Sunday, November 16, 2008

Cemas skandal melamin


SKANDAL susu formula bayi yang dicemari melamin amat memalukan China.



PEMERIKSAAN produk makanan bayi terpaksa dilakukan di pasar raya seluruh dunia termasuk di Jogyakarta, Indonesia gara-gara skandal melamin.

--------------------------------------------------------------------------------

SEORANG ibu dari Hong Kong, Shirley Lo, masih menyimpan susu soya dan coklat import di dalam peti sejuk untuk anak lelakinya selepas penemuan melamin di dalam formula bayi dan produk tenusu di China tersebar.

Tetapi apabila telur-telur dari China turut menunjukkan positif kandungan melamin, Lo mengangkat tangannya berputus asa dan berkata:

"Ia menakutkan apabila mula memasuki rantai makanan kita. Anak saya cuba menenangkan saya dengan berkata, badannya masih kuat meskipun telah dimasuki bahan itu dan dia masih sihat."

Penemuan melamin dalam telur, formula bayi, produk tenusu, biskut, coklat dan bahan makanan lain yang berasaskan susu mengesahkan apa yang telah lama disyaki oleh pakar iaitu bahan kimia itu terkandung dalam rangkaian makanan manusia.

Ia bukan hanya melamin, malah besi berat seperti plumbum dan merkuri yang boleh menyebabkan kerosakan otak, serta kadmium, sejenis kompaun yang digunakan dalam bateri, pestisid dan antibiotik juga hadir dalam rangkaian makanan manusia.

China adalah pelanggan terbesar bahan kimia karsinogen yang biasa digunakan sebagai agen pewarna makanan atau bahan awet, kata pakar.

"Keselamatan makanan tidak ditekankan di China sehinggakan bahan berbahaya ditambah ke dalam makanan sekali gus mencetuskan masalah pencemaran," kata Peter Yu, seorang profesor bidang teknologi biologi dan kimia di Universiti Politeknik Hong Kong.

"Kami juga mengalami pencemaran persekitaran yang berpunca daripada pestisid dan formaldehid (untuk membunuh bakteria) ," ujar Yu sambil memetik penggunaan malakit hijau, sebentuk agen karsinogen pada tahun 2006 ditemui dalam ikan dari China.

Bahan itu telah ditambah untuk membasmi penyakit fungus yang menyerang ikan.

Pengilang makanan terkemuka kerap menguji ramuan-ramuan yang digunakan dan produk terakhir untuk mengesan kebanyakan bahan pencemar ini, tetapi pakar-pakar berkata, mustahil untuk mengesan kesemua kompaun asing yang berada di meja makan, khasnya di China yang mana pengawalan adalah longgar dan sukar dikuatkuasakan.

Ekoran skandal melamin yang melanda, China sedang melihat semula draf undang-undang keselamatan makanan yang lebih ketat berikutan kritikan yang diterimanya daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kerana lambat menangani skandal susu tersebut.


MAKANAN ternakan yang dicemari melamin menyebabkan telur-telur yang dihasilkan turut tercemar.

--------------------------------------------------------------------------------

Saga melamin itu telah mengejutkan banyak pihak, malah sesetengah pengeluar makanan berkata, mereka sukar memantau perkembangan terbaru mengenai makanan pelik yang ditambah ke dalam produk makanan di China.

Misalnya, melamin telah ditambah ke dalam formula bayi untuk menipu ujian aras protein.

"Bagaimana kita boleh dapat mengesan kadmium atau logam berat lain? Hanya kerana kita tahu, ia boleh membunuh maka kita akan mengujinya.

"Tetapi kita tidak tahu melamin boleh berada dalam makanan,"
kata seorang pengurus yang bekerja untuk sebuah syarikat asing pengeluar makanan utama yang mempunyai kilang di China.

Tambah lelaki yang enggan dikenali ini: "Kita tidak pernah mempunyai melamin dalam spesifikasi (bahan pencemar yang harus dikesan). Sekiranya, hari ini ia adalah melamin, mungkin ia akan menjadi suatu benda lain pada hari esok.

"Kami tidak mungkin dapat menguji kesemua toksin yang ada di dunia."

Ribuan kanak-kanak di China telah jatuh sakit dengan masalah buah pinggang sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak telah menemui ajal, selepas diberikan formula bayi yang didapati mengandungi melamin.

Ujian seterusnya menemui kandungan melamin di dalam pelbagai produk buatan China, daripada susu dan bar coklat sehinggalah yogurt dan produk lain yang dieksport ke seluruh dunia.

Akibatnya, pelbagai produk terlibat telah ditarik jualannya di pasaran.

Tetapi penemuan melamin di dalam telur yang disebabkan oleh bahan makanan tercemar diberikan kepada ayam-ayam ternakan, bahan kimia itu kelihatan lebih kukuh berada dalam rantai makanan manusia daripada apa yang dianggap sebelum ini.

Melamin digunakan secara meluas dalam makanan haiwan dan pestisid di China tetapi tidak siapa tahu betapa berbahaya ia kepada manusia selepas terdedah dalam jangka masa yang lama.

Hong Kong telah mengenakan syarat penggunaan melamin pada September lalu iaitu tidak lebih daripada 2.5 miligram untuk setiap kilogram.

Di Hong Kong, ibu bapa berpusu-pusu mengunjungi klinik awam untuk menguji kandungan melamin yang berada di dalam badan anak-anak mereka oleh makmal-makmal yang menganalisis sampel air kencing dengan spektrometer yang canggih.

"Melamin bukan bahan yang larut. Tetapi sekiranya ia amat pekat seperti yang dilihat dalam kes-kes kanak-kanak di China (di mana diet mereka kebanyakannya datang daripada formula), ia akan membentuk kristal," kata Allen Chan, seorang profesor madya dalam bidang patologi kimia di Chinese University.

Kerosakan hati yang kekal boleh berlaku apabila kristal tersebut membentuk tiub-tiub kecil yang banyak di dalam ginjal kanak-kanak yang meminum susu yang dicemari melamin.


SKANDAL susu formula bayi yang dicemari melamin amat memalukan China.

--------------------------------------------------------------------------------

Ini menyebabkan kegagalan buah pinggang yang kronik dan memerlukan rawatan dialisis, selain pemindahan buah pinggang perlu dilakukan kelak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merancang untuk membuat penilaian terperinci terhadap risiko pengambilan melamin jangka panjang. Ia telah meminta China membekalkan maklumat-maklumat untuk sebuah mesyuarat pakar yang akan diadakan pada Disember ini.

Anthony Hazzard, Penasihat Rantau untuk Keselamatan Makanan WHO, berkata, pakar-pakar memerlukan maklumat mengenai aras melamin yang dikesan di dalam kanak-kanak terlibat, jangka masa pendedahan, rawatan yang diberikan dan kumpulan usia kanak-kanak yang paling teruk sakit. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...