Monday, December 29, 2008

Ganja moden

Oleh Ridzuan Ahmad



KHAYAL..seorang penagih menghisap daun ketum bercampur
tembakau.


ALOR STAR: Segelintir penagih dadah di negeri ini mendakwa mampu menghilangkan ketagihan menggunakan campuran daun ketum dengan tembakau yang digelar ‘ganja moden’ sejak beberapa bulan lalu.

Ini berikutan lambakan daun ketum di pasaran pada harga serendah RM30 sekilogram memudahkan mereka mendapat bekalan dan mendorong penagih beralih kepada penggunaan daun itu dengan kaedah sama seperti menghisap ganja.

Difahamkan, formula baru itu tercetus selepas kesukaran mendapat bekalan ganja selain harganya terlalu tinggi menyebabkan penagih mencari alternatif menggantikan bahan larangan itu.

Campuran daun ketum dengan tembakau itu memberi kesan hampir sama dengan ganja.

Seorang penagih dadah yang mahu dikenali sebagai Jalil, 34, berkata dia mula mencuba ganja moden itu selepas diberi rakannya.

“Mulanya saya tidak percaya, tetapi selepas mencuba baru menyedari ia mampu menghilangkan ketagihan.

“Lagi banyak kuantiti daun ketum itu dicampurkan, lebih hebat kesannya. Malah, ia mampu membuatkan saya terus meninggalkan ganja dan beralih kepada ganja moden ini.

“Harga ganja yang mahal selain bekalan sukar diperoleh menyebabkan saya kini meninggalkan ganja dan menggunakan ganja moden kerana lebih menjimatkan,”
katanya.

Menurutnya, dia kini mampu menghasilkan ganja moden hasil tunjuk ajar rakan kerana proses penyediaannya hampir sama dengan ganja iaitu daun dicincang halus sebelum dijemur untuk tempoh tertentu.

Katanya, daun ketum dimasukkan dalam bungkusan atau dipek mengikut saiz tertentu bagi mengelak dimasuki angin sebelum diadun dengan tembakau peket dan digulung bersama daun rokok untuk digunakan.

Kesan pengambilan ganja moden tidak setanding ganja jika diambil dalam kuantiti sedikit, tetapi jika diambil dalam kuantiti banyak, kesannya mampu menandingi ganja.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Baharum Othman, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima maklumat mengenai kegiatan berkenaan.

Menurutnya, individu yang terbabit dalam kegiatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952 sekiranya didapati memiliki daun ketum atau air daun berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229095804/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...