Sunday, November 30, 2008

Premis jual arak bebas


KUALA LUMPUR: “Bagaimana hendak membendung masalah (ketagih arak) jika premis menjual arak dan bir mudah didapati dan boleh dikunjungi sesiapa saja, terutama di kawasan bandar.

“Kami sudah menyarankan pihak berkuasa supaya premis menjual arak dihadkan, masalahnya ada pihak membantah,” kata Ketua Eksekutif, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya pernah menerima aduan orang ramai mengenai penjualan arak, terutama yang beralkohol tinggi, namun ia perlu penguatkuasaan lebih telus dan tegas daripada pihak berkuasa.

“Ini masalah serius, apalagi jika membabitkan pembeli Islam. Namun, semua tindakan lanjut perlu ditangani pihak berkuasa terbabit.


“Di Terengganu, masalah penjualan arak dapat dikawal kerana tidak boleh dijual secara terbuka. Tindakan tegas diambil terhadap premis yang ingkar. Ini patut dicontohi,”
katanya ketika dihubungi baru-baru ini.


Mengulas penjualan arak murah secara haram di kedai runcit, Sha’ani berkata, pekedai terbabit sepatutnya tidak berbuat demikian kerana mereka tiada permit dan lesen menjual arak.

Katanya, NCCC boleh mengusulkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan, jika ada pengguna yang mengadu dan melaporkan salah laku pemilik kedai runcit berkenaan.

“Sebab itu kami perlukan aduan orang ramai supaya dapat menyokong saranan kami terhadap pihak berkuasa.

“Bahkan, ia juga memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan, apatah lagi jika arak itu dijual secara tidak sah, iaitu tanpa permit dan lesen,”
katanya.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan membuat aduan ke NCCC di talian 03-78779000.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105706/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...