Tuesday, June 2, 2009

Adik ragut nyawa abang

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


PONTIAN: Gara-gara berebut harta pusaka, nyawa seorang lelaki melayang di tangan adik sendiri selepas ditetak dengan parang di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Tahir Zainal, 41, seorang peniaga buah, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian (HP) akibat parah di bahagian kiri badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Muzammil Hashim, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menetap di kampung itu pergi ke rumah pusaka arwah ibunya kira-kira 50 meter dari rumahnya dengan ditemani isteri bagi menyelesaikan isu harta pusaka dengan seorang abang.

“Mangsa dikatakan berang apabila mendapati rumah berkenaan berkunci sebelum membuka but kereta dan mengambil kuku kambing untuk memecah pintu rumah.

“Perbuatan Tahir itu dilarang seorang adik, abangnya serta isteri masing-masing yang berada di tempat kejadian, namun mangsa enggan sebelum memaki-hamun dan mencabar mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun gagal membuka pintu rumah berkenaan menyebabkan dia mengambil kapak dan cuba memecahkan pintu sambil memarahi kedua-dua mereka.

Katanya, tindakan Tahir itu menyebabkan si adik berlari ke rumah seorang abangnya berhampiran sebelum mengambil sebilah parang dan sebatang tanjak kelapa sawit.

“Suspek kemudian pergi ke arah Tahir yang ketika itu berada di bahagian tepi rumah untuk memecahkan pintu belakang. Apabila menghampirinya, mangsa menyerang adiknya itu dengan kuku kambing menyebabkan si adik menghayunkan parang dan terkena bahagian kiri badan mangsa sebelum rebah,” katanya.

Beliau berkata, beberapa anggota dari Balai Polis Pekan Nanas yang menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.50 petang bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah di luar rumah berkenaan.

Berikutan itu, anggota polis membawa mangsa ke HP untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum menahan suspek yang juga adik mangsa berusia 36 tahun.

Difahamkan, sejurus melihat mangsa rebah selepas terkena tetakan itu, suspek yang menyesal dengan kejadian itu dikatakan duduk sambil memangku badan abangnya sambil menangis.

Adik mangsa kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090602063702/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...