Sunday, November 30, 2008

Jalan utama ditutup

Oleh NAZDY HARUN


KUALA TERENGGANU: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu memaksa beberapa laluan utama di dua daerah di negeri ini ditutup kepada semua kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Farid Mahmud, berkata di Hulu Terengganu, Jalan Sungai Tong menghala ke Kuala Berang berhampiran Kampung Tengkawang, Kuala Ping, Kuala Jeneris dan Kampung Teris ditutup semalam.

Menurutnya, paras air setinggi dua meter di lokasi itu melimpah di jalan raya, manakala beberapa lokasi lain di daerah itu turut mengalami kejadian sama berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, di Setiu, Jalan Langkap menghala Pelong dan Kilometer 9, Jalan Pengkalan Merbau-Pelong juga ditutup selepas laluan berkenaan dinaiki air sedalam satu meter, manakala Jalan Gong Terap dan Jalan Telaga Papan dinaiki air sedalam 0.6 meter juga terpaksa ditutup.

“Sehubungan itu pengguna jalan raya yang mahu ke Kota Bharu dinasihat menggunakan jalan pantai dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhami Omar, berkata di daerah Marang, dua pusat pemindahan sementara mangsa banjir dibuka jam 8 pagi semalam membabitkan tujuh keluarga seramai 35 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kubu, manakala 65 orang di Sekolah Kebangsaan Marang.

Menurutnya, di Hulu Terengganu, tiga pusat pemindahan sementara dibuka membabitkan 30 mangsa di Chendering Durian Kasim, lima keluarga membabitkan 20 mangsa di pusat pemindahan Surau Tok Randuk serta 100 mangsa daripada 20 keluarga di Balai Raya Kampung Kolam.

Katanya, di Besut, 173 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara manakala di Setiu, 220 mangsa banjir dipindahkan.

Beliau berkata, peruntukan sejumlah RM700,000 disalurkan kerajaan negeri dalam bentuk keperluan asas seperti selimut dan barangan keperluan harian, selain 5,000 kit bencana yang disalurkan kerajaan pusat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105256/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...