Thursday, May 7, 2009

Kes kian merebak

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penularan wabak Influenza A H1N1 terus menunjukkan angka peningkatan apabila sehingga semalam, Portugis turut melaporkan satu kes menjadikannya negara ke-21 yang mengesahkan jangkitan wabak itu sejak kali pertama dikesan di Mexico pada akhir bulan lalu.

Perkembangan terbaru itu turut menunjukkan peningkatan terhadap laporan kes daripada 21 negara terbabit apabila sehingga kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan angka yang dilaporkan terus bertambah kepada 1,124 kes, tetapi angka kematian yang dicatatkan masih kekal 26 kes.

Setakat semalam, Mexico terus kekal mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 590 orang disahkan positif H1N1 dengan 25 kematian manakala di Amerika Syarikat, bilangan kes terus meningkat kepada 286 kes dengan satu kematian.

Berdasarkan laporan WHO, hasil ujian yang dilakukan terhadap spesimen terkumpul daripada pesakit, bilangan kes di Kanada terus meningkat kepada 140 diikuti Sepanyol (54), Britain (18), Jerman (lapan), New Zealand (enam), Perancis (empat), Israel (empat), El Savador (dua), Itali (dua), manakala Austria, Hong Kong, Costa Rica, Colombia, Denmark, Ireland, Belanda, Portugis, Korea dan Switzerland, masing-masing satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata walaupun amaran dikeluarkan WHO masih kekal di Tahap 5, tanpa sebarang arahan sekatan dikeluarkan terhadap pelancong atau rakyat tempatan, pihaknya masih berterusan melakukan langkah pemantauan peringkat awal bagi mencegahnya daripada menular di negara ini.

Katanya, berdasarkan pemantauan di semua pintu masuk utama negara termasuk melalui jalan darat yang dilakukan kelmarin, pihaknya melakukan ujian penyaringan terhadap 9,340 penumpang dan semuanya bebas daripada sebarang tanda atau gejala jangkitan H1N1.

“Kita akan tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan situasi penularan wabak Influenza A daripada merebak ke negara ini walaupun WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran penularan wabak ini pada Tahap 5.

“Malah, melalui pemantauan dilakukan di semua pintu masuk negara, ujian yang dilakukan terhadap 8,749 penumpang yang menaiki 20 penerbangan dan 591 penumpang di pintu masuk darat semalam (kelmarin) juga menunjukkan mereka bebas daripada sebarang gejala H1N1 tanpa ada kes yang memerlukan rujukan hospital,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, pihaknya sedang menunggu laporan ujian tekak seorang pesakit dari Sarawak yang ditahan di Wad Isolasi Hospital Umum Sarawak malam kelmarin berikutan mempunyai tanda yang menyamai Influenza A H1N1.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan apabila menghidap batuk, demam dan selesema sebaik pulang ke Sarawak pada 1 Mei lalu selepas melawat AS.

“Kini kita sedang menantikan laporan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi mengesahkan penyakit yang dihidapinya itu sama ada ianya H1N1 atau bukan. 

“Ini kerana daripada maklumat yang kita terima, pesakit terbabit sebelum ini baru pulang selepas melawat Amerika yang sememangnya mempunyai kes di sana dan kita berharap dapat memperoleh keputusan itu secepat yang mungkin,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090506050040/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...