Thursday, June 11, 2009

Pekerja songlap wang kutipan

KUALA LUMPUR: Licik apabila seorang lelaki yang baru bekerja kira-kira sebulan memperdaya majikannya sebelum melarikan wang tunai RM35,000, Ahad lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 20-an itu adalah pekerja yang ditugaskan untuk mengutip wang hasil jualan syampu rambut kepada pelanggan di sekitar bandar raya ini.

Sebaik pulang ke pejabatnya di Cheras di sini, lelaki terbabit mendakwa beberapa pelanggan gagal menjelaskan bayaran dan memohon tempoh beberapa hari untuk melunaskan tunggakan berkenaan kerana mengalami masalah kewangan.

Bagaimanapun, pemilik syarikat terbabit hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 2 petang kelmarin, selepas melakukan pemeriksaan semula dengan menghubungi pelanggannya yang disenaraikan pekerjanya itu.

Sumber berkata, pemilik syarikat terbabit menghubungi semula semua pelanggannya itu bagi menuntut bayaran, namun terkejut selepas diberitahu bahawa pekerjanya sudah mengambil semua bayaran berkenaan.

“Malah, dia juga diberitahu semua pelanggannya itu sudah menjelaskan bayaran berkenaan secara tunai kepada pekerjanya Ahad lalu,” katanya.

Difahamkan, sebelum ini kebanyakan pelanggan akan membuat pembayaran melalui cek sekiranya jumlah banyak, namun disebabkan desakan lelaki itu, mereka membuat bayaran berkenaan secara tunai.

Mangsa yang berang segera menghubungi suspek bagaimanapun, lelaki terbabit sudah menghilangkan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

“Seorang lelaki sudah ditahan dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas kegagalan mendapatkan sambungan reman terhadapnya daripada pihak mahkamah.

“Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 402 Kanun Kesiksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090611080328/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...