Thursday, June 11, 2009

Harga minyak tertinggi 8 bulan

SINGAPURA 10 Jun - Harga minyak mentah dunia hari ini mencecah AS$71 (RM248.50) setong, iaitu tahap tertinggi dalam lapan bulan, berikutan kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) selain disokong harapan pemulihan ekonomi global, kata para penganalisis.

Kontrak utama di New York, minyak mentah berkualiti tinggi bagi penghantaran Julai, hari ini melonjak AS$1.09 (RM3.82) ke paras AS$71.10 (RM248.85) setong, tengah hari tadi.

Kali terakhir harga minyak mencecah AS$71 adalah pada Oktober tahun lalu apabila harga jatuh mendadak daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM513.03) setong setelah seluruh dunia dilanda krisis kewangan dan ekonomi sehingga memperlahankan permintaan tenaga.

Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Julai pula meningkat AS$0.89 (RM3.12) ke paras AS$70.51 (RM246.79).

Menurut para penganalisis, peningkatan harga itu menunjukkan kemelesetan yang melanda ekonomi AS iaitu, pengguna tenaga terbesar dunia bertambah pulih selain kelemahan dalam nilai mata wang dolar AS.

Dolar AS yang lemah menjadikan minyak mentah (yang dijual dalam dolar AS) lebih murah untuk pembeli yang memegang mata wang tersebut, sekali gus merangsangkan permintaan dan pasaran.

Dolar AS lemah berbanding yen dan euro di Asia hari ini ekoran aliran dana yang diibarat sebagai mata wang yang selamat, jatuh di sebalik peningkatan risiko, kata peniaga.

DBS Bank Singapura berkata, kelemahan dolar AS dijangka menjadi topik perbualan pada mesyuarat negara-negara perindustrian G8 di Itali, hujung minggu ini.

"Adalah menarik untuk menyaksikan bagaimana penggubal dasar G8 berdepan dengan kelemahan dolar AS," kata DBS dalam satu nota penyelidikannya.

Dijangka timbul ketidakselesaan berhubung perkara itu di sebalik peningkatan hasil bon jangka panjang di seluruh dunia dan kenaikan harga minyak, katanya lagi.

Harga minyak meningkat walaupun permintaan minyak global dijangka merosot dua peratus kepada 83.7 juta tong sehari, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS, bahagian analitikal dan statistik Jabatan Tenaga.

Pengurus risiko tenaga Mitsubishi Corp. di Tokyo, Tony Nunan berkata, EIA telah menyemak semula ramalan permintaan akan meningkat.

"Orang ramai telah lama menunggu bila permintaan akan menjunam, dan ini adalah penanda pertama," katanya. - AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...