Wednesday, May 20, 2009

Bekas krew program TV dihantar ke Tg. Rambutan


AZWANIZAM terlepas hukuman gantung atas tuduhan bunuh isteri.


KUALA LUMPUR - Seorang bekas krew syarikat produksi televisyen terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam mengesahkan tertuduh tidak waras ketika membunuh isterinya tiga tahun lalu.

Mohd. Azwanizam Mat Desa, 30, yang sentiasa tersenyum sepanjang prosiding kemudian diarahkan ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta bagi menjalani rawatan setelah mendakwa sebelum dan selepas kejadian dia kerap mendengar suara ghaib mengatakan isterinya curang.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata, mahkamah berpuas hati dengan keterangan 19 saksi pendakwaan yang membuktikan tertuduh menyebabkan kematian Azmah Mohamad, 27.

Sehubungan itu, tertuduh disabitkan bersalah pada akhir kes pendakwaan dan dipanggil membela diri bagi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Namun, jelas beliau, keterangan bersumpah tertuduh menunjukkan sebelum dan ketika kejadian berlaku, dia kerap menghadapi ilusi dan mendengar suara-suara yang membisikkan perkara-perkara jahat ke dalam telinganya.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemerhatian selama dua bulan di bawah jagaan Dr. Rabiah Mohd. Salleh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Gas bocor: Guru, murid sesak nafas


Anggota bomba melakukan pembersihan dan membaiki sistem saluran paip gas yang bocor di Bukit Kemuning, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seramai 20 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Emrald, Bukit Kemuning di sini pengsan akibat sesak nafas ekoran Stesen Pengagihan Gas yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah itu bocor semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, murid yang pengsan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Poliklinik Komuniti Shah Alam.

Selain murid yang pengsan, 50 lagi murid sekolah itu bersama tiga guru turut dihantar mendapat rawatan di hospital selepas mereka mengadu sesak nafas teruk, pening, muntah dan sakit tekak.

Bagaimanapun, kesemua murid dan guru itu telah dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.

Guru Besar sekolah tersebut, K. Chethraselvan berkata, semasa kejadian beliau tidak ada di sekolah kerana berkursus di Shah Alam.

"Saya yang pergi ke HTAR dan Poliklinik Komuniti terkejut melihat ramai murid sedang dirawat," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan kes pertama berlaku sejak sekolah itu dibuka dua tahun lalu.

Tambahnya, sekolah tersebut dibuka seperti biasa hari ini.

Sementara itu, seorang murid tahun dua, T. Hemalatha berkata, dia tiba-tiba rasa pening, sakit tekak dan muntah sebelum pengsan di dalam kelas setelah terhidu bau gas yang terlalu busuk.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Pelesit rempit boleh dibuang


KERATAN muka depan Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran memberi lampu hijau kepada mana-mana sekolah untuk membuang pelajar mereka yang didapati terbabit dalam masalah disiplin seperti gejala pelesit rempit.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, tindakan itu boleh dilaksanakan sekiranya Jawatankuasa Tertib Disiplin sekolah bermesyuarat dan sebulat suara bersetuju dengan hukuman itu.

Ekoran itu, beliau menggesa semua Pengarah Pelajaran negeri supaya memberi perhatian serius terhadap usaha membendung gejala sosial yang kian membimbangkan itu.

"Kita pandang serius hal ini dan untuk mengatasinya, kita ada lima peraturan khusus dalam menghukum pelajar-pelajar yang bermasalah.

"Yang pertama kita bagi amaran lisan kemudian amaran bertulis. Ini disusuli dengan hukuman rotan, gantung sekolah dan jika terlalu kronik, sekolah boleh jalani hukuman buang sekolah setelah mengadakan beberapa rundingan," katanya.

Alimuddin mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam berhubung perlakuan kira-kira 30 pelajar lelaki yang ponteng sekolah dan berkeliaran dengan menunggang motosikal ala pelesit rempit di kawasan perumahan Permatang Badak dan Bukit Rangin di Kuantan.

Sambil menganggap para pelajar yang terlibat dalam gejala tidak sihat itu sebagai musuh negara kerana turut mengancam keselamatan awam, beliau berkata, hukuman rotan juga boleh dilaksanakan terhadap pelajar berkenaan jika perlu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Ikan keli kena sijil halal


KERATAN Kosmo! 18 Mei 2009.



KERATAN Kosmo! semalam.


