Sunday, November 30, 2008
80 peratus penagih arak di bangku sekolah
SUNGAI PETANI: Cukup murah. Hanya bermodalkan RM3.50, pelajar tingkatan satu hingga belia berumur 30 tahun di daerah ini boleh mendapatkan ‘stok khayal’ segera dengan membeli dan minum sebotol arak jenama Thai Song untuk ‘melayan kepala hingga rebah’ di tebing sungai atau belakang bangunan.
Lebih mengejutkan, Urusetia Menangani Gejala Sosial Kerajaan Negeri Kedah (Urusetia) menganggarkan 80 peratus remaja yang terbabit dengan penagihan arak murah itu masih di bangku sekolah tetapi sering ponteng dan tidak berminat meneruskan pelajaran, dengan sebahagian lagi sudah berhenti sekolah.
Harga arak itu cukup murah dari RM3.50 hingga RM30 sebotol dan mudah diperoleh, terutama di premis tertentu yang dimaklumi penagih arak di bandar ini, baik di gerai makan atau restoran, kedai runcit milik bukan Islam hingga ke jualan pintu belakang rumah.
Antara arak murah popular di kalangan penagih alkohol generasi baru ini ialah Thai Song (RM3.50 sebotol) bagi 50 mililiter (ml) dan mengandungi alkohol hampir 30 peratus.
Mendedahkan perkara itu, Koordinator Urusetia, Kamaruddin Kassim, berkata pihaknya berusaha menggempur golongan penagih arak murah itu dan memantau masalah berkenaan sejak awal April lalu.
Katanya, hasil pemerhatian Urusetia mengenal pasti beberapa lokasi di bandar ini dijadikan remaja Islam sebagai tapak berpesta arak, dengan 80 peratus golongan penagih arak itu dipercayai remaja yang sepatutnya masih bersekolah.
“Kami mendapati golongan yang terjebak dengan penagihan arak itu menjadikan kawasan tersorok berdekatan bandar ini untuk kegiatan mereka.
“Lokasi itu strategik kerana terletak di belakang bangunan, perkampungan setinggan, di tepi sungai dan paling utama tersorok daripada pandangan awam,” katanya yang sedih dengan apa yang menimpa anak Melayu yang semakin hanyut itu.
Menurut Kamaruddin, antara lokasi popular golongan peminum arak itu ialah tebing sungai di Sungai Petani, kawasan semak perkampungan setinggan dan sebahagian kawasan di Kampung Pulau Hawai berdekatan pusat beli-belah di Jalan Kampung Baru.
Turut menjadi lokasi mereka bahagian belakang Bangunan Ban Bee yang jarang dilalui orang ramai, termasuk tempat meletak kenderaan beberapa pusat beli-belah di bandar ini dan bangunan atau premis ditinggalkan.
“Berdasarkan soal siasat Urusetia, kebanyakan alasan diberi remaja terbabit ialah mahu melupakan masalah keluarga,” katanya yang mendedahkan remaja terbabit sanggup tidur di mana-mana saja, walaupun di tempat busuk dan kotor, semata-mata kerana mahu berpesta arak.
Ketika menjejak penagih arak murah itu, Metro Ahad sempat merakam gambar seorang remaja yang tertidur selepas dipercayai meneguk dua botol minuman mengkhayalkan itu.
Kamaruddin berkata, berdasarkan pemerhatian Urusetia, kegiatan meminum arak itu adalah sepanjang hari membabitkan kumpulan kecil remaja, bagaimanapun kumpulan itu bertambah apabila masuk 5 petang hingga awal pagi.
“Walaupun kami sering mengadakan operasi rondaan di beberapa kawasan terbabit, ia umpama ‘patah tumbuh hilang berganti’.
“Bilangan mereka yang terjebak dalam masalah ini semakin ramai berikutan limpahan kunjungan rakan mereka yang datang dari luar daerah Kuala Muda, termasuk dari Baling, Sik, Seberang Prai Utara dan Pulau Pinang, selain disertai penagih arak dari Perlis dan Perak.
“Thai Song dipercayai menjadi hidangan utama pesta arak di kalangan remaja ini berdasarkan jumlah botol ditemui. Apabila kami membuat pemantauan dan operasi baru-baru ini, didapati hampir 100 peratus remaja minum Thai Song kerana ia mudah dibeli tanpa peraturan ketat.
“Yang pasti, sama ada arak murah atau arak jenama biasa, ia tetap mengundang masalah sosial kepada komuniti setempat,” katanya.
Kamaruddin berkata, pihaknya kini giat mengadakan Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-isu Sosial (Landas) membabitkan remaja yang insaf selain petugas beberapa institusi pengajian tinggi bagi mencegah masalah itu.
“Landas adalah kayu ukur gerak kerja yang dilakukan Urusetia dan setakat ini ia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105649/Article/index_html
No comments:
Post a Comment