Thursday, June 11, 2009

2 lagi kes H1N1 dikesan

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Dua lagi kes positif Influenza A (H1N1) dikesan di negara ini membabitkan seorang pelajar perempuan warga Amerika Syarikat (AS) dan wanita warga New Zealand yang tiba di negara ini masing-masing pada 8 dan 5 Jun lalu, menjadikan keseluruhan kes yang dicatatkan setakat ini sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata semua kes yang dikesan ialah kes yang diimport dan tiada penularan tempatan, tetapi peningkatan jumlah mencetuskan kebimbangan kerajaan kerana dikhuatiri boleh mengakibatan penularan tempatan.

“Sehingga kini, tiada kes yang disebabkan penularan tempatan tapi kita khuatir, makin banyak kes yang berlaku lebih banyak risiko dan lebih banyak orang dijangkiti mungkin akan berlaku penularan tempatan.

“Jadi, saya bagi amaran kalau berlaku penularan tempatan wabak itu akan menjadi lebih sukar untuk dikawal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kejadian H1N1 Bilangan 4/2009 dan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Denggi Kebangsaan di kementeriannya di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, kes kelapan membabitkan pelajar perempuan berusia 17 tahun yang bercuti ke negara ini bersama kedua-dua ibu bapanya manakala kes kesembilan membabitkan wanita warga New Zealand berusia 52 tahun.

“Pelajar terbabit dikesan mempunyai suhu badan yang tinggi oleh alat pengimbas suhu ketika proses saringan demam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan beliau terus dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, untuk rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati pelajar terbabit sudah mengalami demam 10 hari sebelum ke Malaysia dan keadaannya dilaporkan stabil selepas menerima rawatan antiviral, manakala kedua-dua ibu bapanya dikuarantin di rumah dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara, wanita warga New Zealand yang disahkan positif H1N1 tiba di negara ini 5 Jun lalu dengan menaiki pesawat AirAsia X D7 2723 dari Melbourne, Australia, iaitu pesawat yang sama dinaiki pelajar Australia yang disahkan sebagai kes ketujuh pada 6 Jun lalu.

“Beliau yang pada mulanya dikesan sebagai kontak kes import ketujuh dikuarantinkan di hotel penginapan 7 Jun lalu dan mula mengalami demam, batuk dan sakit otot pada jam 11 malam hari yang sama.

“Berikutan itu, beliau dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Ismail berkata kementerian sedang mengesan 20 penumpang bas persiaran dan kakitangan Hotel Holiday Inn, Pulau Pinang, kerana hasil siasatan mendapati warga terbabit melancong di sekitar negeri itu dengan bas persiaran serta tinggal di hotel terbabit.

Pada masa sama, beliau juga meminta semua penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH091 dari Newark, Amerika Syarikat, yang tiba di KLIA pada 8 Jun lalu supaya menghubungi kementerian, khususnya penumpang yang duduk di barisan 15 hingga 21 dalam pesawat berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Dr Ismail berkata, kementerian akan mengetatkan proses saringan di semua pintu masuk ke negara ini termasuk mengambil sampel penumpang yang mempunyai tanda-tanda demam, batuk dan selesema, sebelum dinasihatkan mengkuarantinkan diri mereka sendiri di rumah bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

“Bagi penumpang dari negara yang termasuk dalam tiga kriteria utama iaitu mempunyai penularan tempatan, dari negara yang mempunyai kes H1N1 yang tinggi dan mempunyai radang paru-paru akan dimasukan terus ke hospital.

“Sementara penumpang yang dikesan mengalami demam tetapi tidak termasuk dalam kategori ini... kita akan mengambil sampel dan nasihatkan supaya mengelakkan diri daripada berjumpa orang ramai dalam tempoh 24 jam sehingga keputusan ujian dikeluarkan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090611072642/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...