PETALING JAYA - Pengusaha ternakan ikan keli di negara ini perlu mempunyai sijil halal yang sah kerana mereka juga bertindak sebagai pembekal yang memasarkan produk itu kepada pihak lain seperti peruncit.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, walaupun permohonan sijil halal di kalangan penternak ikan tidak diwajibkan namun sebagai pembekal, mereka seharusnya bertanggungjawab mendapatkan sijil berkenaan.

"Sebagai pembekal, mereka mesti ingat kalau mereka tak ada sijil halal, tidak boleh bekalkan sesuatu barang itu kepada para peruncit yang menyediakan bahan-bahan halal," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai 10 kolam ternakan ikan keli di Ipoh yang didakwa penduduk dicemari dengan air sisa kumbahan dari ladang ternakan babi berhampiran.

Jamil bagaimanapun memberitahu, pihaknya bersedia untuk melakukan siasatan di tapak 10 kolam ternakan ikan keli tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

41 pelatih Akademi JPJ keluar hospital


PELATIH Akademi JPJ (dari kiri) Zulkefli, Mohamad Farid dan Mohamad Harris gembira ketika diiringi petugas kesihatan keluar dari Hospital Besar Melaka semalam.


MELAKA - Negeri ini diisytihar bebas daripada jangkitan bakteria meningitis setelah kesemua 41 pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini yang dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Melaka (HM) baru-baru ini dibenarkan keluar semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol berkata, tiga pelatih itu ialah Mohamad Farid Khamis, 22, Mohamad Harris Abu Jazid, 27, dan Zulkefli Din, 22, menjadi kumpulan terakhir yang dibenarkan keluar semalam.

"Tiada lagi pelatih yang dirawat akibat jangkitan bakteria meningitis sejak 4 Mei lalu dan Melaka isytihar bebas daripada jangkitan ini," katanya pada sidang akhbar di Hospital Melaka semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman.

Jangkitan bakteria itu mula dikesan melanda negeri ini pada 4 Mei lalu selepas kematian seorang pelatih akademi berkenaan, Mohd. Hafiz Zainuddin, 24, yang berasal dari Kelantan manakala tiga pelatih dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, HM.

Sebanyak 85 orang daripada kira-kira 300 pelatih akademi berkenaan juga terpaksa dikuarantin dan dipantau oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan.

Serentak dengan itu, Norpipah berkata, pihak pengurusan Akademi JPJ telah menarik balik tempoh kuarantin ke atas kesemua 85 pelatih terbabit.

Tuesday, May 19, 2009

MCA tak restu pertemuan Chua-Husam

May 19, 09 3:13pm
MCA tidak memberi kebenaran atau restu kepada timbalan presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mengadakan perbincangan dengan naib presiden PAS, Datuk Husam Musa mengenai krisis politik di Perak, kata presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

chua soi lek mca pc 171108 05Pucuk pimpinan parti hanya diberitahu mengenai perbincangan itu oleh Chua semalam, katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini ketika diminta mengulas mengenai perkara itu yang tersiar dalam blog Chua semalam.

Selain isu Perak, Chua yang disertai anaknya yang merupakan ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, telah membincangkan isu-isu politik secara am dan mereka bersetuju bahawa kini terdapat amalan politiking yang keterlaluan di negara ini, lapor Bernama.

Sementara itu, di Petaling Jaya, wartawan Malaysiakini, Abdul Rahim Sabri melaporkan bahawa Chua memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau bertemu Husam atas kapasiti peribadi.

Dalam pertemuan tersebut, katanya, beliau memberitahu Husam bahawa selaras dengan amalan demokrasi, apabila mahkamah membuat keputusan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah, maka beliau (Nizar) seharunya memanggil sidang DUN tergempar.

"Kalau dapat sokongan majoriti, kita ucaphkan tahniah kepadanya," tegas Chua.

Bagaimanapun, katanya, jika Nizar gagal mendapat sokongan majoriti DUN, maka beliau (Nizar) perlu memilih satu daripada dua pilihah:

Pertama, menghadap Sultan Perak dan nyatakan bahawa beliau (Nizar) tidak mendapat sokongan majoriti, dan menyerahkan kuasa kepada pihak yang mendapat sokongan majoriti di DUN Perak; atau 

Kedua, jika Nizar tidak mahu berbuat demikian, maka beliau harus menyatakan kepada baginda bahawa beliau tidak mendapat sokongan majoriti dan menasihatkan baginda supaya membubarkan DUN.

Dalam pertemuan itu juga, Chua berkata, Husam memberi gambaran seolah-olah BN telah merampas kuasa dahulu di Perak.

