Monday, December 29, 2008

`Tidak berbaloi’


Oleh Shamran Sarahan

KUALA LUMPUR: “Mahal dan tidak berbaloi.” Itu reaksi kaki wayang mengenai cadangan menaikkan harga tiket daripada RM10 kepada RM20 filem Hollywood di pawagam yang disuarakan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), baru-baru ini.

Pengarah filem tempatan mengemukakan cadangan melalui PFM kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) supaya menaikkan harga tiket filem Hollywood bagi membantu membangun dan meningkatkan jualan tiket filem tempatan.

PFM turut membangkitkan kemasukan filem Hollywood dihadkan di negara ini, sebagaimana yang dipraktikkan di negara luar seperti China yang hanya menerima 20 filem Hollywood setahun.

Kakitangan kerajaan, Ahmad Fauzan Masri, 28, tidak bersetuju cadangan itu dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal kerana membebankan peminat filem Hollywood.

“Saya menonton filem Hollywood dua hingga tiga kali sebulan. Jika harga tiket RM20 bermakna saya perlu mengeluarkan RM60, bagaimana jika saya pergi bersama pasangan atau keluarga?

“Harga tiket RM20 dicadangkan terlalu mahal. Pengarah filem tempatan tidak perlu bimbang jika filem kita bermutu orang ramai tetap menonton walaupun ada saingan daripada filem Hollywood,”
katanya.

Pegawai pemasaran, Muhamad Nurhazuan, 21, membantah kenaikan harga tiket bagi filem Hollywood tetapi bersetuju jika kemasukan filem luar dihadkan.

Penuntut kolej, Zurina Zulkifli, 19, berkata ada baiknya harga tiket dikekalkan kerana kenaikan yang dicadangkan itu belum tentu memberi kesan kepada kaki wayang.

“Tiket RM20 mahal tetapi belum tentu menghalang kaki wayang ke pawagam menonton filem Hollywood. Bagi saya filem tempatan perlu meningkatkan mutu menarik penonton,” katanya.

Pelajar, Farhan Wan Abd Aziz, 19, berkata kenaikan harga tiket akan menyebabkan orang ramai beralih kepada cakera padat video (VCD) dan digital (DVD) cetak rompak.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229095114/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...