Monday, December 29, 2008

Mati didera bapa tiri

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin



TUNGGU...ahli keluarga mangsa menunggu jenazah di rumah
mayat HSA, semalam.


JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui mati di atas katil di sebuah pangsapuri di Tampoi di sini, kelmarin, dipercayai didera dengan teruk menggunakan rotan oleh bapa tirinya.

Mayat Siwakorn Sukuntham, warga Thailand beragama Islam ditemui di bilik belakang pangsapuri berkenaan oleh sepasukan anggota polis.

Polis bergegas ke rumah keluarga mangsa di Blok A, Pangsapuri Pulai View, Taman Kobena, Tampoi, selepas mendapat maklumat orang awam kira-kira jam 3.20 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Mohd Akhir Ishak, berkata pemeriksaan awal ke atas jenazah mangsa mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi kesan kecederaan termasuk tangan, kaki dan belakang badan dipercayai akibat didera.

“Dia dipercayai dirotan berikutan terdapat banyak kesan selirat di belakang badan selain luka pada kepala.

“Mangsa dipercayai didera bapa tirinya sejak Rabu lalu dengan kali terakhir kira-kira jam 1 tengah hari semalam (kelmarin) sebelum mati kira-kira sejam kemudian,”
katanya di sini, semalam.

Susulan itu, kata Mohd Akhir, polis menahan bapa tiri mangsa, seorang warga Singapura berusia 31 tahun dan ibu mangsa berusia 32 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama ibu kandung dan adik perempuannya berusia enam bulan.

“Bapa tiri mangsa sudah diberhentikan kerja dari sebuah kilang di Singapura sejak sebulan lalu.

“Pasangan terbabit kini direman sehingga 3 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mendera hingga mati,”
katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati keluarga mangsa menunggu bedah siasat untuk menuntut jenazah.

Suasana tegang apabila seorang lelaki yang dipercayai ahli keluarga bapa tiri mangsa mempersoalkan kehadiran wartawan dan jurugambar.

Dia tidak membenarkan gambar mereka dirakam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229100158/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...