Sunday, November 30, 2008

Tak dibenar keluar bilik


Oleh HAYATI IBRAHIM

SEPANG: “Kami langsung tidak dibenarkan keluar dari bilik atau turun ke lobi hotel kerana bimbang keselamatan pelancong dan rakyat tempatan yang menghuni hotel terbabit,” kata Pervinderjeet Kaur, 31, antara pelancong Malaysia yang terselamat daripada serangan pengganas bersenjata di Mumbai, Rabu lalu.

Pervinderjeet, kakitangan syarikat konsultan antarabangsa, menginap di Hotel Taj Presiden, kira-kira 10 minit perjalanan dari Hotel Taj Mahal yang menjadi sasaran pengganas bersenjata melepaskan tembakan secara rambang menggunakan senjata automatik AK47.

Beliau yang tiba ke bandar raya itu Rabu lalu kerana menghadiri persidangan syarikat bersama dua wakil syarikat dari pejabat di Hong Kong dan New Delhi, menyifatkan insiden itu adalah kejadian terburuk pernah dilihat sepanjang hayatnya.

“Keadaan sekitar hotel sangat teruk... anggota keselamatan di mana-mana, saya tak tahu bagaimana nak jelaskan... apa yang dilihat dalam televisyen, secara amnya itu yang berlaku di sana.


“Kami juga tidak dibenarkan keluar dari bilik masing-masing,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH 0195, pada jam 7.49 pagi semalam.


Kepulangan beliau disambut suaminya, Alan Shan, 31, yang juga perunding syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Pervinderjeet berkata, beliau gembira dan lega apabila pejabat konsul memaklumkan beliau boleh kembali ke tanah air, semalam.

“Saya mendapat kerjasama baik pejabat konsul di Mumbai dan berterima kasih kepada mereka yang mengambil berat mengenai pelancong Malaysia di negara berkenaan, selain menguruskan kepulangan kami dengan segera sebelum keadaan di sana lebih teruk,” katanya yang mengaku tidak serik untuk ke luar negara walaupun menghadapi pengalaman menakutkan.

Sementara itu, Alan berkata, ketika mendengar berita mengenai insiden serangan pengganas di Mumbai, beliau panik mengenangkan isteri yang baru tiba di bandar raya berkenaan atas urusan syarikat.

“Saya terus menghubungi isteri untuk mengetahui keadaannya, saya bersyukur dia selamat... kami tidak putus hubungan, malah isteri kerap menghubungi ahli keluarga lain untuk memaklumkan keadaannya,” katanya.

Insiden berdarah serangan kumpulan pengganas bersenjata Rabu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 143 terbunuh, manakala kira-kira 315 lagi cedera di sembilan tempat, termasuk dua hotel mewah dan dua hospital di bandar raya Mumbai.

Dalam serangan bersiri itu, sekurang-kurangnya 15 tebusan turut ditahan, manakala lebih 100 lagi, termasuk seorang wanita rakyat Malaysia, dikhuatiri terperangkap dalam bilik masing-masing di Hotel Taj Mahal, hotel terkenal berusia 105 tahun.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105834/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...