Tuesday, May 19, 2009

86 diminta tampil

Oleh Kamarulzaman Pid 
amar@hmetro.com.my 

Pengurusan Demam Hospital Kuala Lumpur, semalam." title="PERIKSA...orang ramai melakukan pemeriksaan di bilik Pusat
Pengurusan Demam Hospital Kuala Lumpur, semalam." height="181" width="300" border="0">
PERIKSA...orang ramai melakukan pemeriksaan di bilik Pusat 
Pengurusan Demam Hospital Kuala Lumpur, semalam.

PUTRAJAYA: Seramai 86 penumpang daripada dua penerbangan yang turut membawa dua pelajar disahkan menghidap Influenza A (H1N1), berdepan risiko dijangkiti virus itu dan usaha mengesan mereka giat dilakukan Kementerian Kesihatan bagi tujuan kuarantin.

Ini berikutan, sejak kes pertama disahkan di negara ini Khamis lalu, sebahagian daripada penumpang terbabit diperiksa dan dikuarantin.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Ramlee Rahmat, berkata jika tiada kes terbaru dikesan, negara boleh diisytihar bebas daripada wabak itu Rabu ini.

“Ini kerana tempoh penularan virus H1N1 adalah tujuh hari selepas kes pertama Influenza A dikesan di Malaysia pada 13 Mei lalu.

“Jika selepas 20 Mei ini (esok), tiada kes baru dilaporkan, maka kita boleh katakan Malaysia bebas daripada pemindahan virus H1N1, tetapi kita tidak boleh kata bebas sepenuhnya kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dr Ramlee berkata, daripada 86 penumpang itu, 17 adalah penumpang pesawat MAS MH091 dari Newark, Amerika Syarikat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mendarat pada pagi 13 Mei lalu, bersama mangsa pertama dan kedua virus H1N1.

“Baki 69 penumpang lagi menaiki pesawat AirAsia AK5358 dari Sepang ke Pulau Pinang pada hari yang sama yang turut dinaiki mangsa kedua.

“Kita meminta mereka terbabit segera menghubungi talian terus 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk pemantauan,”
katanya. 

Mengulas lanjut, Dr Ramlee berkata, seramai 111 individu sudah diasing untuk tujuan notifikasi dan pemeriksaan di seluruh negara.

“Bagaimanapun, sehingga pagi semalam (kelmarin) jumlah individu disahkan postitif H1N1 masih kekal kepada dua kes,” katanya.

Beliau berkata, tiga penumpang pesawat MH091 yang dinaiki rakyat Malaysia pertama dijangkiti Influenza A adalah antara 109 kes yang disahkan bebas daripada H1N1.

“Mangsa pertama yang kini berada di Hospital Sungai Buloh berada dalam keadaan stabil, tidak batuk dan sakit tekak serta dilaporkan hanya mengalami demam sedikit.

“Ujian X-Ray dada menunjukkan beliau dalam keadaan normal, manakala keluarganya di rumah juga sihat.

“Mangsa kedua kini berada di Hospital Pulau Pinang tidak lagi demam dan sedang menerima rawatan,”
katanya.

Sehingga jam 8 pagi semalam, katanya, seramai 6,617 individu disaring termasuk 4,745 atau 71.7 peratus melalui pintu jalan udara, 1,574 individu (23.8 peratus) yang tiba menerusi pintu darat dan 298 yang tiba menerusi pintu pelabuhan (4.5 peratus).

“Daripada sembilan kes yang disyaki semalam (kelmarin), empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Kita juga merujuk seorang penumpang yang tiba di KLIA ke Hospital Sungai Buloh kerana mempunyai tanda-tanda jangkitan virus H1N1. Bagaimanapun, hasil ujian dan pemeriksaan mendapati beliau bebas daripada Influenza A,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...