Bagaimanapun, katanya, beliau memberitahu husam bahawa tanggapan tersebut adalah tidak adil.

Sementara itu, katanya, kedua-dua pihak telah diharuskan oleh perdana menteri untuk duduk semeja berbincang dan mencari jalan untuk menyelesaikan krisis politik itu demi kepentingan rakyat.

http://www1.malaysiakini.com/news/104623

Chua-Husam bincang 'isu sensitif'

May 18, 09 7:13pm
Pertemuan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, asalnya bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian kemelut politik di Perak. 

Bagaimanapun kenyataan bekas menteri kesihatan itu boleh menimbulkan spekulasi baru apabila menyatakan terdapat "isu-isu sensitif" yang mereka bincangkan dan "tidak boleh dilaporkan." 

Bekas ahli parlimen Labis itu menjelaskan, mereka berdua juga membincangkan isu-isu politik negara, selain krisis rampasan kuasa BN di negeri tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, pihak MCA turut diwakili oleh anaknya dan ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong dan juga ahli jawatankuasa pusat parti itu Loh Seng Kok. 

Dr Chua menjadi perhatian nasional akhir-akhir ini apabila muncul spekulasi beliau akan melompat kepada Pakatan Rakyat selepas didakwa telah dipinggirkan dalam partinya sendiri.

Selepas pertemuan mereka hari ini, Husam gagal dihubungi untuk penjelasan lanjut. 

Dalam kenyataannya, Dr Chua juga berkata orang ramai kini muak dengan permainan politik berlebihan antara BN dan Pakatan Rakyat, selain krisis berlarutan di Perak sejak Februari lalu.

Pertemuan dua pemimpin itu diusahakan oleh Husam dalam rangka PAS mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin BN. 

Sabtu lalu, beliau mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pertemuan PAS-MCA itu, Dr Chua berkata beliau menyatakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, jika disahkan sebagai menteri besar Perak, wajar mengadakan sidang tergempar DUN bagi menguji sokongan yang diperolehinya.

Tambahnya, jika gagal mendapat sokongan, beliau wajar meletakkan jawatan dan membenarkan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengambil alih kerajaan.

Atau, tambah Dr Chua, Mohammad Nizar membubarkan DUN dengan keizinan Sultan Perak. 

"Bagaimanapun, saya juga menjelaskan bahawa sama ada Pakatan Rakyat atau BN berjaya, mereka tidak akan boleh membentuk kerajaan yang stabil," katanya lagi. 

"Kami setuju bahawa terlalu banyak permainan politik buat masa sekarang. Rakyat sudah meluat pada ahli-ahli politik."

http://www1.malaysiakini.com/news/104582

BN lantik Chua ketua penyelaras rampas negeri Pakatan

Jimadie Shah Othman | May 18, 09 7:23pm
Dewan Tertinggi BN hari ini melantik Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai ketua penyelaras BN bagi merampas semula negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat.

Ketika mengumumkan perkara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia merupakan jawatan baru yang diperkenalkan 'untuk memfokus terhadap negeri-negeri yang bukan diperintah oleh BN.

Najib juga mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai setiausaha agung BN.

Beliau memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tersebut di ibunegara hari ini, yang memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti 31 Mei depan.

Mesyuarat hari ini juga memutuskan pelantikan pengerusi BN di peringkat negeri-negeri. 

Kecuali Pulau Pinang, kesemua pengerusi Umno negeri dilantik sebagai pengerusi BN negeri.

Manakala di Pulau Pinang yang diperintah oleh Pakatan, jawatan tersebut disandang oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga kekal menyandang jawatan pengerusi BN negeri tersebut.

Najib juga mengumumkan penubuhan Puteri BN dan setiap parti komponen akan mengambil tindakan susulan untuk menjayakannya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau pernah dua kali mencadangkan Chua dilantik memegang jawatan tersebut.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa pelantikan itu bertujuan untuk meredakan rasa tidak puashati Chua yang dilihat dipinggirkan oleh pucuk pimpinan parti.

Sebaliknya, Ong menyifatkan tanggapan bahawa Chua dipinggirkan sebagai satu spekulasi semata-mata.

Reaksi Kayveas

Sementara itu, Pengerusi PPP, Datuk M Kayveas ketika ditemui selepas mesyuarat berkata, T Murugiah bukan lagi ahli parti itu selepas dipecat hujung minggu lalu.

"Sebelum rayuannya diterima, beliau bukanlah ahli parti (PPP)," katanya.

Oleh itu, Kayveas berkata, timbalan menteri tidak layak membuat sebarang kenyataan berhubung parti berkenaan.

