Sunday, November 16, 2008

‘Port’ remaja diserbu


Oleh OMAR OSMAN
am@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Tilam, longgokan kain baju, lilin dan kertas akhbar yang dijadikan pengalas tidur adalah antara barangan yang ditemui ketika polis menahan lapan remaja lelaki dan empat perempuan dalam sebuah premis kosong yang menjadi ‘port’ atau tempat lepak mereka.

Mereka ditahan kira-kira jam 9 pagi semalam ketika sedang tidur di premis itu yang terletak dalam satu unit bangunan tidak diduduki berhampiran sebuah kompleks beli belah terkenal, di sini.

Sumber polis berkata, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan tidak bermoral kerana sebelum ini sering dilihat berpeleseran di sekitar bandar berkenaan.

“Namun, mereka agak licik kerana sebelum ini beberapa usaha polis dan jabatan agama untuk menahan mereka gagal kerana mereka bijak meloloskan diri,” katanya.


Menurutnya, penahanan kumpulan remaja terbabit bermula apabila polis yang membuat rondaan di tingkat lima bangunan kosong itu terserempak dengan sepasang remaja dalam keadaan mencurigakan.


“Selepas disoal siasat, pasangan remaja itu membawa polis ke sebuah premis kosong di aras yang sama. Di situ polis menemui 10 remaja lagi membabitkan tujuh lelaki dan tiga perempuan yang sedang tidur bergelimpangan di atas sekeping tilam dan kertas akhbar.

“Beberapa helai kain baju dan lilin turut ditemui di premis itu yang tidak ada bekalan elektrik. Keadaan premis itu bersepah, namun polis percaya premis itulah yang menjadi tempat tidur remaja terbabit setiap malam selepas mereka berpeleseran di sekitar bandar ini hingga lewat malam,”
katanya.

Menurutnya, sebelum ini remaja terbabit dipercayai sering menjadikan stesen bas dan belakang bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) sebagai ‘port’ mereka sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada orang ramai.

“Tetapi apabila polis dan pejabat agama membuat pemeriksaan berterusan, mereka menghilangkan diri sehinggalah kami menemui mereka di ‘port’ baru hari ini (semalam),” katanya.

Sumber itu berkata, sebahagian besar remaja yang ditahan itu berasal dari bandar ini dan kawasan sekitarnya namun ada juga yang berasal dari Perlis, Selangor dan Johor.

Menurutnya, mereka yang ditahan kemudiannya diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081115181805/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...