Sunday, November 30, 2008

Rezeki tengkujuh

Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my



PENDAPATAN LUMAYAN...Nik Esah membersihkan ubi badak
di gerainya di Kampung Beris Kubor Besar sebelum dijual
dengan harga RM10 hingga RM20 selonggok.


BACHOK: Setiap kali musim tengkujuh, petani dan suri rumah dianggap paling bertuah apabila mampu memperoleh pendapatan lumayan sehingga kira-kira RM3,000 sebulan selepas pelbagai ubi dijual mendapat sambutan ramai.

Walaupun terpaksa menunggu 10 bulan bagi membolehkan ubi ditanam membesar, namun penantian itu berbaloi apabila mampu memperoleh pendapatan lumayan ketika musim tengkujuh.

Majoriti petani di sekitar daerah itu yang sebelum ini bergantung kepada penanaman tembakau dan tembikai, menarik nafas lega apabila pelbagai ubi ditanam mereka tumbuh dan membesar tanpa sebarang serangan serangga perosak.

Antara ubi yang sentiasa menjadi pilihan ramai ketika musim hujan ialah ubi badak, ubi keling, keledek, keladi dan ubi itik yang dijual antara RM10 hingga RM20 selonggok bergantung kepada saiz dan berat.

Nik Esah Long Hassan, 48, dari Kampung Beris Kubor Besar, dekat sini, berkata musim tengkujuh dianggap rezeki baginya kerana mampu mendapat wang lebih hasil jualan ubi berkenaan.

Menurutnya, hasil jualan berkenaan membolehkan dia mampu membeli beberapa barangan keperluan lain termasuk menyediakan persiapan persekolahan empat anaknya.

“Mak cik berbangga kerana dapat membantu suami kerana sebelum ini dia asyik merungut kekurangan wang untuk membeli persiapan persekolahan anak.

“Ubi itu mulai ditanam Mac lalu di tanah seluas setengah ekar sebelum dijual, kira-kira sembilan bulan kemudian,”
katanya.

Sementara itu, Ismail Razak, 60, yang juga penanam tembakau, berkata memandangkan tanaman itu tidak boleh ditanam ketika musim tengkujuh, dia memilih menanam ubi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129093042/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...