Mengenai rancangan Murugiah untuk mengumpul tandatangan bantahan terhadap pemecatannya dan enam orang lagi, Kayveas menyifatkannya sebagai satu 'politik murahan'.

"Saya pun boleh kumpul tandatangan seperti itu. Tetapi saya tak mahu buat," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/104583

Amaran Hindraf: Batalkan arahan atau 'perang'

Athi Veeranggan | May 18, 09 6:32pm
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy memberi kata dua kepada kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarik balik arahan terhadap abangnya yang juga pemimpin Hindraf, P Uthayakumar untuk bertemu dengan lembaga penasihat ISA atau bersiap sedia untuk berdepan sekali lagi dengan protes jalanan di seluruh negara.

waythamoorthy and uthayakumar hindrafWaythamoorthy yang tinggal di London berkata arahan ke atas Uthayakumar selepas beliau dibebaskan tanpa syarat dari Kem Tahanan Kamunting, adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya segera menarik balik arahan tersebut, dan jika tidak, pergerakan itu akan mengisytiharkan 'perang' terhadap kerajaan Najib.

Menurutnya, tindakan lembaga penasihat ISA itu melampaui Perlembagaan Persekutuan dan "satu ugutan untuk menahan semula Uthayakumar".

Waythamoorthy kini sedang menziarahi tempat-tempat suci di India sebagai memenui niatnya ekoran pembebasan abangnya daripada tahanan di bawah ISA.

http://www1.malaysiakini.com/news/104577

H1N1: Penutup muka, herba naik harga

May 18, 09 1:57pm
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengawal harga penutup muka dan juga herba Cina yang naik mendadak susulan kebimbangan wabak influenza A (H1N1). 

Timbalan menterinya Datuk Tan Lian Hoe kedua-dua barangan itu  penting untuk menghadapi wabak selesema tersebut dan menggesa peniaga agar tidak mengambil kesempatan.

"Kementerian akan memantau harga penutup muka, dan herba Cina kerana barangan itu penting dan sering digunakan orang ramai bagi mendepani wabak H1N1," katanya dalam satu kenyataan.

Tan, juga naib presiden Gerakan, berkata kenaikan dua produk tersebut akan menyusahkan pengguna. 

"JIka pengeluar herba Cina atau penutup muka dari luar negara ingin menaikkan harga, pengedar tempatan atau pengimport haruslah mencari dari pembekal-pembekal lain," katanya lagi.

http://www1.malaysiakini.com/news/104538

‘Tak sangka dia kejam’

Oleh Azahar Hashim 
am@hmetro.com.my


KULIM:  “Saya tidak sangka dia sanggup melakukan tindakan kejam terhadap adik saya kerana saya mengenali lelaki itu kerana pernah berjumpa dengannya beberapa kali ketika dia menemui adik saya di rumah,” kata Muhammad Fairus Ishak, 25.


Dia abang Nurbahirah, 22, bekas pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, yang maut akibat ditikam bertubi-tubi dipercayai bekas kekasihnya di rumahnya di Taman Perak, di sini kelmarin.

Menurutnya, walaupun dia mengenali suspek, namun mereka tidak begitu mesra kerana jarang berbual cuma sesekali bertemu ketika dia datang menemui adiknya di rumah.

Katanya, daripada segi fizikal, dia nampak lelaki mempunyai peribadi baik kerana berkawan dengan adiknya sejak begitu lama.

Bagaimanapun, dia pernah menasihati adiknya berhati-hati ketika menjalin hubungan dengan lelaki terbabit kerana berasa tidak sedap hati terutama selepas mengetahui status lelaki berkenaan.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana pada Khamis lalu adik saya baru saja menghadiri temu duga sebagai Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di Alor Star.

“Dia harapan kami sekeluarga kerana mempunyai pendidikan lebih tinggi.

“Lebih menyedihkan adik saya itu seorang yang periang dan mudah mesra dengan orang serta adik beradik yang lain,”
katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Muhammad Fairus berkata, adiknya itu tidak pernah menceritakan masalahnya kepadanya atau pun ibu tiri mereka kerana mungkin dia tidak mahu menyusahkan orang lain. 

Muhammad Fairus berkata, keluarganya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap kejadian berkenaan sebagai takdir yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

Jenazah arwah Nurbahirah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelang Lama, di sini kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata keadaan suspek semakin pulih tetapi masih lagi dirawat di Hospital Kulim (HK).

