Wednesday, December 17, 2008

Insiden Bush dilempar kasut




BAGHDAD - Seorang wartawan televisyen di Iraq, Muntadar al-Zeidi ditahan selepas dia melemparkan dua kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dalam satu sidang akhbar di Baghdad kelmarin.

"Ini merupakan satu ciuman ucap selamat tinggal untuk anda, anjing," jerit wartawan itu ketika dia melemparkan salah satu kasut ke arah Bush.

Bush yang sedang mendengar jeritan itu mengelak dan tunduk di podium menyebabkan kasut tersebut terkena dinding di belakangnya.

Ketika Bush yang terkejut dengan insiden tersebut mula kembali tenang, wartawan itu melemparkan satu lagi kasut bersaiz 10 dan menjerit: "Ini adalah daripada balu-balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq."



BUSH mula sedia untuk tunduk ketika kasut dilemparkan ke arahnya.
--------------------------------------------------------------------------------


Bush sekali lagi mengelak menyebabkan kasut itu hampir mengenai bahagian kanan kepalanya ketika Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki cuba melindungi Presiden AS dengan tangan kanannya.

Kasut itu turut mengenai dinding di belakang kedua-dua pemimpin.

Anggota-anggota perkhidmatan rahsia dan ejen keselamatan Iraq mengerumuni wartawan itu yang bertugas untuk stesen televisyen Al-Baghdadia beribu pejabat di Kaherah, Mesir.

Mereka bergelut dengan wartawan itu dan mengheretnya keluar dari bilik sidang akhbar ketika dia mengerang serta menjerit.

Tompokan darah wartawan itu terdapat di karpet di bilik sidang akhbar.



BUSH tunduk di sisi Nouri (kanan) bagi mengelak kasut dilemparkan ke arahnya di Baghdad kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


Melemparkan kasut ke arah seseorang merupakan satu budaya Arab bagi menunjukkan penghinaan.

Ketika patung bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein ditumbangkan di Baghdad pada April 2003, sekumpulan orang memukul muka patung itu dengan kasut.

Tindakan wartawan itu mendapat pujian daripada sebuah akhbar di Timur Tengah manakala ribuan penduduk Iraq berhimpun di jalan raya menuntut pembebasannya.

"Melempar kasut ke arah Bush merupakan ciuman perpisahan terbaik. Ia menyuarakan bagaimana penduduk Arab membenci Bush," kata editor akhbar Al-Gahd Arabic di Jordan, Musa Barhoumeh.

Tindakan wartawan itu juga dianggap sebagai hero oleh akhbar-akhbar Arab.

Wartawan itu ditahan untuk disoal oleh pihak berkuasa Iraq bagi mengetahui sama ada terdapat mana-mana pihak yang mengupahnya untuk melemparkan kasut.

Menurut seorang pegawai Iraq, dia turut menjalani ujian dadah dan alkohol manakala kasut yang dilemparkan itu disimpan sebagai bahan bukti.



ANGGOTA-ANGGOTA keselamatan mengerumuni Muntadar selepas dia melempar kasut.
--------------------------------------------------------------------------------


Wartawan tersebut turut mengaku bahawa dia sudah merancang untuk melemparkan kasut itu beberapa bulan lalu.

Sejurus selepas insiden itu, Bush memberikan reaksi: "Jangan bimbang mengenai insiden itu."

Sebahagian wartawan dalam bilik itu riuh rendah di mana Bush diberi penerangan bahawa mereka meminta maaf berhubung isu lempar kasut.

"Jika anda mahukan fakta, (kasut) itu bersaiz 10," gurau Bush.

Insiden lempar kasut itu turut menjadi perbualan di kalangan wartawan di Kabul di mana Bush mengadakan lawatan ke Afghanistan semalam. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...