Tuesday, May 19, 2009

‘Tak sangka dia kejam’

Oleh Azahar Hashim 
am@hmetro.com.my


KULIM:  “Saya tidak sangka dia sanggup melakukan tindakan kejam terhadap adik saya kerana saya mengenali lelaki itu kerana pernah berjumpa dengannya beberapa kali ketika dia menemui adik saya di rumah,” kata Muhammad Fairus Ishak, 25.


Dia abang Nurbahirah, 22, bekas pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, yang maut akibat ditikam bertubi-tubi dipercayai bekas kekasihnya di rumahnya di Taman Perak, di sini kelmarin.

Menurutnya, walaupun dia mengenali suspek, namun mereka tidak begitu mesra kerana jarang berbual cuma sesekali bertemu ketika dia datang menemui adiknya di rumah.

Katanya, daripada segi fizikal, dia nampak lelaki mempunyai peribadi baik kerana berkawan dengan adiknya sejak begitu lama.

Bagaimanapun, dia pernah menasihati adiknya berhati-hati ketika menjalin hubungan dengan lelaki terbabit kerana berasa tidak sedap hati terutama selepas mengetahui status lelaki berkenaan.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana pada Khamis lalu adik saya baru saja menghadiri temu duga sebagai Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di Alor Star.

“Dia harapan kami sekeluarga kerana mempunyai pendidikan lebih tinggi.

“Lebih menyedihkan adik saya itu seorang yang periang dan mudah mesra dengan orang serta adik beradik yang lain,”
katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Muhammad Fairus berkata, adiknya itu tidak pernah menceritakan masalahnya kepadanya atau pun ibu tiri mereka kerana mungkin dia tidak mahu menyusahkan orang lain. 

Muhammad Fairus berkata, keluarganya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap kejadian berkenaan sebagai takdir yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

Jenazah arwah Nurbahirah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelang Lama, di sini kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata keadaan suspek semakin pulih tetapi masih lagi dirawat di Hospital Kulim (HK).

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam sehingga 24 Mei ini untuk siasatan lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan kes seorang gadis menemui ajal akibat ditikam bertubi-tubi sejurus selepas mengungkapkan hasrat ingin memutuskan hubungan cinta dengan seorang duda dikenali sejak kecil kerana mahu bertunang dengan lelaki pilihan hatinya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090519071252/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...