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam sehingga 24 Mei ini untuk siasatan lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan kes seorang gadis menemui ajal akibat ditikam bertubi-tubi sejurus selepas mengungkapkan hasrat ingin memutuskan hubungan cinta dengan seorang duda dikenali sejak kecil kerana mahu bertunang dengan lelaki pilihan hatinya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090519071252/Article/index_html

4 jam tunggu ambulans

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang ibu kecewa apabila anak perempuannya yang demam panas tidak diberikan sebarang rawatan awal biar pun dikenakan tindakan kuarantin kerana disyaki menghidap penyakit Influenza A (H1N1) sebaik tiba di Lapangan Terbang LCCT, Sepang dari United Kingdom, Rabu lalu.

Lebih menyedihkan apabila ibu itu mendakwa dia terpaksa menyaksikan pegawai perubatan yang ditugaskan di LCCT tidak memberikan rawatan kepada anaknya yang menghidap demam panas sebaliknya mereka berehat tanpa mempedulikan keadaan anaknya itu.

Ibu terbabit turut mendakwa terpaksa menunggu selama lebih empat jam di lapangan terbang berkenaan sementara menunggu ambulans yang akan membawa mereka ke Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini untuk rawatan.

Mangsa, Nor Syahirah Omar, 30-an, berkata dia yang baru tiba di lapangan terbang berkenaan kira-kira jam 4.20 pagi terus ditahan petugas kesihatan kerana mengesyaki anaknya itu menghidap H1N1.

“Disebabkan itu, kami berdua dikuarantin bersama beberapa lagi individu yang turut disyaki menghidapi virus berkenaan di kawasan menunggu sebelum beberapa petugas mendakwa akan membawa kami ke HSB.

“Ketika itu, hanya Tuhan saja tahu perasaan seorang ibu apabila anaknya disyaki menghidap virus berbahaya itu. Saya tidak putus-putus berdoa supaya anak saya segera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya menerusi e-mail yang dikirimkan kepada Harian Metro, semalam.

Menurut Nor Syahirah, selepas empat jam menunggu di bilik yang dikhaskan tanpa sebarang rawatan awal, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada pegawai bertugas.

“Cukup mengejutkan apabila saya melihat beberapa petugas beristirahat sambil membaca surat khabar seolah-olah tiada perkara buruk berlaku di sebuah bilik khas yang lengkap berhawa dingin.

“Disebabkan itu, saya mempersoalkan tindakan mereka menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum saya ditenangkan pegawai berkenaan,”
katanya.

Nor Syahirah berkata, sebaik ditenangkan dia cuba mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tindakan mereka yang menahan dia dan anaknya itu lebih empat jam tanpa memberikan rawatan awal. 

“Seorang daripada pegawai bertugas mendakwa mereka hanya membuka pusat kuarantin di lapangan terbang berkenaan sebaliknya rawatan lanjut akan diberikan di HSB.

“Saya terkejut dengan dakwaan itu dan mempersoalkan mengapa mereka tidak membawa saya dan anak ke hospital berkenaan dengan segera sebelum mereka mendakwa hanya dua buah ambulans dari Hospital Putrajaya dan Serdang.

“Terduduk saya dibuatnya sebaik terdengar alasan ‘bodoh’ seumpama itu sambil mengenangkan nasib yang bakal menimpa anak perempuan saya itu,” katanya.

Difahamkan, mangsa kemudian dibawa ke HSB sebelum diberikan rawatan susulan namun dibenarkan pulang selepas didapati negatif daripada menghidapi penyakit berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Surveilliance / Kesihatan Awam, Dr Zainuddin Wahab, memohon maaf atas kelewatan ambulans disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Kami sedang mempertimbangkan untuk menambahkan ambulans sekiranya jumlah penumpang penerbangan luar negara yang disyaki menghidapi penyakit terbabit bertambah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090519071515/Article/index_html

86 diminta tampil

Oleh Kamarulzaman Pid 
amar@hmetro.com.my 

Pengurusan Demam Hospital Kuala Lumpur, semalam." title="PERIKSA...orang ramai melakukan pemeriksaan di bilik Pusat
Pengurusan Demam Hospital Kuala Lumpur, semalam." height="181" width="300" border="0">
PERIKSA...orang ramai melakukan pemeriksaan di bilik Pusat 
Pengurusan Demam Hospital Kuala Lumpur, semalam.

PUTRAJAYA: Seramai 86 penumpang daripada dua penerbangan yang turut membawa dua pelajar disahkan menghidap Influenza A (H1N1), berdepan risiko dijangkiti virus itu dan usaha mengesan mereka giat dilakukan Kementerian Kesihatan bagi tujuan kuarantin.

