Tuesday, June 2, 2009

Umpan urutan gadis Malaysia di Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR: Bermodalkan slogan iklan menarik ‘urutan tradisional batin dan mandi buih oleh gadis cantik dari Malaysia’, seorang wanita warga Malaysia dikesan menjadikan umpan promosi itu untuk menjalankan kegiatan pelacuran di sebuah bandar kecil di Amerika Syarikat (AS).

Akhbar Internet MetroWest Daily News dipetik berkata, wanita terbabit diberkas selepas dikesan menawarkan perkhidmatan seks di sebalik promosi iklan urutan di Internet.

Difahamkan, suspek yang berusia 48 tahun menawarkan ‘urutan’ istimewa dan mandi buih berkenaan untuk menyembunyikan aktiviti pelacuran yang berselindung di sebalik perkhidmatan ditawarkan itu di Framingham, AS.

Suspek didakwa diberkas pada jam 9.21 malam di Jalan Worcester, Framingham oleh seorang anggota polis berpangkat sarjan yang menyamar pelanggan pelacur terbabit.

Sarjan Scott Brown memulakan penyiasatan berhubung aktiviti sindiket pelacuran berkenaan selepas menerima maklumat daripada pihak pengurusan sebuah pangsapuri di kawasan itu.

Melalui maklumat diterima, beberapa lelaki tidak dikenali kerap berkunjung di pangsapuri bernombor 509 setiap hari atas tujuan mencurigakan.

Pegawai polis berkenaan yang menjalankan siasatan lebih rapi menemui satu laman web khas yang menawarkan perkhidmatan urutan tubuh istimewa dan mandi buih oleh gadis manis dari Malaysia.

Pegawai polis itu menghubungi nombor telefon tertera pada laman web terbabit sebelum seorang wanita memberitahu setiap pelanggan perlu membayar AS$70 (RM245) bagi setiap sesi rawatan.

Sejurus bersetuju dengan kadar ditetapkan, pegawai polis itu yang terlebih dahulu membuat temu janji kemudian ke pangsapuri berkenaan sebelum disambut wanita warga Malaysia terbabit.

Ketika melakukan urutan itu, suspek dikenali sebagai Yit bertanya kepada ‘pelanggan’ berkenaan sama ada dia mahukan perkhidmatan seks sebagai aktiviti pemanas susulan.

Namun, pegawai polis itu berpura-pura mahu menjawab panggilan telefon sebelum meminta anggota polis yang menunggu di bawah datang ke unit pangsapuri itu untuk memberkas suspek.

Ketika disoal siasat, suspek mendakwa baru 10 hari berada di bandar berkenaan dan bekerja dengan seorang wanita warga China yang dikenali sebagai Coco.

Susulan itu, suspek didakwa kerana menjalankan aktiviti pelacuran dan menawarkan seks selain membuka rumah urut tanpa lesen sah.

Suspek yang dihadapkan di Mahkamah Framingham, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Hakim Paul Healy Jr menetapkan suspek diikat jamin AS$500 (RM1,750).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...