusaha untuk meningkat prestasi parti itu terutamanya selepas pilihanraya umum Mac lalu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081202194922&sec=mstar_berita

Pendapatan negara mungkin terjejas dengan penurunan harga minyak

Rabu Disember 3, 2008

KUALA LUMPUR: Pendapatan negara mungkin akan terjejas sekiranya harga minyak dunia turun dengan mendadak berikutan krisis ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


"Sekiranya harga minyak turun mendadak, pendapatan akan terjejas kerana peratusan pendapatan dari minyak adalah tinggi," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini.


Jika pendapatan negara terjejas ia akan membawa kesan-kesan lain, kata beliau tanpa memberi perincian.


Minyak merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.


Beliau berkata ahli MT UMNO juga telah diberi taklimat muktahir mengenai keadaan ekonomi Amerika Syarikat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Najib juga merupakan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO.


Harga minyak telah jatuh ke bawah paras US$50 setong berikutan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) untuk melengahkan keputusan menurunkan kuota pengeluaran walaupun berpendapat bekalan melebihi permintaan di pasaran dunia sekarang. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203021814&sec=mstar_berita

Wednesday, December 3, 2008

ISA tidak akan dipinda atau dihapus walau ada ugutan

Rabu Disember 3, 2008

PUTRAJAYA: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetap tidak akan dipinda atau dihapuskan walaupun terdapat ugutan daripada sesetengah pihak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar. Beliau berkata akta itu sekarang digunakan dengan penuh berhemah, adil dan tidak disalahguna.


ISA hanya digunakan bila dianggap ada keperluan bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam, katanya.


"Saya menegaskan sekali lagi bahawa akta itu juga tidak digunakan untuk citarasa politik," katanya kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas yang akan keluar dari Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan tidak membuat sebarang pindaan ke atas ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Menurut Syed Hamid kini terdapat 48 tahanan ISA berbanding 75 sebelum ini dan tahanan itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa jika mendapati mereka benar-benar sudah pulih dan tidak mengancam keselamatan negara.


Terdahulu, beliau menerima kunjungan delegasi dari Singapura yang diketuai oleh Menteri Undang-undang negara itu K.Shanmugam dan dalam pertemuan itu isu ISA turut menjadi antara agenda perbincangan. "Keduadua negara tidak kesal mempunyai ISA sebagai undang-undang pencegahan kerana ia dapat mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.


Selain itu, isu berhubung kebebasan dan peranan media serta hak asasi manusia turut dibincangkan kedua-dua pemimpin berkenaan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081202215146&sec=mstar_berita

Derita ditinggal suami di Jawa Timur


MAHU PULANG...Hawa menunjukkan gambar Norlizawati yang
menderita di Jawa Timur.


GRIK: “Tolonglah bawa saya pulang, saya sudah tidak tahan tinggal di sini.”

Begitu rintihan seorang wanita rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air selepas tiga tahun berhijrah ke Jawa Timur, Indonesia kerana berkahwin dengan rakyat negara jiran itu pada 2005.

Lebih memilukan, Norlizawati Mat Nor, 26, mendakwa hanya melalui saat indah perkahwinannya dengan Sutiknor Nizam, 29, selama beberapa bulan sebelum ditinggalkan suami yang kembali ke Johor untuk bekerja sejak 28 bulan lalu.

Penderitaan wanita berasal dari Kampung Seterus di Sauk, dekat sini, diceritakan kakaknya, Hawa, 41, yang menerima panggilan daripada adiknya itu pada Ogos tahun lalu selepas terputus hubungan dengannya sejak 2005.

“Saya begitu terkejut apabila menerima panggilan Norlizawati Ogos lalu, selepas kami sekeluarga terputus hubungan dan gagal mengesannya hampir tiga tahun sejak 2005.

“Sebaik mendengar suara saya, dia menangis teresak-esak,”
katanya ketika ditemui Harian Metro di Kampung Pelang, dekat sini, semalam.

Menurutnya, hasil perkahwinan dengan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Sutiknor Nizam, dia dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang diberikan nama Musmaulidul Maulana.

“Dia merayu kepada saya untuk mencari jalan membawanya pulang ke tanah air kerana tidak tahan hidup menderita di Jawa Timur, Indonesia.

“Saya tidak sangka dia berada di Indonesia sejak menghilangkan diri pada awal 2005,”
katanya.

Menurutnya, Norlizawati yang juga anak keenam daripada sembilan beradik meninggalkan kampung pada 2002 untuk bekerja di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor sebelum menghilangkan diri dan gagal dihubungi keluarga pada 2005.

Hawa berkata, adiknya bersama anak lelakinya kini tinggal bersama mentuanya di alamat RT-004-RW004, Desa Kadungbang Teng, Kecamatan Bakung, Blitar, Jawa Timur, Indonesia.

“Suaminya juga merahsiakan tempat dia bekerja dan paling menyedihkan apabila saya tanya mengenai surat nikahnya, adik saya memberitahu dia tidak mempunyai surat nikah,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang sudi membantu menyelesaikan masalah keluarga terbabit boleh menghubungi Hawa di talian 019- 5765518.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203093944/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...