Ini berikutan, sejak kes pertama disahkan di negara ini Khamis lalu, sebahagian daripada penumpang terbabit diperiksa dan dikuarantin.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Ramlee Rahmat, berkata jika tiada kes terbaru dikesan, negara boleh diisytihar bebas daripada wabak itu Rabu ini.

“Ini kerana tempoh penularan virus H1N1 adalah tujuh hari selepas kes pertama Influenza A dikesan di Malaysia pada 13 Mei lalu.

“Jika selepas 20 Mei ini (esok), tiada kes baru dilaporkan, maka kita boleh katakan Malaysia bebas daripada pemindahan virus H1N1, tetapi kita tidak boleh kata bebas sepenuhnya kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dr Ramlee berkata, daripada 86 penumpang itu, 17 adalah penumpang pesawat MAS MH091 dari Newark, Amerika Syarikat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mendarat pada pagi 13 Mei lalu, bersama mangsa pertama dan kedua virus H1N1.

“Baki 69 penumpang lagi menaiki pesawat AirAsia AK5358 dari Sepang ke Pulau Pinang pada hari yang sama yang turut dinaiki mangsa kedua.

“Kita meminta mereka terbabit segera menghubungi talian terus 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk pemantauan,”
katanya. 

Mengulas lanjut, Dr Ramlee berkata, seramai 111 individu sudah diasing untuk tujuan notifikasi dan pemeriksaan di seluruh negara.

“Bagaimanapun, sehingga pagi semalam (kelmarin) jumlah individu disahkan postitif H1N1 masih kekal kepada dua kes,” katanya.

Beliau berkata, tiga penumpang pesawat MH091 yang dinaiki rakyat Malaysia pertama dijangkiti Influenza A adalah antara 109 kes yang disahkan bebas daripada H1N1.

“Mangsa pertama yang kini berada di Hospital Sungai Buloh berada dalam keadaan stabil, tidak batuk dan sakit tekak serta dilaporkan hanya mengalami demam sedikit.

“Ujian X-Ray dada menunjukkan beliau dalam keadaan normal, manakala keluarganya di rumah juga sihat.

“Mangsa kedua kini berada di Hospital Pulau Pinang tidak lagi demam dan sedang menerima rawatan,”
katanya.

Sehingga jam 8 pagi semalam, katanya, seramai 6,617 individu disaring termasuk 4,745 atau 71.7 peratus melalui pintu jalan udara, 1,574 individu (23.8 peratus) yang tiba menerusi pintu darat dan 298 yang tiba menerusi pintu pelabuhan (4.5 peratus).

“Daripada sembilan kes yang disyaki semalam (kelmarin), empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Kita juga merujuk seorang penumpang yang tiba di KLIA ke Hospital Sungai Buloh kerana mempunyai tanda-tanda jangkitan virus H1N1. Bagaimanapun, hasil ujian dan pemeriksaan mendapati beliau bebas daripada Influenza A,”
katanya.

Satu lagi mati akibat leptospirosis

BUKIT MERTAJAM: Satu lagi kematian akibat penyakit leptospirosis dilaporkan kelmarin, menjadi dua kes pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan bedah siasat punca kematian itu.

“Kematian itu adalah daripada 23 kes yang dirawat di dua hospital kelmarin,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, seramai 12 lagi pendatang tanpa izin yang ditahan di Depoh Tahanan Juru dekat sini, dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) selepas dikesan mengalami simptom penyakit leptospirosis.

Seramai 10 pendatang dihantar ke HBM kira-kira jam 6 petang kelmarin manakala dua lagi dimasukkan ke hospital sama kira-kira jam 2.30 petang semalam. Setakat ini, jumlah pendatang yang menerima rawatan meningkat kepada 35 orang sejak 7 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 12 pendatang terbaru yang baru dimasukkan ke HBM, sembilan adalah warga Bangladesh manakala tiga lagi warga Myanmar.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abd Rahman Harun, berkata 12 pendatang terbabit dihantar ke hospital selepas mengadu demam dan mempunyai simptom penyakit leptospirosis.

Lelong kereta klon

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my

CRV 'kembar' yang diperiksa anggota JPJ." title="PERIKSA...Nadzri (kanan) melihat dua kereta Honda
CRV 'kembar' yang diperiksa anggota JPJ." height="186" width="300" border="0">
PERIKSA...Nadzri (kanan) melihat dua kereta Honda 
CRV 'kembar' yang diperiksa anggota JPJ.

