Thursday, June 11, 2009

‘Kita kalah perangi denggi’

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hnetro.com.my


PUTRAJAYA: “Kita kalah dalam peperangan menentang denggi sebab jumlah kes masih... walaupun lebih baik daripada tahun lalu tapi ada banyak kes kematian,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, antara kekalahan itu dikenal pasti berpunca daripada kegagalan pengamal perubatan terutama dari klinik primer atau swasta memaklumkan kes yang berlaku di kawasan mereka kepada pejabat kesihatan daerah masing-masing menyebabkan langkah pencegahan awal tidak dapat dilaksanakan.

Dr Ismail turut meluahkan rasa tidak puas hati berikutan hanya sembilan peratus daripada 21,707 kes yang dilaporkan sepanjang tahun ini dimaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah terutama oleh klinik primer (swasta).

“Sasaran yang ditetapkan ialah 85 peratus kes yang dilaporkan kepada (pejabat kesihatan daerah), tetapi kita hanya menerima sembilan peratus yang memaklumkannya...jadi sekarang saya nak galakkan orang ramai meminta doktor memaklumkan kepada pejabat kesihatan yang mereka disyaki dijangkiti denggi.

“Jadi, kita boleh menjalankan aktiviti pencegahan supaya kita tidak rugi masa, sekali gus mengelakkan penularan penyakit berkenaan kepada individu lain.

“Saya nak tekankan di sini supaya semua pengamal perubatan terutama swasta, memaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah sekiranya ada pesakit yang disyaki...tak kisah sah denggi atau tidak, itu soal kedua, yang penting maklumkan kepada kami supaya boleh gerakkan jentera untuk mengadakan aktiviti kawalan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kejadian H1N1 Bilangan 4/2009 dan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Denggi Kebangsaan di kementeriannya di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, mesyuarat yang dihadiri pelbagai agensi dan kementerian termasuk Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertahanan dan pengamal perubatan swasta.

Mesyuarat itu bertujuan memaklumkan pendekatan perlu diambil semua pihak untuk memenangi perang menentang denggi berikutan situasinya yang amat membimbangkan di negara ini.

Katanya, kerajaan sudah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan penyakit itu tidak menular dengan cepat termasuk menubuhkan jawatankuasa Kabinet, melancarkan pelan strategik dan garis panduan, menggalakkan Program Mengubah Sikap (Combi) dan gotong-royong.

Bagaimanapun, katanya, beberapa negeri khususnya Selangor tidak menunjukkan kesan ketara, begitu juga negeri lain walaupun terdapat pengurangan bilangan kes.

“Sudah tiba masanya kita mempunyai satu program strategik, lebih inovatif, kreatif serta pendekatan luar biasa dan berfikir di luar kotak. Malah, kaedah mengawal nyamuk aedes menerusi Pengurusan Vektor Integrasi (IVM) perlu dihayati semua anggota kawalan vektor.

“Sehubungan itu, semua pihak mesti bekerjasama kerana ia bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan, tetapi membabitkan banyak agensi, kementerian dan individu tertentu...kalau tidak satu masalah besar menanti kita,” katanya.

Pada masa sama, Dr Ismail berkata beliau juga tidak berpuas hati kerana kes kematian dijangkiti demam denggi tinggi, sedangkan pesakit boleh diselamatkan sekiranya mendapat rawatan awal.

“Dalam kajian kita 66 peratus daripada 53 kes kematian akibat denggi sepatutnya boleh diselamatkan, kerana kebanyakan mereka sudah mendapatkan rawatan awal, tetapi mungkin doktor tidak dapat mengesan simptom denggi menyebabkan mereka sudah berada pada tahap kritikal ketika dimasukkan ke hospital.

“Justeru, kita meminta doktor supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dengan denggi...rujuk garis panduan disediakan untuk mengurangkan kematian akibat denggi,” katanya.

Malah, beliau berkata kementerian turut mengubah taktik dengan memberikan rawatan khas kepada pesakit denggi apabila mereka diberi rawatan intensif di wad khusus yang dipantau oleh pasukan berdedikasi dalam tempoh 24 jam bagi mengelak pesakit menjadi lebih teruk.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090611072933/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...