Tuesday, June 2, 2009

Perogol pelajar masih diburu

SEREMBAN: Polis masih melancarkan gerakan memburu seorang penjenayah yang merogol seorang pelajar sekolah dalam semak di hadapan dua adik perempuannya di Sua Betong, Port Dickson, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mazlan Othman, berkata setakat ini pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan.

“Berikutan itu, kita memerlukan kerjasama daripada orang ramai supaya menyalurkan maklumat untuk mengesan suspek terbabit.

“Kami masih menggiatkan usaha untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan kes rogol terbabit,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, seorang pelajar berusia 18 tahun dirogol selepas dipelawa menaiki kereta untuk dihantar ke sekolah.

Mangsa bersama dua adiknya dikatakan tidak menyedari niat sebenar suspek mempelawa mereka menaiki kereta.

Ketika dalam perjalanan, suspek berusia lingkungan 30-an memberi alasan tertinggal beg duit dan meminta untuk pulang mengambilnya di rumah.

Pelajar malang itu bersama dua adiknya bagaimanapun dibawa ke dalam kawasan semak lalu dirogol. Dua adiknya bagaimanapun tidak dirogol selepas mereka diarahkan supaya tidak membuat bising.

Selepas dirogol mangsa ditinggakan di situ dan dia ditemui orang ramai yang membawanya ke balai polis untuk membuat laporan.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...