KUALA LUMPUR: Dua kereta Honda CRV dikesan memiliki nombor plat dan casis sama tetapi sebuah kereta klon.

Kewujudan ‘kereta kembar’ itu hanya disedari seorang daripada pemilik sebenar kereta berkenaan ketika hadir pada satu lelongan kereta import di ibu kota baru-baru ini.

Lelaki terbabit dikatakan terkejut mendapati plat kenderaan akan dilelong itu sama plat kenderaannya.

Dia membuat pemeriksaan pada casis dan didapati sama casis kenderaannya sebelum melaporkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berikutan itu, JPJ menyita kenderaan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Mohd Nadzri Osman berkata pihaknya melalui Unit Siasatan Kenderaan (USK) biasanya akan melakukan beberapa prosedur pemeriksaan bagi membuktikan ketulenan mana satu kereta sah.

“Proses pemeriksaan menggunakan sejenis cecair kimia bagi melunturkan plat besi mencatatkan nombor casis kenderaan bagi mengesan sama ada nombor berkenaan cuba dipadamkan atau ‘diganggu’.

“Sebaik diperiksa menggunakan bahan itu, anggota mampu mengenal pasti kenderaan sah dan sebaliknya,” katanya.

Katanya, biasanya kereta klon ini dijual pada harga murah selain nombor casisnya ditiru serta memalsukan dokumen kereta sebenar bagi urusan jual beli.

“Pihaknya turut tidak menolak kemungkinan kenderaan klon berkenaan bakal digunakan bagi tujuan jenayah sekali gus memberi masalah kepada pengguna kereta asal,” katanya.

Justeru, Nadzri menggesa pengguna kenderaan bermotor negara ini supaya lebih berwaspada ketika melakukan urusan jual beli kenderaan dan tidak mudah terpedaya tawaran istimewa ditawarkan.

“Sekiranya harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga pasaran biasa, berkemungkinan perkara seumpama ini berlaku dan jika ingin mendapatkan kepastian, setiap kenderaan yang mencurigakan perlu dilaporkan sebelum dibawa ke USK JPJ bagi tujuan pemeriksaan,” katanya.

Wanita tanggung hutang kad kredit dicuri rakan

kad kreditnya yang disyaki digunakan suspek." title="TERANIAYA...Yap menunjukkan laporan polis serta penyata
kad kreditnya yang disyaki digunakan suspek." height="398" width="300" border="0">
TERANIAYA...Yap menunjukkan laporan polis serta penyata 
kad kreditnya yang disyaki digunakan suspek.

KUALA LUMPUR: Seorang Eksekutif Pengurusan Sumber Manusia terpaksa menanggung hutang ribuan ringgit dengan sebuah bank tempatan selepas kad kredit miliknya lesap dipercayai dicuri rakan sekerjanya akhir Mac lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yap, 24, mendakwa kehilangan kad itu disedarinya selepas pihak bank menghubunginya bagi membuat pengesahan terhadap 12 transaksi bernilai RM 4,213.85 pada 29 Mac lalu.

“Sehari selepas itu, pihak bank menghubungi saya dan membuat pengesahan bagi semua transaksi dilakukan di tiga pusat membeli-belah di sekitar ibu negara.

“Namun saya menafikan dan selepas diperiksa, saya dapati kad kredit di dalam dompet saya hilang,’’
katanya ketika ditemui di Wisma MCA semalam.

Dia yang panik dengan situasi itu meminta pihak bank supaya membatalkan semua transaksi terbabit.

Bagaimanapun, pihak bank memaklumkan bahawa empat transaksi yang dibuat sudah diluluskan dan akan membuat pembatalan untuk lapan lagi baki transaksi selepas mangsa membuat laporan polis.

“Saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya dan menghantar salinan itu melalui faks kepada bank terbabit dengan harapan transaksi itu dibatalkan.

“Bagaimanapun saya terkejut apabila menerima penyata transaksi pihak bank tidak membatalkan sebaliknya meminta pembayaran dibuat berhubung transaksi terbabit,”
katanya yang kecewa kerana pihak bank sepatutnya menghubunginya pada hari transaksi itu dilakukan dan bukan keesokan harinya.

Walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menjejak suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup, usaha buntu kerana pihak bank tidak mempercayai kejadian itu.

“Daripada rakaman itu, suspek iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 20-an menggunakan wanita berlainan setiap kali membuat pembelian,” katanya.

Mangsa kemudian membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090519072151/Article/index_html

20 kali pindah

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahru@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penangan suami ‘psiko’ yang tidak gentar menghadapi undang-undang menjadi mimpi ngeri kepada seorang isteri hingga hidup tidak keruan apabila terpaksa menjadi pelarian dengan berpindah lebih 20 kali sejak dua tahun lalu bagi menyelamatkan diri.

Wanita berusia 50-an itu menyembunyikan diri bersama empat anak selepas lelaki terbabit mengugut memburunya hingga ke lubang cacing.

Malah, suami yang dipercayai terpengaruh ilmu hitam itu pernah mengejarnya dengan pisau berikutan menuduh isterinya cuba bermain kayu tiga walaupun dakwaan itu tidak benar.

Wanita yang mahu dikenali Saadiah itu turut mendakwa cedera akibat dibelasah sebelum dia membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan.

Bagi menjauhkan diri daripada lelaki terbabit, dia memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah syariah sejak lebih enam tahun lalu, namun menemui jalan buntu apabila tiada penyelesaian diputuskan pihak berkenaan.

Walaupun kes itu dibicarakan di mahkamah, suaminya tetap mahu isterinya itu sujud di kakinya dan kembali ke rumah tanpa sebarang alasan.

Menurut Saadiah, dia terpaksa berpindah lebih 20 kali bagi melarikan diri daripada suami yang mencarinya tanpa henti.

Dia berkata, suaminya tidak mempedulikan undang-undang walaupun proses mahkamah sedang berjalan dan laporan polis dibuat.

“Saya tak sanggup lagi pulang ke rumah dan menyerahkan kepada mahkamah segera membuat keputusan bagi mengelak kehidupan ngeri yang terpaksa dihadapi.

“Saya hidup dalam ketakutan apabila dikejar suami dengan pisau selain dibelasah hingga cedera,”
katanya.

Dia sudah membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh yang dilakukan suami bagi menjaga keselamatan diri dan anak.

Walaupun mempunyai pelbagai bukti tindakan ganas suami serta laporan polis, kata Saadiah, mahkamah masih tidak dapat memberikan keputusan, malah semakin banyak penangguhan perbicaraan dilakukan.

“Saya berusaha supaya kes dipercepatkan dengan mematuhi tarikh ditetapkan, tetapi masalah timbul apabila pihak suami sering ‘mengganggu’ bagi memastikan kes berkenaan berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya.

Dia pernah meminta mahkamah mempertimbangkan pertukaran taklik yang dibuat ketika berkahwin dulu selepas suami tidak lagi melaksanakan tanggungjawab sepatutnya.

“Lebih mengejutkan, saya perlu mencari dua saksi akad nikah bagi membolehkan permohonan itu diteruskan.

“Mana saya hendak cari saksi terbabit kerana perkahwinan sudah lama. Saya pun tidak tahu sama ada saksi terbabit masih hidup atau mati,”
katanya.

Kini, Saadiah berkata, dia bingung akibat tekanan suami menyebabkan tidak dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.

Tanpa berselindung, Saadiah mengakui perkahwinannya sudah tidak boleh diselamatkan dan nekad untuk membina hidup baru bersama anak yang turut terasa bahang apabila diburu bapa mereka.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana anak masih memberikan sokongan kepadanya dengan tidak menerima tindakan dilakukan bapa terhadap ibu mereka.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20090519064926/Article

Ucapan Obama diganggu penunjuk perasaan


SEORANG penunjuk perasaan diusir keluar oleh beberapa anggota polis kerana tidak bersetuju dengan ucapan Obama di Universiti Notre Dame, Indiana.



OBAMA


WASHINGTON - Sebanyak 27 penunjuk perasaan ditangkap manakala beberapa lagi mencelah ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Universiti Notre Dame, Indiana, lapor sebuah akhbar semalam.

Kekecohan itu berlaku kerana Obama menyatakan dalam ucapannya bahawa pihak yang menentang dasar pengguguran anak perlu menghentikan perbalahan.

Obama dalam ucapannya mengaku: "Tanpa mengira bagaimana kita hendak melembutkan (isu pengguguran), secara faktanya, pada satu-satu peringkat, pandangan oleh kedua-dua kem tidak dapat didamaikan."

Presiden AS itu yang menyokong hak-hak pengguguran diundang untuk berucap di universiti tersebut dan menerima ijazah kehormat.

"Saya tidak mencadangkan bahawa debat yang berlegar tentang isu pengguguran boleh atau tidak diteruskan," kata Obama kelmarin.

Ketika Obama memulakan ucapannya, terdapat beberapa penunjuk perasaan yang menjerit ke arahnya dengan meminta supaya anak tidak digugurkan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...